ReformIS

[ Contents | Post ]

Pengundi Melayu Tolak Umno/BN

From:
Date: 09 Dec 1999
Time: 02:22:54

Comments

Pengundi Melayu Tolak Umno/BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melihat kemenangan BN dalam Pilihanraya Umum 29 November 1999 lalu sebagai kemenangan akibat daripada sokongan undi bukan Melayu yang memberikan undi mereka kepada calon-calon BN. Kemerosotan jumlah ahli Parlimen Umno kepada 76 orang daripada 104 calon yang bertanding membuktikan bahawa orang Melayu sudah tidak lagi memberi kepercayaan kepada Umno untuk memerintah negara ini.

Keseluruhannya, calon-calon Barisan Alternatif telah mendapat sokongan padu daripada pengundi Melayu. Kekalahan tipis mereka di kawasan-kawasan 60 peratus Melayu adalah akibat undi bukan Melayu yang memihak kepada BN. Pengundi-pengundi di kawasan 80 peratus Melayu seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah memperlihatkan bahawa Umno sudah tidak relevan lagi untuk politik negara pada milenium baru nanti. Kekalahan teruk Umno di Kelantan dan Terengganu serta kejayaan PAS memperoleh kerusi di Kedah, Perlis, Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang memperlihat keyakinan orang Melayu telah mula berubah.

Kejayaan PAS untuk mengikis khurafat besar bahawa hanya Umno boleh memerintah, telah menyebabkan Umno begitu bergantung kepada orang bukan Melayu sehingga mereka berjaya menguasai 72 kerusi daripada 148 kerusi BN di Parlimen. Kejayaan BN menjalankan provokasi dan ugutan melalui media massa kepada pengundi bukan Melayu telah menyebabkan DAP kalah teruk serta calon-calon lain tewas tipis kepada BN.

DPP Pusat sangat sangsi melihat masa depan politik Melayu akibat bargaining power ahli Parlimen Umno yang seimbang dengan ahli Parlimen BN bukan Melayu. Ini bermakna Umno kemungkinan akan menggadai banyak kepentingan Melayu demi untuk mendapat sokongan pemimpin BN yang bukan Melayu. Kekalahan DAP ini menjanjikan kelemahan yang ketara kepada Umno kerana peningkatan ahli Parlimen bukan Melayu dalam kerajaan BN.

DPP Pusat melihat keseluruhan undi Melayu dalam pilihanraya ini telah memihak kepada Barisan Alternatif dan mereka telah memperlihatkan kebencian kepada Umno sehingga sekiranya Umno bertanding bukan atas tiket BN sudah tentu mereka akan tewas dengan teruk. Berikutan penolakkan orang Melayu terhadap Umno ini, DPP Pusat penuh yakin bahawa karier politik Umno yang kotor ini akan berkubur dan PAS akan tampil untuk mengambil alih kepemimpinan baru politik Melayu dengan lebih cekap dan adil.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Last changed: December 09, 1999