ReformIS

[ Contents | Post ]

ANGGOTA INDIA PARTI KEADILAN KELUAR BERAMAI-RAMAI

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 11:11:57

Comments

ANGGOTA INDIA PARTI KEADILAN KELUAR BERAMAI-RAMAI

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Sejumlah besar anggota keturunan India dalam Parti Keadilan Nasional (Keadilan) akan keluar daripada parti itu secara berperingkat-peringkat mulai hari ini berikutan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan parti tersebut.

Setiausaha Penganjur Jawatankuasa Kempen Masyarakat India Keadilan R.N. Rajah mendakwa keputusan tersebut diambil dalam satu mesyuarat tergempar semalam di Bangsar oleh 128 pemimpin peringkat cawangan dan bahagian Keadilan.

Beliau mendakwa lebih 10,000 daripada sejumlah 15,000 anggota kaum India dalam Keadilan akan keluar daripada parti tersebut berikutan keputusan ini yang sebahagian besarnya akibat tidak berpuas hati dengan timbalan presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar dan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Irene Fernandez.

"Keadilan tidak ambil berat langsung mengenai kaum India dalam parti itu. Ini menunjukkan Parti Keadilan bukan satu parti berbilang kaum.

Masyarakat India telah digunakan selama ini untuk kepentingan parti itu," katanya kepada pemberita di sini.

Rajah juga berkata mereka telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah parti reformasi berbilang kaum yang didakwanya akan benar-benar adil iaitu Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM).

Beliau berkata dengan keputusan ini, anggota India dalam Keadilan yang akan keluar parti tidak akan berkempen untuk parti tersebut dalam pilihan raya umum ini dan akan bersikap berkecuali serta "tunggu dan lihat" perkembangan politik selanjutnya.

Rajah berkata Dr Chandra dan Irene telah memberikan gambaran palsu selama ini kepada anggota India serta tidak memberikan apa-apa komitmen kepada mereka mengenai pelbagai isu masyarakat India yang dibangkitkan seperti tuntutan kerusi Parlimen dan Negeri.

Rajah berkata selama ini anggota keturunan India dalam Keadilan beranggapan bahawa parti itu boleh memberikan harapan baik bagi kepentingan masyarakat India dan dengan itu menunggu sehingga kini.

"Kami beri mereka peluang secukupnya setakat ini. Dan mereka hanya mengamalkan kroni dalam Parti Keadilan sendiri dan mereka mahu pak turut dalam parti bukan ahli yang benar-benar berjuang untuk reformasi," katanya.

Rajah juga berkata anggota India dalam parti itu rasa terhina apabila presiden Parti Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak menghadiri satu majlis mereka beberapa bulan lalu serta parti itu membatalkan hari terbuka Deepavali baru-baru ini tanpa sebarang penjelasan malahan mereka tidak dibenarkan menggunakan ibupejabat Keadilan bagi mengadakan mesyuarat.

Rajah berkata anggota India Keadilan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan PRIM lima bulan lepas tetapi Chandra dan Irene meminta mereka jangan berbuat demikian dengan janji bahawa Keadilan akan menjaga kepentingan kaum India.

Rajah berkata pucuk pimpinan Keadilan terlalu yakin dengan undi orang Melayu sehingga tidak mempeduli langsung peranan kaum India walau pun terdapat 100 kawasan Parlimen yang undi kaum India adalah penting dan menurutnya ini akan memberi kesan buruk kepada parti itu.

"Jika Keadilan melayani kita cara ini, saya akan berkata Barisan Nasional (BN) lebih baik... memberikan MIC tujuh kerusi Parlimen. Itulah keadilan. Tetapi dalam Keadilan tidak ada ruang untuk itu semua," katanya, Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur PRIM, Balachandran G.K yang merupakan anggota Keadilan cawangan Puchong berkata mereka telah menghantar permohonan kepada pendaftar pertubuhan pada 8 Nov lepas dan kini menunggu kelulusan.

Sementara itu Irene yang dihubungi Bernama berkata semua tuduhan itu tidak berasas dan masyarakat India diwakili dalam Keadilan.

"Ia semua ada dalam manifesto. Kepentingan dan permintaan kaum India diintegerasikan dalam manifesto. Kita telah menyokongnya, oleh itu ia telah diambil kira. Dakwaan-dakwaan ini adalah daripada sebilangan kecil mereka yang tidak mendapat kerusi," katanya kepada Bernama.

Irene juga berkata dakwaan Rajah mengenai 10,000 anggota parti akan keluar parti telah diperbesar-besarkan. Beliau mendakwa terdapat seramai 20,000 anggota daripada kaum Indian dalam Keadilan. -- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999