ReformIS

[ Contents | Post ]

BAHANG PILIHAN RAYA SEMAKIN TERASA

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 11:22:05

Comments

BAHANG PILIHAN RAYA SEMAKIN TERASA

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Bahang pilihan raya umum ke-10 semakin terasa dan meningkat setahap lagi apabila parti-parti politik yang bertanding mengemukakan calon masing-masing esok.

Lebih 1,000 calon dijangka mengemukakan kertas pencalonan mereka di 192 pusat pencalonan di seluruh negara hingga pukul 11 pagi.

Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan calonnya di semua kawasan yang dipertandingkan iaitu 193 bahagian Parlimen dan 394 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Barisan empat parti pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP juga akan mengemukakan calon mereka di semua kawasan yang dipertandingkan.

Dalam pembahagian kerusi di antara parti-parti pakatan itu dalam usaha mereka menubuhkan kerajaan persekutuan, Keadilan dan Pas diperuntukkan kerusi terbanyak masing-masing 64 dan 58 kawasan, diikuti DAP dengan 38 kawasan.

Parti Demokratik Malaysia (MDP), yang diterajui beberapa bekas orang kuat DAP, akan bertanding di 11 kerusi parlimen dan 13 kerusi DUN.

Setiausaha Suruhanjaya Piliharaya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata lebih 40,000 borang penamaan calon dicetak dan kira-kira 30,000 daripada jumlah itu diedarkan kepada pejabat SPR negeri dan pegawai pengurus bahagian pilihan raya seluruh negara.

Beliau berkata SPR tidak dapat menjangka jumlah calon bebas kerana mereka selalunya membuat keputusan pada saat-saat akhir.

Pusat-pusat penamaan calon yang akan dikendalikan oleh pegawai pengurus pilihan raya mula dibuka pada pukul 9 pagi hingga pukul 11 pagi dan calon-calon dikehendaki mengemukakan kertas penamaan mereka dalam tempoh berkenaan.

Senarai calon yang bertanding akan diumumkan selepas tempoh bantahan dari pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Omar Mohd Hashim mengumumkan pilihan raya umum kali ke-10 akan berlangung 29 Nov ini setelah Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sabah dan Sarawak dibubarkan serentak pada 11 Nov lepas.

Wan Ahmad berkata perarakan calon dijangka kurang kecuali di empat buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Katanya SPR dan polis telah menasihati parti-parti supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan penamaan calon berjalan dengan lancar.

Pada pilihan raya umum 1995, BN memperolehi kemenangan besar majoriti empat perlima dengan memenangi 162 kerusi Parlimen manakala pembangkang mendapat 30 kerusi.

Pada peringkat negeri, BN memenangi 338 kerusi manakala pembangkang 56 kerusi.

Keputusan pilihan raya 1995 menunjukkan Umno memenangi 89 kerusi parlimen, MCA (30), MIC (7), Gerakan (7), PBB (10), PBDS (5), SNAP (3), SUPP (7), SAPP (2), LDP (1) dan seorang calon BN secara langsung dari Sarawak yang tidak mewakili mana-mana parti komponen BN.

Di kalangan pembangkang, DAP memenangi sembilan kerusi, Pas (7), Parti Melayu Semangat 46 (6) dan PBS (8). Parti Melayu Semangat 46 telah dibubarkan dengan kebanyakan anggotanya menyertai semula Umno.

Sementara itu, Jabatan Kajicuaca meramalkan hujan pada sebelah pagi akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala pantai barat Semenanjung akan menerima hujan pada sebelah petang.

-- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999