ReformIS

[ Contents | Post ]

GEORGE TERAJU DAP TAWAN KERUSI BN

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 10:30:51

Comments

GEORGE TERAJU DAP TAWAN KERUSI BN

ALOR SETAR, 19 Nov (Bernama) -- Pengerusi DAP Kedah George John menerajui cubaan parti itu untuk menawan satu kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

George, 48, seorang peguam, akan menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Chor Chee Heung, naib pengerusi MCA Kedah, di kawasan Parlimen Kota Setar.

Beliau (George) pernah menjadi ADUN Kota Darulaman, salah satu kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kota Setar pada pilihan raya umum 1990.

Tetapi pada 1995, beliau tewas kepada calon BN, Chong Itt Chew dari MCA, di kerusi yang sama.

"Saya yakin menang kali ini hasil kerjasama dalam pakatan parti-parti pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif," kata George pada persidangan berita untuk mengumumkan calon-calon DAP di sini hari ini.

Keempat-empat calon parti itu untuk bertanding kerusi DUN adalah muka baru dan kesemuanya ahli perniagaan.

Penolong Setiausaha DAP negeri, Liew Kard Seong, 34, akan menentang calon BN, Cheung Khai Yan dari Gerakan, yang akan mempertahankan kerusi DUN Derga.

Tan Foon Heong, 51, pula menentang Chong Itt Chew, anggota jawatankuasa MCA Kedah, di kawasan DUN Kota Darulaman manakala G. Ganaguru, 38, berhadapan dengan Pengerusi Gerakan Kedah Datuk Fong Chok Gin yang akan mempertahankan kerusi DUN Sidam.

M. Kathiravelo, 43, pula akan cuba merebut kerusi DUN Lunas daripada timbalan pengerusi MIC Kedah, Dr Joe Fernandez.

Pada pilihan raya 1995, DAP tewas di tiga kerusi kawasan DUN yang ditandinginya. George tumpas kepada Itt Chew dengan majoriti 5,265 undi di DUN Derga.

R. Karuppiah tewas ditangan calon BN, Pengurusi MIC Kedah Datuk V.Saravanan di DUN Bukit Selambau dengan majoriti 7,365 undi.

Manakala Lim Pok Long yang dikatakan akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kali ini kalah ditangan Jamaluddin Yusof sehingga hilang wang pertaruhan di DUN Pantai Merdeka dengan majoriti 4,436.

DAP menyertai pakatan pembangkang bersama-sama PAS, Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini.

Di Kedah, PAS diperuntukkan 34 kerusi DUN dan 10 kawasan Parlimen manakala Keadilan diberikan empat kawasan Parlimen tetapi tidak meletakkan calon untuk kerusi DUN.

PRM tidak diperuntukan sebagai kerusi di negeri ini kali ini. -- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999