ReformIS

[ Contents | Post ]

Terengganu Harus Berhati-hati

From:
Date: 07 Dec 1999
Time: 23:30:09

Comments

Terengganu Harus Berhati-hati

Menteri Besar Terengganu yang baru sudah semakin popular disebabkan beberapa usaha untuk memajukan negerinya. Setiap gerak-gerinya memang menjadi perhatian pihak Barisan Nasional yang mencari setiap kesilapan yang mungkin timbul dari seorang insan yang baru pertama kali memerintah sebuah negeri.

Kita harus mengakui bahawa bukannya mudah mentadbir sebuah kerajaan. Terutama sekali kalau sebuah negeri yang satu ketika dulu mempunyai segala peluang untuk menjadi kaya raya berdasarkan hasil mahsul yang sememangnya amat berharga.

Kerana itu kita mesti faham tentu ada muslihat tertentu kenapa YB Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang mahu memperkenalkan beberapa jenis cukai yang mungkin pada mata kasar akan menjejaskan sensitiviti orang-orang bukan Islam. Mengenakan cukai kepada orang bukan Islam bukannya perkara yang baru. Di zaman junjungan kita dulu baginda pernah juga mengenakan cukai ke atas hasil tanaman orang-orang Nasrani dan Yahudi. Cadangan Tuanguru Haji Abdul Hadi sememangnya mengikut ajaran Islam juga.

Mungkin tidak ramai yang mahu menulis perkara ini secara terbuka kerana sensitiviti issunya. Apalah yang ada pada penulis ini untuk membincangkan hukum-hukum Islam yang amat mulia itu? Akan tetapi, bagi tujuan mencari ketenangan fikiran digagahi juga penulisan ini agar ia mencetuskan satu kontroversi sebanyak mungkin dengan harapan penulisannya dapat menarik minat ramai juga.

Saya ingin mencadangkan di sini agar Tuanguru Haji Abdul Hadi Awang berhati-hati dengan usaha untuk mengenakan cukai ke atas orang-orang yang bukan Islam. Ini bukannya masa yaag sesuai untuk perkara itu.

a) Kerajaan Terengganu baru sahaja dirampas kembali oleh PAS setelah menunggu begitu lama. Sebarang usaha untuk mengenakan cukai kepada orang yang bukan Islam mungkin boleh ditafsirkan sebagai usaha membalas dendam.

b) Terengganu adalah sebuah negeri yang kaya dengan hasil minyak dan gas yang sudah mencukupi untuk digunakan bagi pembangunan secara berdisiplin dan bersistem;

c) Terengganu adalah sebuah negeri yang masih luas kawasan tanahnya dan mempunyai banyak ruang perairan, baik di darat mahupun di kawasan persisiran pantai. Semua ini merupakan sumber yang baik untuk dimajukan untuk membolehkan negeri itu menjadi sebuah negeri yang maju.

d) Jumlah pengundi di Terengganu adalah sekitar 388,000. Jumlah penduduk sebenar mungkin lebih sedikit dari setengah juta. Ini bererti Terengganu adalah dua kali ganda besarnya daripada jumlah penduduk yang ada di Dubai, sebuah negara yang kaya dengan gas dan minyak.

e) Mengenakan cukai ataupun kharaj ke atas bisnes orang bukan Islam bukan semudah yang kita fikirkan, kerana mengikut hukum kita perlu tentukan bahawa bidang niaga itu sememangnya diuruskan dan dipunyai oleh orang bukan Islam. Apa kata kalau bisnes itu diwakilkan kepada orang Islam? Akan bertambahkah nanti syarikat 'Ali Baba' ala tajaan UMNO sejak 42 tahun dulu di bumi Terengganu yang bertuah itu?

