ReformIS

[ Contents | Post ]

Doakan Pak Din Hanco

From:
Date: 09 Dec 1999
Time: 02:48:49

Comments

Doakan Pak Din Hanco

Assalamu'alaikum wr wb

Saya memohon kepada semua yang sudi agar mendoakan kesejahteraan Pak Din Hanco (dialek Perak untuk hancur) yang kini sedang koma di Wad 7, Tingkat 7, Hospital Universiti di PJ. Sesiapa yang ada kelapangan tolonglah ziarahi beliau. Tidak seperti pesakit-pesakit lain yang sedang koma, Pak Din tidak ditemani oleh ahli keluarganya. Kalau tak salah ingatan saya, kira-kira lima enam tahun dulu, Pak Din pernah merungut bahawa isterinya masih menyokong Umno.

Pak Din bukanlah pimpinan PAS atau tokoh handalan parti Islam itu. Dia terkenal kerana slogannya setiap kali ceramah PAS diadakan atau semasa tunjuk perasaan. Beliau pasti akan melaungkan slogan yang seakan-akan menjadi 'trademark' baginya: "Hanco Umno!" atau dalam bahasa baku "Hancur Umno!".

Sebenarnya, sumbangan Pak Din kepada perjuangan Islam bukanlah setakat slogan "Hanco Umno" sahaja. Tanpa publisiti dan buat gempar sana-sini, Pak Din pernah menyumbangkan sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit termasuk untuk membina markaz PAS di kampungnya.

Pak Din juga tidak pernah absent dalam tunjuk-tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh orang-orang PAS. Slogan "Hanco Umno" sentiasa bergema dalam hampir kesemua tunjuk perasaan orang-orang PAS itu. Malah, Pak Din pernah ditangkap dalam satu tunjuk perasaan anti-tolol (atau dalam bahasa BN celaka dipanggil tol) bersama-sama, antara lain, Khalid Samad, YDP PAS Shah Alam sekarang.

Cerita Pak Din ditangkap memang masyhur di kalangan orang-orang PAS. Dah kena tangkap dah, Pak Din tak henti-henti bersyarah dalam balai polis. Antara lain, katanya (dalam dialek orang Parit, Perak) , "Kene (kena) tangkap kite tak kire, kalau deme bunuh, kite syahid macam Tok Guru kite di Memali".

Oleh kerana dah tak tahan dengan syarahan Pak Din dalam balai polis itu, seorang inspektor bertanya Pak Din, "Apa hal ni Pak Cik?" Pak Din dengan selamba terus menjawab, "Awak tak tau, ini hal orang beso-beso (hal orang besar-besar)". Tak terkata apa inspektor itu dan pergi begitu sahaja.

Pak Din terus bersyarah. Datang seorang ASP bertanya, "Pak Cik nama apa, orang mana?" Pak Din jawab, "Name saye Mat Din bin Uda Batas, saye orang Pulau Tige (tak silap dalam kawasan Parlimen Pasir Salak). Paspot saye telupe (terlupa) nak bawak. Pegi ambik di rumah saye tingkat 11 (Flat Kerinci)".

Bila ASP itu menjawab, "Saye pun orang Pulau Tige juge," Pak Din terus bersyarah, "Huh! Anak siape kamu? Kamu balik habo (khabarkan) apak kamu aku lawan tol! Suruh apak kamu lawan tol ni semue!".

Semasa tunjuk perasaan anti-Israel di Masjid Al-Rahman dekat UM, Pak Din tidak ketinggalan. Bagaimanapun, entah macam mana, Pak Din tak tertangkap semasa Ops Kriket tu.

Antara kenangan saya dengan Pak Din ialah semasa makan di sebuah gerai. Dia minta tauke gerai itu kira semua dia nak belanja. Oleh kerana saya tak dikenalinya dan lagak pun macam orang Umno, Pak Din terus kata, "Ha! Die punye tak payah. Kalau orang Umno kite tak bayo (bayar)". Naik berkarat muka saya masa tu!

Kepada sesiapa sahaja yang sudi, doakanlah Pak Din Hanco dan kalau ada masa, sudi-sudikanlah menziarahi pejuang yang tidak pernah meminta kedudukan dan jawatan itu, hatta di peringkat cawangan sekalipun. Cukuplah Allah sebagai saksi (wa kafa biLlahi syahida), saya yakin Pak Din adalah pejuang yang ikhlas yang tak pernah meminta namanya dipuji dan dikenang jauh lagi meminta dilantik apa-apa jawatan sekalipun.

Wassalam. -

Penarik Beca

Last changed: December 09, 1999