ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS YAKIN TAWAN KEDAH

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 11:04:45

Comments

PAS YAKIN TAWAN KEDAH

ALOR SETAR, 19 Nov (Bernama) -- PAS yakin dapat menawan Kedah berdasarkan senarai calonnya yang merangkumi pelbagai bidang dan kebolehan seperti ulama, peguam, doktor dan jurutera, intelektual serta aktivis masyarakat.

Presiden PAS Datuk Fadzil Noor ketika mengumumkan senarai calon parti itu hari ini menjelang penamaan calon esok berkata, senarai itu menunjukkan komitmen parti itu untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Kedah dari tangan Barisan Nasional.

"Gandingan calon ini cukup baik dan mantap, mereka juga berkebolehan untuk mentadbir negeri ini. Saya yakin gandingan ini dapat memberi keyakinan kepada pengundi di negeri ini," katanya.

Keyakinan untuk memerintah dibuktikan dengan kejutan yang dilakukan oleh Fadzil apabila tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Raya yang dimenanginya sejak empat penggal lepas.

Sebaliknya, beliau berpindah ke kawasan negeri Anak Bukit dan bagi kerusi Pendang.

Fadzil dengan penuh yakin berkata kerusi Bukit Raya akan dimenangi oleh PAS walaupun beliau bukan calonnya, di samping kawasan-kawasan lain.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Harun Din yang disebut-sebut bertanding di Kubang Pasu tidak tersenarai, sebaliknya PAS menawarkan ahli jawatankuasa pusatnya Subki Latif.

Bekas Imam Besar Masjid Negara Taib Azzamuddin Md Taib akan bertanding di kawasan Parlimen Baling, Mohamad Sabu (Kuala Kedah) dan Nasharuddin Mat Isa (Yan).

Untuk kerusi negeri PAS menurunkan novelis Azizi Abdullah di Kulim, bekas anggota exco kerajaan negeri Datuk Mohd Muslim Othman (Pantai Merdeka), Azizan Razak (Sala) dan bekas Timbalan Ketua Polis Kedah Abdul Talib Yaakob.

Kesungguhan PAS untuk menawan Kedah juga diperlihatkan apabila parti itu dengan sendirinya mengeluarkan manifesto yang berasingan untuk Kedah walaupun telah mengeluarkan manifesto bersama pakatan empat parti pembangkang dikenali sebagai Barisan Alternatif.

Di Kedah, PAS diperuntukkan 10 daripada 15 kerusi parlimen dan 32 dari 36 kerusi negeri, DAP satu parlimen dan empat negeri dan Parti Keadilan Nasional empat Parlimen.

-- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999