ReformIS

[ Contents | Post ]

Kharaj Untuk Kebaikan Semua: Nik Aziz

From:
Date: 07 Dec 1999
Time: 23:32:06

Comments

Kharaj Untuk Kebaikan Semua: Nik Aziz

Kuala Lumpur: Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan cadangan perlaksanaan cukai ke atas bukan Islam di Terengganu adalah untuk kebaikan semua pihak.

Beliau juga berkeyakinan penentangan yang dibuat oleh sesetengah pihak terhadap cadangan itu adalah diakibatkan oleh kejahilan mereka mengenai system ekonomi Islam yang lebih baik berbanding system konvensional.

"Benda ini riuh kerana orang yang bercakap menentangnnya tidak ada pengetahuan mendalam tentang ekonomi Islam," katanya.

"Samalah dengan PAS ketika memperkenalkan Islam dan politik perlu diselaraskan yang menimbulkan kekecohan tetapi sekarang soal itu telah reda sebab kita menunjukkan dengan praktik bahawa apabila syariat dan politik diselaraskan, rakyat akan merasa aman dan lega," katanya ketika ditemui selepas pertemuan dan taklimat bagi ahli parlimen PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata beliau percaya isu kharaj itu akan reda sekejap apabila masyarakat mendapat pendedahan dan kefahaman yang jelas mengenai apa yang akan dilakukan oleh kerajaan Terengganu itu.

Menurutnya, beliau difahamkan kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan seminar bagi menjelaskan mengenai cukai kharaj itu terutama kepada bukan Islam.

"Mereka (bukan Islam) berhak untuk mengetahui mengenai cadangan itu kerana ia membabitkan mereka," jelasnya lagi.

Ketika ditanya mengenai tentangan yang dihadapi dari komponen Barisan Alternatif yang lain iaitu DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengenai cadangan itu, Nik Aziz berkata, beliau percaya kedua-dua parti itu akan menyokong penuh cadangan itu apabila mereka telah mendapat penjelasan yang sebenarnya.

Menurutnya, kharaj adalah perkataan umum yang memberikan maksud "cukai" dalam bahasa Malaysia manakala bentuk kharaj yang dikenakan dalah bergantung kepada kerajaan.

Dalam sistem percukaian Islam, tanah yang tidak mendatangkan hasil kepada pemilik tidak dikenakan cukai berbeza dengan sistem cukai sekarang, katanya.

"Ini jelas menandakan system Islam yang dilaksanakan oleh PAS adalah lebih baik berbanding dengan system lain," katanya,.

Bagaimanapun, kebaikan Islam itu telah ditutup dengan pelbagai propaganda orientalis dan penjajah, katanya.

Menurutnya, apa yang akan dilakukan di Terengganu adalah usaha untuk memperkenalkan sistem ekonomi Islam termasuk system percukaian yang akan memberikan kebaikan dan keadilan kepada semua pihak

daripada Harakah Daily

Last changed: December 07, 1999