ReformIS

[ Contents | Post ]

Provokasi Rusuhan - Angkara Siapa?

From:
Date: 15 Dec 1999
Time: 09:29:51

Comments

Provokasi Rusuhan - Angkara Siapa?

Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada jentera pilihanraya BA dan calon-calon yang telah berjaya mencapai suatu yang tidak diduga walaupun dengan keseluruhan media dan jentera kerajaan dipergunakan oleh BN untuk memenangi pilihanraya terkotor.

Baik di Terengganu dan Kelantan mahupun di Johor dan negeri-negeri yang tidak dimenangi sebarang kerusi oleh BA, kita sebenarnya telah berjaya. Kalau tidak dalam bilangan kerusi, namun bilangan undi kita tetap bertambah.

Kedua, saya juga ingin mengucap syabas juga kepada para webmasters yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan gandingan alternatif. Syabas sekali lagi untuk mereka kerana dapat meneruskan usaha-usaha murni dalam menyajikan berita melalui pelbagai media alternatif - terutamanya internet dan kebanyakkannya dengan wajah baru yang lebih menarik.

Inilah pertama kali saya menulis semenjak pilihanraya. Beberapa webmasters telah menyeru agar saya kembali segera menulis. Sebenarnya saya berhenti seketika sekadar memikirkan strategi berikut untuk kita rancang dan juga bagi menyempurnakan tanggung jawab tugasan saya di tempat saya mencari rezeki. Terdapat beberapa tugasan rasmi yang agak tertinggal apabila saya menumpukan sepenuh masa selama lebih seminggu dalam usaha kecil bagi membantu jentera pilihanraya BA.

Di antara perkara yang saya amat tertarik dan tertanya-tanya semasa kempen pilihanraya sedang hangat ialah terdapatnya suatu provokasi yang bersungguh dan terancang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Di antaranya ingin saya ceritakan pengalaman pada malam 27hb Nov. hingga ke awal pagi keesokkannya (28hb). dan pada malam 28hb hingga larut malam di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang tidak sedar akibat sibuk melaksanakan tugas berkempen terutama mereka yang sudah pulang ke tempat mengundi masing-masing ataupun mereka yang sedang beristirehat bagi persiapan untuk meneruskan usaha kempen keesokkannya ingin saya ceritakan pengalaman saya pada kedua-dua malam tersebut.

Percaya atau tidak, memang ada suatu usaha bersungguh dan terancang untuk memprovokasikan suatu suasana tegang yang membolehkan berlakunya rusuhan.

Beginilah catatan saya:

1. Sekitar jam 8.00 malam (Sabtu, 27hb Nov) bermula beberapa kumpulan kecil pembawa bendera-bendera parti BA (bilangan satu-satu kumpulan sekitar 5-8 kenderaan). Ada yang bermotorsikal dan ada yang berkereta. Namun terdapat juga teksi, van, lori kecil dan pelbagai jenis kenderaan lain. Kumpulan-kumpulan ini berligar di beberapa kawasan seperti Hulu Klang, Keramat, Kg. Baru, Melati, Gombak dan lain-lain lagi.

2. Sesetengah kumpulan ini bergabung menjadi kumpulan yang lebih besar. Kebanyakkan mereka ini terdiri dari anak-anak muda. Ada yang menjadi hingga 30 kenderaan (termasuk motorsikal).

3. Melihat gelagat mereka yang kurang disenangi, saya menghubungi pihak-pihak tertentu di dalam PAS dan KeADILan di tempat-tempat tersebut. Mereka menyatakan, arahan telah dikeluarkan bahawa semua pekerja parti dilarang memakai pakaian parti mulai jam 9.00 malam pada hari sebelumnya. Dan arahan juga menyatakan bahawa segala kenderaan pekerja parti dilarang mengibarkan bendera besar di atas kenderaan masing mulai di antara 9.00 malam hingga keesokkan pagi. (Lihat contoh arahan yang dikeluarkan oleh KeADILan - dilampir)

4. Namun kumpulan-kumpulan ini masih berligar di kawasan sekitar yang sama berulang-ulang, dan didapati terdapat beberapa orang awam yang mengikut serta.

5. Selepas larut malam saya berehat di beberapa pondok KeADILan dan PAS di sekitar Parlimen Gombak sambil membahagi-bahagikan beberapa risalah kempen.

