ReformIS

[ Contents | Post ]

SEMUA PARTI YANG BERTANDING DI JOHOR SEDIA BERI KERJASAMA

From:
Date: 18 Nov 1999
Time: 21:44:48

Comments

SEMUA PARTI YANG BERTANDING DI JOHOR SEDIA BERI KERJASAMA

JOHOR BAHARU, 18 Nov (Bernama) -- Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti pembangkang di Johor memberi jaminan akan bekerjasama dengan polis bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang kempen pilihan raya umum di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Zulkipli Mohd Nor berkata perbincangan lebih dua jam mulai pukul 2.30 petang tadi yang diwakili oleh wakil-wakil parti komponen BN dan parti pembangkang telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam menjaga keamanan dan ketenteraman.

Selain itu, mereka juga diingatkan supaya tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menghasut rakyat ketika berceramah sepanjang kempen pilihan raya umum yang akan diadakan pada 29 Nov ini, katanya pada persidangan berita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor di sini, hari ini.

Zulkipli berkata semua parti yang terbabit dalam pilihan raya itu perlu mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan pilihan raya umum berjalan dengan lancar dan sempurna.

Beliau juga berkata setiap ceramah politik yang dianjurkan oleh parti-parti politik perlu mendapatkan kelulusan dan permit daripada polis.

"Semua permohonan permit perlu dikemukakan kepada Ketua Daerah Polis dan polis memberi jaminan setiap permohonan itu akan diproses dalam tempoh 48 jam," katanya.

Mengenai keperluan tenaga anggota polis di Johor, beliau berkata setakat ini jumlah tenaga yang diperlukan mencukupi.

Zulkipli berkata Johor mempunyai kira-kira 4,750 anggota selain daripada unit tambahan daripada pasukan Polis Marin, Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sejak bulan Januari sehingga kini polis telah menerima kira-kira 1,704 permohonan untuk menganjurkan ceramah dan daripada jumlah itu kira-kira 98 peratus permohonanan telah diluluskan.

Beliau juga meminta kerjasama parti-parti yang bertanding supaya menjaga kepentingan awam termasuk tidak menghalang kenderaan dan lalu lintas ketika menganjurkan ceramah.

-- BERNAMA

Last changed: November 18, 1999