ReformIS

[ Contents | Post ]

SUBKY DI KUBANG PASU, WAN AZIZAH DI PERMATANG PAUH

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 10:47:57

Comments

SUBKY DI KUBANG PASU, WAN AZIZAH DI PERMATANG PAUH

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- PAS akan mencalonkan anggota Jawatankuasa Kerja Pusatnya Subky Latif untuk bertanding bagi kawasan Kubang Pasu, Kedah pada pilihan raya umum 29 Nov ini.

Penyandang bagi kawasan itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dan beliau telah diumumkan akan mempertahankan kerusi itu.

Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang telah diwakili suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surirumah berkelulusan doktor mata itu dijangka akan menentang Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Ibrahim Saad.

Pencalonan Subky dan Dr Wan Azizah diumumkan pada persidangan akhbar bersama pakatan pembangkang hari ini yang dihadiri Dr Wan Azizah, Pengerusi DAP Dr Chen Man Hin, Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS Mustafa Ali dan Presiden PRM Syed Husin Ali serta Setiausaha Agungnya Dr Sanusi Osman.

Syed Husin yang menjadi jurucakap pakatan pembangkang yang menamakan diri mereka barisan alternatif itu berkata mereka telah memutuskan untuk bertanding satu lawan satu menentang calon BN pada pilihan raya kali ini.

"Barisan alternatif tidak membenarkan sesiapapun daripada parti yang menganggotai pakatan itu daripada bertanding atas tiket bebas," katanya.

Parti-parti pembangkang itu mengesahkan pembahagian kerusi sesama mereka.

DAP akan bertanding di 38 kawasan Parlimen termasuk dua di Sabah dan tujuh di Sarawak. Parti itu bagaimanapun tidak mengumumkan senarai calonnya.

PAS pula akan bertanding bagi 58 kerusi parlimen di Semenanjung dan satu di Sabah. PRM akan bertanding di lima kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN.

Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar berkata Keadilan akan bertanding di 64 kawasan Parlimen -- 45 di Semenanjung, empat di Sabah dan 15 di Sarawak. Parti itu juga akan bertanding bagi 100 kerusi dewan undangan negeri.

Dr Chandra berkata beliau akan bertanding di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) manakala seorang Naib Presiden parti itu, Tian Chua pula akan bertanding di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Selandar (Melaka).

Setiausaha Agung Keadilan Annuar Tahir akan bertanding di kawasan Parlimen Padang Besar (Perlis) manakala Ketua Pemuda Keadilan Ezam Mohd Nor di kawasan Parlimen Shah Alam (Selangor).

Pegawai tertinggi Keadilan lain yang akan bertanding ialah Marina Yusoff (Parlimen Wangsa Maju), Irene Fernandez (Parlimen Subang) dan Zainur Zakaria (Parlimen Lembah Pantai).

Syed Husin berkata, beliau akan bertanding di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan manakala Sanusi di kawasan Parlimen Batu.

Calon lain PRM yang akan bertanding bagi kerusi parlimen ialah R. Sivarasa di Ampang Jaya, Razak Ahmad (Johor Baharu) dan Halim Abdul Karim (Tebrau).

PRM juga akan bertanding di tiga kerusi DUN di Johor dan satu di Pulau Pinang.

Razak Ahmad akan bertanding bagi DUN Tanjung Kupang, Salleh Ahmad di Tiram dan S.K. Song di Tambatan.

Ketika ditanya mengenai Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah, Dr Chandra berkata belum diputuskan kawasan yang mungkin ditandinginya.

"Beliau (Anwar) boleh bertanding di mana-mana dia mahu," katanya.

-- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999