ReformIS

[ Contents | Post ]

MAJLIS PEGUAM DILARANG ADAKAN EGM ESOK

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 23:12:29

Comments

MAJLIS PEGUAM DILARANG ADAKAN EGM ESOK

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang Majlis Peguam mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadualkan esok di Grand Ballroom, Hotel Renaissance di sini.

Hakim Datuk Dr R.K.Nathan yang membuat keputusan itu selepas membenarkan injunksi sementara yang dipohon oleh K.Raja Segaran bagi menghentikan EGM, memuji keberanian peguam itu yang tidak gentar meneruskan perkara terbabit di hadapan lawannya.

"Plaintif (Raja Segaran) secara bersendirian bertindak terhadap keseluruhan Majlis Peguam. Dia bersedia berhadapan dengan kemungkinan terpaksa membayar kos yang besar," kata Nathan yang mengambil hampir satu setengah jam membaca keputusannya setebal 53 muka.

Raja Segaran menamakan Majlis Peguam sebagai defenden pertama dan pengerusi majlis itu, R.R.Chelvarajah sebagai defendan kedua yang disaman bagi pihak kesemua anggota Majlis Peguam termasuk beliau sendiri.

Dalam permohonannya, Raja Segaran mendakwa bahawa dengan mengadakan EGM dan menerima cadangan resolusi semasa mesyuarat itu, ia boleh boleh dianggap satu perbuatan menghina mahkamah dan menyalahi Akta Hasutan 1948.

Cadangan resolusi bertarikh 12 Okt berbunyi: "Dengan ini dirumuskan bahawa Majlis Peguam ingin menarik perhatian semua pihak yang berkaitan dengan kejadian-kejadian kontroversi yang telah terjejas keyakinan terhadap badan kehakiman Malaysia dan melakukan apa yang perlu bagi meneruskan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menjalankan siasatan dan membuat cadangan yang bersesuaian bagi memulihkan keyakinan terhadap badan kehakiman Malaysia."

Dalam kenyataan tuntutan, Raja Segaran berkata EGM itu jika diteruskan akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap Majlis Peguam, pentadbiran keadilan, kebebasan badan kehakiman dan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

Beliau mendakwa bahawa anggota-anggota Majlis Peguam akan juga terdedah kepada prosiding menghina mahkamah dan didakwa kerana menghasut.

Nathan, dalam keputusannya berkata perlakuan defendan-defendan jika dibenarkan menghadiri EGM dan membincangkan resolusi-resolusi sepertilah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) (a) dibaca bersama-sama Seksyen 3(1) (c) Akta Hasutan.

Bagaimanapun, Nathan berkata bukanlah tanggungjawabnya membuat penilaian sama ada kesalahan telah atau belum dilakukan mengikut seksyen-seksyen terbabit kerana terpulanglah kepada Pendakwa Raya untuk memutuskannya.

"Dalam apa keadaan, keputusan saya ialah plaintif sebenarnya melindungi defendan-defendea daripada terjunam ke jurang yang dalam yang mereka tidak akan muncul tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Peguam D.P.Vijandran mewakili Raja Segaran manakala defendan-defendan diwakili by Lim Kean Chye, Datuk Peter Mooney, Datuk Dominic Puthucheary, Ambiga Sreenevasan, Robyn Choi dan Shaikh Abdul Saleem Shaikh Abdul Karim.

Nathan berkata setelah menimbang semua perkara dan isu yang dibangkitkan oleh peguam kedua-dua pihak, beliau berpendapat bahawa keadilan daripada pelbagai sudut kes itu menujukkan sepenuhnya kepada fakta bahawa injunksi sementara wajar diberi kepada Raja Segaran. -- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999