ReformIS

[ Contents | Post ]

Kharaj diperjelaskan.

From:
Date: 08 Dec 1999
Time: 22:54:14

Comments

Kerajaan Pas Terengganu akan berunding dengan Kerajaan Pusat untuk mendapatkan persetujuan bagi membolehkan masyarakat bukan Islam yang dikenakan kharaj dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Negeri, Harun Taib berkata, persetujuan kedua-dua belah pihak mengenai perkara itu perlu dibuat supaya tidak berlaku pertindihan dari segi pelaksanaannya.

Menurutnya, jika ada persetujuan, satu enakmen mengenainya akan diwujudkan bagi membolehkan orang-orang bukan Islam di Terengganu hanya perlu membayar kharaj tanpa dikenakan cukai pendapatan seperti sekarang.

''Sebenarnya kharaj yang kita cadangkan ke atas orang bukan Islam di Terengganu ini bukanlah bertujuan menganiaya atau menindas mereka, sebaliknya pelaksanaan peraturan itu dibuat secara adil.

''Seperti sekarang mereka (bukan Islam) dikenakan dua cukai iaitu cukai ke atas tanah sebelum dapat hasil dan satu lagi ialah cukai selepas memperoleh hasilnya.

''Kharaj pula, hanya satu cukai yang dikenakan ke atas masyarakat bukan Islam iaitu apabila mereka menerima hasil daripada kegiatan ekonomi mereka. Ini adil dan tidak membebankan mereka,'' ujarnya.

Harun berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran 'Ihya' Ramadan di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), di sini malam tadi.

Kenyataannya itu sebagai mengulas cadangan kerajaan Pas Terengganu untuk mengenakan kharaj (cukai) ke atas masyarakat bukan Islam di negeri ini yang kian hangat diperkatakan.

Harun sebelum ini ada menjelaskan, masyarakat bukan Islam akan dikenakan kharaj antara lima hingga 10 peratus setahun hasil daripada pendapatan tahunan tetap mereka.

Beliau seterusnya memberitahu, begitu juga umat Islam yang turut dikenakan cukai dengan membayar zakat dan mereka yang berbuat demikian dikecualikan daripada cukai pendapatan.

''Saya ingin menjelaskan bahawa orang bukan Islam tidak perlu bimbang yang mereka akan menanggung dua beban sebaliknya kita akan berunding dengan Kerajaan Pusat untuk menghapuskan cukai pendapatan mereka,'' ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengambil keputusan tidak berganjak daripada melaksanakan kharaj untuk masyarakat bukan Islam biarpun mendapat kecaman atau ugutan saman daripada DAP serta MCA.

Menurut Harun, pihak berkenaan tidak seharusnya melenting kerana pelaksanaan kharaj hanya di peringkat cadangan dan kajian mengenainya masih dalam perbincangan.

''Enakmen mengenai perkara itu pun belum dibincangkan lagi dan kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum ia (kharaj)dilaksanakan,'' katanya.

Harun selanjutnya menegaskan, kerajaan negeri tidak menghalang jika DAP atau mana-mana pihak membuat keputusan mengenakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Terengganu.

''Semasa Terengganu diperintah Barisan Nasional (BN) umat Islam juga dikenakan bermacam cukai termasuk membayar zakat sedangkan orang bukan Islam hanya perlu membayar cukai pendapatan dan cara itu tidak adil.

''Sebenarnya masyarakat bukan Islam kena faham bahawa kharaj yang akan dikenakan ini bukan menyusahkan mereka. Sebaliknya hasil kutipan cukai itu juga akan digunakan bagi kebajikan mereka sendiri,'' tambahnya.

Last changed: December 08, 1999