ReformIS

[ Contents | Post ]

PBS FAIL PERMOHONAN INJUNKSI TERHADAP PILIHAN RAYA

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 10:29:16

Comments

PBS FAIL PERMOHONAN INJUNKSI TERHADAP PILIHAN RAYA

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini meminta mahkamah mengeluarkan perintah menghalang pilihan raya Parlimen diadakan pada 29 Nov di Sabah.

Permohonan itu difail oleh Setiausaha Agung PBS Radin Malleh menerusi peguam Yunof Maringking dari Tetuan Maringking & Co, di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi.

Suruhanjaya Pilihanraya dinamakan sebagai defendan pertama, Pegawai Pilihan Raya Negeri Sabah sebagai defendan kedua, Pegawai Pendaftar bagi kesemua 20 kawasan Parlimen bagi Sabah sebagai defendan ketiga dan Pegawai Pilihan Raya bagi kesemua 20 kawasan Parlimen bagi Sabah sebagai defendan keempat.

Dalam permohonannya, PBS memohon injunksi untuk menghalang keempat-empat defendan daripada mengadakan hari penamaan bagi kesemua 20 kawasan Parlimen di Sabah sementara menunggu habisnya penyemakan semula senarai pemilih negeri 1998 yang sedang dijalankan.

Parti itu juga memohon diisytiharkan bahawa senarai pemilih 1998 bagi 20 kawasan Parlimen itu yang mengandungi pendaftaran palsu dan bukan warga negara Malaysia itu sebagai tidak sah dan tidak mematuhi perlembagaan.

Hakim Datuk Azhar Ma'ah menetapkan 24 Nov bagi perbicaraan permohonan itu.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Radin mendakwa bahawa terdapat kira-kira 6,000 pemalsuan kad pengenalan yang dikesan di Sabah.

"Kecuali senarai pemilih itu bersih, barulah kita boleh adakan pilihan raya," katanya.

Radin berkata beliau mendapati bahawa seorang yang bernama Subedah Rallu mempunyai nombor kad pengenalan sama dengan anak saudara perempuannya, Sapiah Nasir @ Martha yang mengundi di Elopura manakala anak saudaranya mengundi di Tenom. -- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999