KEUPAYAAN MENJADI NEGERI YANG TERMAJU

Secara singkatnya dipaparkan beberapa cadangan yang difikirkan dapat membantu pemimpin Terengganu memajukan negeri itu:

1) Adakan satu seminar ataupun kongress ekonomi dan jemput semua pakar ekonomi, alim ulama dan para ilmuan menyertainya;

2) Terengganu mampu menjadi pengeluar daging ternakan yang terbesar di negara ini kerana keadaan tanah yang sesuai, sumber makanan yang mudah di dapati dan teknologi yang sedia ada. Kalau semua orang Islam di negara ini dapat digembelingkan menempah binatang yang akan dikorbankan setiap tahun, projek ternakan Terengganu sudah mampu dilancarkan dengan segera secara bersistematik. Ramai orang kita suka berbuat korban ketika berada di tanah suci sedangkan binatang korban itu datangnya dari New Zealand, Australia dan juga negara bukan Islam yang lain. Oleh kerana pakar vetenari di Arab Saudi masih merupakan orang-orang Amerika ataupun yang amat taksub dengan sistem Amerika, kita dapati ternakan yang dipelihara di negara Islam yang berjiran dengan Arab Saudi selalu sahaja dikenakan sekatan untuk masuk berdasarkan penyakit yang dihidapi binatang itu di musim haji.

3) Terengganu harus memulakan projek ternakan ikan dalam sangkar ataupun dalam kolam simen secara besar-besaran untuk menampung keperluan para nelayan laut. Ramai nelayan ini sudah berubah selera kerana enggan pergi ke lautan dalam. Bermacam alasan yang mereka berikan termasuklah tidak dapat bersembahyang Jumaat. Namun, pada hari Jumaat, kita lihat ada juga yang tidak nampak masjid.

4) Tanaman roselle telah dimulakan di Terenganu dengan jayanya. Tetapi, pemasarannya didapati lembab kerana kekurangan usaha.

5) Terengganu mampu memajukan projek pertanian secara saintifik dan secara projek kumpulan membabitkan petani kecilan. Cuba lihat bagaimana petani di Eropah boleh bersatu membuat projek sehinggakan mengeluarkan hasil tani yang menjadi industri besar negaranya. Lihat projek tanaman anggur di Colmar, Calspac dan Nantes di Peranchis. Semua penanaman anggur dibuat oleh petani secara projek individu. Tetapi, pemasarannya dilakukan secara kongsisama dengan bimbingan dan perlindungan pihak kerajaan.

Begitulah juga yang dilakukan oleh para nelayan di Sepanyol. Mereka keluar negara mencari ikan di lautan dalam. Bila diproses, hasil tangkapan itu menjadi urusan kerajaan. Sardin mereka digunakan sebagai bahan tukaran dagang (bartering item) oleh kerajaan Sepanyol dengan kerajaan yang lain.

Begitulah juga yang dilakukan oleh petani Belanda dan Jerman. Hasil susu mereka yang menjadi susu tepung, mentega dan kiju dijadikan bahan dagang yang berharga oleh kerajaan sehinggakan hasil itu menjadi bahan pinjaman dan sabsidi yang diberikan kepada negara yang membangun.

6) Terengganu boleh mengusahakan projek pembiakan lebah madu untuk mendapatkan madu yang baik bagi ekspot. Keadaan pembiakan amat sesuai sekali. Adanya pollen dari tanaman sawit, getah dan juga bunga akan menghasilkan madu yang boleh diadun untuk memberikan rasa yang tersendiri dan unik bagi keluaran Terengganu.

Projek pertanian yang dicadangkan di atas sepatutnya telah diusahakan secara besar-besaran oleh kerajaan BN sejak 40 tahun yang lalu. Ia terabai kerana projek itu tidak memerlukan modal yang besar dan tidak akan membabitkan usahasama yang akan mencetuskan wang panas secara ekspres.

KALAU TERENGGANU MEMERLUKAN DANA PELABURAN

Tuanguru Haji Abdul Hadi mungkin memikirkan dana yang diperlukan bagi pembangunan. Sebenarnya bermacam cara boleh diusahakan untuk menarik pelaburan. Saya tidak nampak kenapa Terengganu tidak boleh mengeluarkan 'mini-bonds' berasaskan 'American Munnis' yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan majlis bandaran di Amerika dalam tahun lapan puluhan dulu.

