ReformIS

[ Contents | Post ]

Kak Wan Perlukan Sukarelawan!

From:
Date: 14 Dec 1999
Time: 03:22:50

Comments

Kak Wan Perlukan Sukarelawan!

Kemenangan YB Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di kawasan parlimen Permatang Pauh merupakan kejayaan rakyat setempat yang begitu rajin berhempas-pulas mengatur jentera pilihanraya yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.

Jentera Parti KeADILan Nasional, PAS dan DAP berganding bahu selama dua minggu untuk memberi kemenangan kepada calon Parlimen kita, selain turut menggondol kerusi DUN bagi Pak Rahman (KeADILan) dan Ustaz Hamdan (PAS).

Kini, setelah pilihanraya selesai, tugas para penggerak parti hanya baru bermula.

Tidak lama lagi YB Datin Seri Dr Wan Azizah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Parlimen dan meneruskan perjuangan suaminya, YBhg Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjawat tugas dan amanah rakyat sebagai Ahli Parlimen bukanlah mudah. Oleh itu, rakyat Permatang Pauh harus terus bekerja keras menjayakan penggal parlimen Wakil Rakyat mereka.

Antara agenda utama yang perlu diketengahkan ialah:

* Menjalin hubungan antara kaum yang lebih rapat di Permatang Pauh, khususnya antara kaum Melayu dan Cina. Wan Azizah harus prihatin terhadap ketakutan yang dirasakan oleh kaum Cina sesudah mereka diacah dan diugut oleh jentera Barisan Nasional dalam kempen pilihanraya umum lepas.

* Membongkar dan seterusnya mengheret ke muka pengadilan rasuah dan salah laku calon Parlimen Barisan Nasional Dr. Ibrahim Saad yang sudah banyak mengeksploitasi kemiskinan masyarakat Melayu setempat dan merampas tanah mereka untuk kuncu-kuncunya.

* Membaiki maruah rakyat setempat yang rosak akibat kebaculan dan kelemahan pimpinan Datuk Ahmad Saad, pemimpin tertinggi UMNO kawasan, yang belot sesudah Datuk Seri Anwar Ibrahim digulingkan.

* Membaiki ekonomi masyarakat setempat yang terpinggir sesudah Datuk Seri Anwar dipecat, akibat sokongan padu mereka terhadap hero tersebut. Ramai peniaga kecil diugut oleh jentera Barisan Nasional kerana menyokong KeADIlan dan PAS secara berdepan.

Rakyat Permatang Pauh yang sayangkan wakil rakyat mereka patut menawarkan khidmat sukarela kepada Kak Wan untuk mengisi keperluan jentera beliau. Kak Wan perlukan pekerja pejabat, jurulapor masalah dan ramai lagi kakitangan yang boleh membantu usaha memperjuangkan masyarakat Permatang Pauh di parlimen.

Silalah berhubung dengan pejabat KeADILan dan PAS segera untuk menawarkan khidmat anda!

Sama-sama kita bina Parlimen Permatang Pauh! Semoga menjadi contoh kepada sekuruh rakyat Pulau Pinang!

Last changed: December 14, 1999