6. Sekitar jam 3.30 pagi (28hb) saya sambung rondaan saya dan tumpuan saya ialah ke pusat bandar. Dalam perjalanan dari Hulu Klang ke KL, selain melihat pekerja-pekerja parti memasang poster dan bendera, saya tidak lagi dapati kumpulan-kumpulan membawa bendera tadi. Mungkin mereka sudah penat dan pulang untuk tidur - jangkaan saya.

7. Setibanya di sekitar Kg. Baru, saya mulai bertemu kembali beberapa penunggang motorsikal dan lain-lain kenderaan membawa bendera besar. Namun tidaklah nampak sangat mereka berkumpulan besar.

8. Saya teruskan ke Jalan TAR, setibanya di selekoh hujung Jalan Raja Muda memasuki permulaan Jalan TAR, terdapat kesesakan jalanraya. Traffic jam pukul 4.00 pagi? Pagi Ahad?

9. Mulanya kereta yang saya naiki dapat bergerak sedikit-sedikit, tetapi berhenti terus kira-kira 15 meter dari jejantas pejalan kaki. Semua kenderaan tidak bergerak dan kami pun terus berhenti di tepi kiri jalan

Di antara kereta, van, lori kecil, teksi dan pelbagai kenderaan lagi motorsikal-motorsikal mencelah-celah. Kebanyakkannya dengan bendera besar. Semua parti ada. Yang ketara ialah PAS dan keADILan. DAP dan PRM serta UMNO dan BN pun ada.

10. Selang dua lorong di sebelah kenderaan saya, terdapat sebuah kereta peronda Polis (Unit Peronda A) dengan lampu siren di atas bumbung dengan anggota berpakaian seragam yang turut sama "terlekat" dalam kesesakan jalan.

11. Satu perkara yang lupa saya sebut di awal-awal tadi ialah di samping rakan saya yang memandu, saya juga bertemankan sebuah video camcorder dan sebuah digital still camera. Mana-mana yang sesuai saya mengambil gambar sebagai bahan bukti.

12. Ketika kesesakkan ini, saya mengambil gambar. Anggota polis di dalam kereta peronda tadi turut memerhatikan saya.

13. Tiba-tiba saya terdengar bunyi siren. Yang pasti bunyinya bukan dari kereta peronda yang bersama terkandas dalam traffic jam tetapi datangnya dari arah belakang.

Kemudian nampaklah cahaya biru dan bunyi semakin kuat. Sebuah kereta peronda polis lain (Unit Peronda B) tiba memintas kami dicelah-celah kenderaan yang hanya dapat mengelak sedikit bagi memberi ruang untuk kenderaan rasmi polis. Mungkin dia mendapat panggilan untuk menyiasat berlakunya kesesakan dipagi buta.

14. Yang aneh, kenapa peronda polis (Unit Peronda A) yang lebih dekat dan turut terkandas dalam kesesakan tidak berbuat apa-apa. Kenapa peronda lain yang dipanggil.

Setahu saya, apabila ibu pejabat trafik mendapat panggilan, ianya akan disiarkan keseluruh unit peronda melalui radio dan kereta masing-masing dan unit yang paling dekat akan bertindak menyahut panggilan. Tetapi unit yang terdekat tidak berbuat apa-apa yang lain lebih jauh nampak dengan bersungguh datang seolah sesuatu yang amat cemas berlaku.

15. Selepas Unit Peronda B tadi melepasi kenderaan saya, diselangi lebih dari 30 saat, tiba-tiba Unit Peronda A yang berdekatan dengan kenderaan saya mulalah nampak hendak menyusuli rakannya tadi. Mungkin sebab mengetahui saya sedang merakamkannya.

16. Saya keluar dari kereta yang tidak bergerak dan mencari kedudukan yang lebih tinggi supaya dapat dirakamkan malangnya jauh mata memandang hanya deretan kenderaan sahaja yang saya nampak selain dari kelipan Unit Peronda B. Agak saya deretan ini mungkin bermula dari persimpangan Jalan TAR dengan Jalan Sultan Ismail.

17. Saya mengajak rakan saya mengundurkan sedikit keretanya dan cuba menukar ke lorong paling kanan supaya dapat masuk ke Jalan Chow Kit. Walaupun sukar kami dapat juga belok ke Jalan Chow Kit dan meletakkan kereta di jalan tersebut.

