ReformIS

[ Contents | Post ]

Reformis dan pengundi Bagan Datoh jatuhkan Si Pengkianat ini.

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 03:45:43

Comments

DR MAHATHIR DEMOKRAT TULEN KERANA PILIH PENYOKONG ANWAR, KATA ZAHID

IPOH, 19 Nov (Bernama) -- Bekas Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad adalah seorang demokrat tulen kerana memilih penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pada pilihan raya kali ini.

"Beliau menunjukkan keikhlasan dengan mengambil semua orang tanpa membezakan latarbelakang sejarah politik seseorang yang menghadapi masalah dalam parti," katanya selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN) negeri Perak oleh Menteri Besar Tan Sri Ramli Ngah Talib di sini hari ini.

Zahid, yang dipilih bertanding semula bagi kerusi parlimen Bagan Datoh, berkata pemilihan beliau turut menunjukkan Dr Mahathir adalah seorang yang tidak mementingkan kepentingan peribadi.

Katanya Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN mengambil kira semua pihak demi kepentingan UMNO dan BN dan sekaligus menamatkan spekulasi beliau dan beberapa penyokong Anwar akan digugurkan.

"Kita harus lihat secara positif apa yang diterjemahkan oleh Perdana Menteri dan harus diikuti seluruh anggota BN dan rakyat," kata Zahid yang meletak jawatan Ketua Pergerakan Pemuda tahun lalu selepas sokongan terbukanya untuk Anwar yang dipecat September 1998.

Beliau menjadi senator dari 1991 hingga 1994 dan dipilih sebagai Anggota Parlimen Bagan Datoh sejak pilihan raya 1995 dan pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

Ditanya sama ada beliau menjangka dipilih semula, Zahid berkata beliau selalu berdoa kepada Tuhan untuk mendapatkan yang terbaik.

"Saya bersyukur dipilih semula dan berterima kasih kepada Dr Mahathir.

Sekarang masa kita untuk bekerja keras dan saya yakin kita menang di Bagan Datoh walau pun ada cabaran," katanya.

Mengenai keupayaan Parti Keadilan Nasional pimpinan isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Zahid berkata parti itu tidak akan mendapat tempat dalam politik Malaysia.

Seorang lagi yang dikatakan penyokong kuat Anwar, Husni Hanadziah turut dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tambun.

-- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999