ReformIS

[ Contents | Post ]

ISU BUKAN ISLAM JADI PM TIDAK BANGKIT LAGI, KATA HADI

From:
Date: 21 Nov 1999
Time: 10:46:36

Comments

ISU BUKAN ISLAM JADI PM TIDAK BANGKIT LAGI, KATA HADI

KUALA TERENGGANU, 21 Nov (Bernama) -- Pakatan parti-parti pembangkang jika memenangi pilihan raya umum pada 29 Nov ini akan tetap melantik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, walaupun Anwar tidak bertanding.

Timbalan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang berkata, dengan itu isu pelantikan orang bukan Islam sebagai Perdana Menteri jika pakatan parti-parti pembangkang memenangi pilihan raya umum ke 10 tidak timbul lagi.

PAS tidak tamak kuasa malah ia bersedia memberi jawatan Perdana Menteri kepada Anwar kerana percaya beliau mangsa kekejaman, katanya.

"Kenyataan Menteri Besar Kelantan berhubung pelantikan seorang Perdana Menteri bukan Islam jika parti pembangkang memerintah telah disalah ertikan oleh pihak media beberapa bulan lepas," katanya di majlis soal jawab selepas berdialog dengan penduduk Taman Permint Jaya, di sini, malam semalam.

Penasihat undang-undang PAS pusat, Wang Mutalib Embong yang turut hadir di majlis itu pula berkata walaupun Anwar tidak bertanding namun dia masih boleh dilantik Perdana Menteri menerusi beberapa cara.

Antaranya, melantik Anwar sebagai senator atau diadakan pilihan raya kecil di mana-mana kawasan untuk memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di satu kawasan parlimen.

Bagaimanapun, katanya sebelum itu dapat dilaksanakan, parti-parti pembangkang akan menyemak semula proses perundangan yang dikenakan terhadap Anwar kerana semasa dipecat ia didakwa tidak mengikut prosidur yang betul.

Katanya, satu lagi cara untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ialah mendapatkan pengampunan diraja.

Dalam dialog itu juga Abdul Hadi yang juga pesuruhjaya PAS negeri telah menjawab pelbagai pertanyaaan termasuk berhubung kerjasama PAS dengan DAP, dalam pakatan Barisan Alternatif yang dianggotai PAS, DAP, Keadilan dan PRM dan corak pemerintahan PAS di Terengganu jika parti itu memenangi pilihanraya umum.

Berhubung kerjasama PAS di bawah Barisan Alternatif, Abdul Hadi berkata pertandingan satu lawan satu antara parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN) membuktikan wujudnya persefahaman di kalangan parti-parti pembangkang yang bernaung di bawah barisan itu.

Ini terbukti apabila majoriti tempat yang ditandingi pakatan pembangkang itu menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan BN, katanya. Ini adalah satu kejayaan ke arah kerjasama yang kukuh, tambahnya. -- BERNAMA

Last changed: November 21, 1999