18. Kami pun bergegas menaiki jejantas di atas Jalan TAR dan memerhati suasana tersebut dari atasnya. Memang kesesakkan bermula di persimpangan Jalan Sultan Ismail.

19. Kami turut memerhati sekumpulan pemuda belasan tahun di bahu jalan sebelah kiri (bersebelahan dengan gerai dan lorong kecil kira-kira 10-15 meter dari jejantas. Walaupun suasana gelap, akibat pancaran cahaya lampu pelbagai kenderaan, kami dapat perhati dengan agak jelas gelagat kumpulan pemuda tersebut.

20. Kumpulan 7-8 orang pemuda ini, sambil mengibar bendera-bendera PAS dan KeADILan, mereka melaung-laungkan REFORMASI tetapi bukan dengan nada RE-FOR-MA-SI seperti kita pendokong REFORMASI sentiasa laungkan.

21. Di belakang kumpulan ini (kira-kira 2 meter), berdiri beberapa orang dewasa yang berborak sambil memerhati gelagat pemuda-pemuda tadi. Tiada sebarang tanda yang jelas (samada logo, warna baju mahupun lencana) menunjukkan mereka dari mana-mana parti mahupun dari mana-mana jabatan kerajaan. Tetapi saya yakin mereka ini tidak melarang pemuda-pemuda tersebut.

22. Setelah merakam beberapa detik dan suasana saya dan rakan saya turun dan memasuki kenderaan. Kami menuju ke persimpangan Jalan Chow Kit dengan Jalan Raja Laut. Lampu isyarat sebelah 711 merah. Kami dapati bilangan kenderaan dan suasana riuh rendah yang hampir sama.

Cuma lalu lintas dapat bergerak. Terdapat beberapa pemuda di tepi jalan sebahagiannya memegang bendera. Sebahagian besar kenderaan yang melalui persimpangan tersebut mengibarkan bendera sambil membunyikan hon. Ada yang memekik.

23. Bila lampu isyarat hijau kami terus ke Jalan Putra dan membuat u-turn di hadapan Hotel Pan Pacific. Semasa sebelum dan selepas membuat u-turn, kami dapat perhatikan beberapa kumpulan motorsikal tadi turut membuat u-turn dan ada yang berkumpul semula untuk sebentar.

24. Kami terus menghala balik ke Jalan Raja Laut tetapi berhenti bersebelahan sebuah hotel kira-kira 70 meter dari persimpangan tersebut untuk membuat pemerhatian dari situ. Dengan laluan yang riuh rendah dan kibaran bendera, tiba-tiba datang sebuah unit peronda polis. Saya agak Unit Peronda A (kerana ianya tidak membunyikan siren ataupun lampu biru di atas bumbung).

25. Unit Peronda ini berhenti bersebelahan Kedai 711 di Jalan Raja Laut. Tiada siapa yang turun mahupun naik dari kenderaan tersebut. Namun, kenderaan tersebut tidak pula bergerak untuk selama tidak kurang tiga kali tukaran lampu isyarat.

26. Dalam pada unit peronda polis berada di tepi persimpangan tersebut saya tidak nampak bahawa orang ramai berkurangan. Saya tidak nampak pula lalu lintas takut dengan kehadiran polis. Mereka tetap memandu lalu di situ dengan aksi-aksi liar dan membahayakan pengguna jalanraya lain.

27. Selepas perginya Unit Peronda tersebut beberapa minit, tiba-tiba lalu sebuah lagi unit Peronda Polis, kali ini Pajero dengan memasang lampu biru di atas bumbung tanpa membunyikan siren. Ada pula 2-3 buah motorsikal yang memotong Pajero ini tanpa rasa takut sambil mengibar-gibar bendera.

28. Jam di tangan sudah hampir 4.40 pagi, kami beredar dari Jalan Putra menuju persimpangan Jalan Raja Laut dan membelok ke kiri. Di kiri kanan jalan terdapat beberapa kelompok pemuda.

29. Dari Jalan Raja Laut kami membelok ke kanan memasuki Jalan Ipoh. Kami berhenti sebelah kanan jalan sekitar hentian teksi bertentangan dengan stesen minyak Shell.

