ReformIS

[ Contents | Post ]

Hmmmmmmm bestnya jadi warga Terengganu

From:
Date: 08 Dec 1999
Time: 19:22:31

Comments

Kerajaan Pas Terengganu akan melaksanakan janji-janjinya dalam manifesto sewaktu pilihan raya umum lepas secara berperingkat-peringkat.

Timbalan Persuruhjaya Pas negeri, Haji Harun Taib berkata sehingga ini, selepas seminggu kerajaan Pas mentadbir negeri, beberapa janji telah ditunaikan, antaranya penghapusan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud, sehari selepas Persuruhjaya Pas Terengganu Haji Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Menteri Besar, pada 30 Nov lepas.

"Kita juga telah laksanakan cuti bersalin selama 90 hari kepada kakitangan kerajaan, sebelum ini hanya 60 hari sahaja, bagi memastikan mereka benar-benar sihat untuk bekerja," katanya di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga melaksanakan kerja lima hari seminggu untuk semua kakitangan dan hari Khamis merupakan hari kerja sepenuh masa, di samping cuti Sabtu pertama setiap bulan.

Beliau berkata kerajaan juga telah menghapuskan kutipan cukai pintu kediaman untuk seluruh rakyat di negeri ini sebagai satu usaha memberikan pengagihan sama rata di atas keuntungan kerajaan selama ini.

"Kita tidak dapat memberi wang kepada rakyat, penghapusan cukai pintu kediaman itu adalah satu cara kita memberi hak rakyat di atas keuntungan yang diperolehi kerajaan negeri terutama melalui perindustrian seperti petroleum dan gas," katanya.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri juga sedang mengkaji beberapa perkara lagi termasuk melihat perkembangan dan perjalanan anak-anak syarikat di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk memastikan ia diuruskan dengan baik dan betul.

Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri berkata dalam pembentangan Belanjawan 2000 Negeri bulan ini, kerajaan akan menumpukan semua sumber pelaburan negeri adalah jelas salurannya.

"Di samping itu, kita galakkan pelaburan secara Islam yang mampu menarik lebih ramai pelabur serta menjalankan pinjaman tanpa 'riba' iaitu Al-Mudharabah," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkenalkan sistem pentadbiran di negeri ini berlandaskan Islam yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.

"Pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan dan sebagainya akan dilaksanakan mengikut Islam...Insya-Allah ia akan jadi kenyataan," katanya.

Last changed: December 08, 1999