ReformIS

[ Contents | Post ]

Apa dah jadi, Anwar?

From:
Date: 13 Dec 1999
Time: 01:17:13

Comments

Apa dah jadi, Anwar?

Fathi Aris Omar

[lihat analisis terperinci di http://www.malaysiakini.com ]

Sebaik sahaja tiba gilirannya membela diri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuang masa. Beliau melepas peluru-peluru terus kepada pucuk pimpinan tertinggi negara. Tidak ada yang selamat.

Beberapa nama utama,bertaraf menteri, menjadi sasaran pendedahan berani dengan bukti-bukti yang cukup meyakinkan, termasuklah nota-nota bertulis tangan; antaranya kemarahan Datin Paduka Rafidah Aziz terhadap kerakusan Tun Daim Zainuddin menggunakan peluang mendapatkan kekayaan ekonomi.

Itu cerita lama. Tetapi Anwar membuka semula kotoran di bawah karpet Umno yang berjaya disembunyikan selama ini.

Tidak sampai sepuluh nama besar disebut --sepanjang hari membela diri -- dan tidak sampai lima hari peluru itu dihamburkan ke arah pemimpin tertinggi Umno, keluarlah akuan bersumpah dari Datuk Murad, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.. Pengakuan bahawa Anwar mempunyai 20 akaun master yang berjumlah RM3 bilion itu tidak memeranjatkan banyak pihak, malah menjadi bahan lawak pula.

"Alamak, kayalah aku. Dapatlah kita RM3 juta!" komen sinis Abdul Malik Hussin, seorang aktivis reformasi. Beliau tidaklah berseorangan berkongsi rasa tidak percayanya itu.

Setiap kali aktivis yang jujur dari Parti Keadilan Nasional bersungut tidak mempunyai cukup wang untuk pilihan raya umum, mereka akan menerima jawaban sinis, "nantilah, RM1 juta bagi setiap kawasan parlimen!" KeADILan hanya bertanding di 65 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Jika mengikut logik sinis itu, ini bermakna hanya RM65 juta diperlukan -- hanya beberapa peratus sahaja dari jumlah RM3 bilion. Tetapi parti itu menyertai pilihan raya lalu dalam keadaan daif, lebih daif daripada PAS -- selalunya dianggap parti orang miskin dan selalu mengutip derma dari para penyokongnya setiap kali ceramah umum.

Pendedahan Anwar di mahkamah itu disiarkan secara meluas dan sensasi dalam Harakah dan laman-laman web pro-Anwar. Ia ditatapi dengan penuh minat, khususnya di kalangan penyokong Barisan Alternatif dan ini menambahkan rasa kecewa mereka terhadap pihak berkuasa Barisan Nasional, khususnya Dr Mahathir.

Beberapa hari selepas itu, tiba-tiba gadis yang didakwa dicabuli oleh seorang Ketua Menteri pula mengeluarkan akuan bersumpah bahawa dia tidak diapa-apakan pada tragedi 1994 itu. Neneknya

Pendek Ahmad pula keesokan harinya berasa kecewa dengan pengakuan cucunya itu. Akuan ini melunturkan akuan bersumpah Murad -- yang sememangnya menimbulkan keraguan.

Dr Chandra Muzaffar, Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Marina Yusoff dan Abdullah Ahmad semuanya menafikan mereka pernah menerima bantuan RM5 juta dari Anwar.

"Jika Anwar membiayai sebuah kumpulan pemikir asing ,ini bukan bermakna beliau sebagai agen asing. Itu menunjukkan kumpulan pemikir itu agen Anwar dan negara ini patut berbangga mempunyai seorang yang pintar semacam Anwar.", Lim Kit Siang mengulas dakwaan kononnya sebuah kumpulan pemikir di Amerika Syarikat menerima wang dari Anwar.

Pemerhati politik menjangkakan isu Anwar menjadi masalah besar kepada Dr. Mahathir untuk berdepan pembangkang dalam pilihan raya, walaupun bekas orang No. 2 negara itu kini sudah terkurung dalam penjara.

Dari penjara Sungai Buloh itulah, Anwar mengirim surat-surat bertulis tangan kepada pengundi dan menyatakan sokongannya kepada calon-calon Barisan Alternatif.

Mahkamah pula sudah lama menjadi 'pejabat rasmi' Anwar tempat merancang strategi, termasuklah agihan kerusi untuk tokoh mana dan parti apa, dan juga pentas politik untuk menyerang musuh-musuh politiknya-- dipercayai ramai telah menzaliminya secara kolektif kerana Anwar tidak bersedia menjaga kepentingan mereka jikalau Anwar menggantikan tempat Dr Mahathir. Oleh itu, Anwar tidak dibiarkan berada di mahkamah.

"Sebenarnya Peguam Negara sudah silap perhitungan. Beliau sudah dinasihatkan, agar tidak meneruskan kes kedua Anwar," jelas seorang peguam muda yang mendakwa rapat dengan Pejabat Peguam Negara. "Selagi Anwar dapat bertemu orang ramai, selagi itulah kerjaya politiknya hidup, dan namanya berada dalam ingatan orang ramai."

Anwar kini dalam proses membela diri kes liwat dengan adik angkatnya Sukma Darmawan dan bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Sebaik sahaja Parlimen dibubarkan pada 10 November yang lalu, kes Anwar tiba-tiba ditangguhkan. Hakim menyebutkan bahawa kes itu akan bersambung selepas pilihanraya umum. Dr Mahathir yang sudah tiga kali disapina untuk memberikan keterangan berjanji (seperti tiga kali janjinya 29 Oktober, 1 November dan 10 November) akan hadir di mahkamah selepas pilihan raya ini. Kini pilihan raya sudah berlalu dan tiba-tiba, sebaik sahaja selesai pilihan raya, hakim yang mendengar kes Anwar sakit.

Selepas Umno kalah teruk di seluruh Malaysia, lebih 60 peratus undi Melayu diberikan kepada Barisan Alternatif -- seolah-olah satu referedum kepada Dr Mahathir. Penyokong Barisan Alternatif, khususnya PAS, sibuk merayakan kemenangan. Sudah tidak kedengaran simpati pada Anwar, bakal Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya memenangi pilihan raya umum lalu.

"Agaknya hakim tidak sembuh lagi," komen peguam muda itu, sambil tersenyum lebar yang disambut ketawa berdekah-dekah dari rakan-rakannya.

Dec 11, 1999

Last changed: December 13, 1999