Di stesen Shell tersebut terdapat tidak kurang dari 12 pemuda berkumpul mereka adalah dari kumpulan penunggang motorsikal dengan bendera-bendera BA. Ada pula beberapa orang yang sedang mengisi minyak. Yang anehnya ada juga seorang pemuda membawa bendera BN berhenti sebentar di kalangan mereka - tidak pula saya nampak macam mereka ini bergaduh - macam kawan-kawan mereka juga.

30. Kerana waktu Subuh hampir tiba, kami pun beredar dari tempat tersebut menuju kembali ke Hulu Klang sekitar jam 4;50 pagi. Setiba di persimpangan pasar Keramat kami bertemu dengan salah sebuah kenderaan yang kami nampak di pusat bandar tadi dengan membawa bendera KeADILan.

31. Asalnya kami mengekori dengan perlahan. Namun apabila mendekati persimpangan Jalan Jelatek, kenderaan tersebut yang pada asalnya memilih lorong tengah untuk memasuki Jalan Jelatek dan kemudian membelok ke Enggang (terpaksa berhenti kerana lampu isyarat merah) tiba-tiba memecut laju dan menukar lorong dan terus pada Jalan Jelatek menuju ke Setiawangsa. Mungkin pemandu mengetahui bahawa mereka sedang diekori dan tidak mahu berhenti bila lampu isyarat merah.

32. Rakan saya turut memecut dan mengejar kenderaan tersebut. Saya terlupa untuk menoleh speedometer, tetapi saya yakin kami mengejar dengan kelajuan melebihi 100 kmsj. Kami mengekori dari jarak lebih kurang 100 m. Setiba di persimpangan Desa Hussien Onn (kem tentera), kenderaan tersebut membelok kanan tanpa berhenti walaupun lampu merah.

33. Kami terus mengejar. Di Jalan Setiawangsa kenderaan tersebut terus memecut tanpa berhenti di lampu isyarat merah berdekatan pusat bandar Setiawangsa. Kenderaan tersebut memecut terus membeluk di sekitar flat AU3 (kelumpuk). Kami tidak menurut kerana ditakuti ianya mungkin suatu perangkap dan beredar dari situ menuju ke sebuah pondok KeADILan berdekatan kawasan tersebut.

34. Saya menujukkan rakaman video kenderaan tersebut dan bertanyakan kepada petugas-petugas di situ dan mereka mengenal pasti bahawa kenderaan tersebut bukan dari kalangan mereka malah seorang dari mereka mengatakan bahawa itu "kereta dia orang". Persoalannya ialah mengapa mereka ini membawa bendera KeADILan?.Dan begitulah agak saya dengan sebahagian besar kenderaan-kenderaan lain yang saya perhati tadi mengapa membawa bendera-bendera BA.

Saya akan menyambung dengan laporan rondaan saya pada malam berikutnya dalam Bahagian 2 dan inshaAllah dalam Bahagian 3, akan saya cuba lampirkan beberapa keping gambar untuk saudara pembaca membuat penilian dan rumusan sendiri.

Saya bukan hendak membuat sesuatu kesimpulan di sini tetapi provokasi untuk berlakunya suasana yang tegang jelas saya lihat dan dapat saya rakamkan. Apakah sebenarnya motif mereka dan siapakah yang mendalangi semua ini?

Saya menganggarkan terdapat lebih kurang 1,000 buah kenderaan tidak termasuk motorsikal di sekitar Jalan TAR dan Jalan Raja Laut pada awal pagi itu. Sepertiga dari bilangan itu mungkin orang awam yang benar-benar lalu di situ atas urusan tertentu.

Manakala sepertiga lagi adalah mereka yang benar-benar terlibat untuk membuat suasana huru-hara berulang alik sekitar jalan-jalan tersebut. Saya dapati beberapa kenderaan yang sama melalui dengan berulang kali. Sepertiga lagi mungkin adalah mereka yang terikut-terikut dengan galakan orang-orang yang membuat provokasi tersebut dan mereka yang seperti saya ingin mengetahui lanjut apa yang berlaku.

Di bawah ini saya lampirkan e-mail arahan dari jurucakap KeADILan agar para penyokong BA jangan terlibat dengan provokasi yang saya laporkan di atas. Bersambung ...Sekian -

Ibrahim Baba 15 Dis 99.

Last changed: December 15, 1999