From:
Date: 18 Nov 1999
Time: 22:00:59
HADI AWANG PERTAHAN KERUSI PARLIMEN MARANG DAN DUN RU RENDANG
MARANG, 18 Nov (Bernama) -- Pesuruhjaya Pas Terengganu Haji Abdul Hadi Awang akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri Ru Rendang pada pilihan raya umum 29 Nov ini.
Pengumuman senarai calon pembangkang yang juga dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) di negeri ini dibuat oleh Abdul Hadi sendiri di Markas Pas di Rusila, Marang, malam ini.
Turut hadir Naib Presiden Pas Haji Mustafa Ali dan Ketua Perhubungan Keadilan Terengganu Abdul Rahman Yusuf. Enam lagi anggota dewan undangan negeri Pas turut mempertahankan kerusi masing-masing.
Mereka ialah Abu Bakar Abdullah (Tepuh), Ismail Mamat (Teluk Pasu), Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Wan Mutalib Embong (Batu Buruk), Yahaya Ali (Alur Limbat) dan Harun Taib (Manir).
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas akan turut bertanding kawasan Dewan Undangan Negeri Jertih. -- BERNAMA