Kalau kerajaan Pusat enggan membantu Terengganu menyalurkan dana, saya fikir sampailah masanya Terengganu dan Kelantan bergabung tenaga mengeluarkan 'prommisory notes' seperti di atas untuk mendapatkan dana. Malahan Terengganu dan Kelantan boleh memulakan satu projek pertanian secara usahasama membabitkan kerajaan dengan rakyat Terenggnu dan juga para pelabur kecilan yang disatukan yang mungkin datangnya daripada Kuala Lumpur ataupun Ipoh ataupun Johor Baharu.

Kertas pinjaman boleh dikeluarkan berdasarkan sesuatu projek yang baik. Ia boleh dikeluarkan bagi projek pengeluaran madu lebah misalnya. Negara ini mengimpot madu lebah yang berharga berjuta-juta setiap tahun. Pembabitan rakyat marhain yang berminat melabur secara usahasama dengan kerajaan yang bersih adalah sesuatu yang belum dicuba di negara ini kerana persoalan hak menyedapkan para kroni semata-mata. Ia boleh berjaya Insya Allah kalau ciri-ciri memihak kepada kroni itu dihakiskan samasekali.

Projek pertanian yang boleh diekspot hasilnya amat mudah mendapatkan pinjaman dana sebagai modal. Bayangkanlah betapa Indonesia berjaya mengekspot nangka yang disalai secara saintifik (dehydration process) yang menjadi kegemaran orang putih masakini. Beberapa syarikat Singapura mengimpot mangga daripada Philippina dan India dan menggunakan proses ini untuk mengekspotnya pula ke Malaysia. Orang-orang Kenya dan Tanzania mengekspot pelbagai jenis ubi sebagai kerepek ke Eropah dan Amerika. Orang Thailand mengekspot durian, manggis dan sayur-sayuran setiap hari secara segar ke Eropah dan Amerika. Kita boleh masuk satu pasar mini di Amsterdam dan Rotterdam untuk membeli sebiji manggis segar yang telah dikupas dan dibungkus secara 'vacuum packing'. Kalau kita lihat proses pengolahan makanan yang saintifik yang sepatutnya telah didedahkan kepada orang kampung, rakyat di Terengganu dan Kelantan sudah lama menjadi kaya raya. Projek ini sepatutnya telah diusahakan oleh KEMAS sejak dua puluh tahun yang lalu untuk dijadikan bahan ekspot negara keluaran orang Melayu.

Apabila projek pertanian dapat direncanakan secara bersistem, dana boleh didapati dari pelbagai sumber. Kenapa perkara ini tidak dilakukan oleh kerjaan BN masih menjadi satu tandatanya yang amat memilukan sekali.

PROJEK PERIKANAN TERENGGANU

Kalau orang Terngganu mampu menternak ikan secara besar-besaran, pasaran yang paling mudah ialah di negara Arab dan juga Eropah. Malahan ikan kering amat diperlukan setiap hari di Afrika. Bayangkan Hongkong mampu mengekspot ikan kering berharga tinggi ke Nigeria, Uganda, dan Ethiopia sedangkan ikan-ikan itu adalah keluaran Vietnam Cambodia, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Projek ternakan ikan secara kolam simen boleh diusahakan secara usahasama dengan orang kota yang berminat untuk melabur. Cuma cara projek itu diolah untuk menarik minat mereka yang harus difikirkan.

Bayangkanlah apa akan jadi kalau Terengganu mampu mengekspot ikan pekasam ke luar negara ataupun daging salai (menggunakan suria) ke negara Arab dan bilis berlada kering ke Eropah?

ANJAKAN PRADIGMA

Sebagaimana yang kita bincangkan di awal tadi, memang bukan mudah mentadbir sebuah negeri. Tetapi ia boleh menjadi mudah kalau perencanaannya itu dilaksanakan dengan amat teliti. Perencanaan yang baik harus disusul pula oleh penglaksanaan yang baik serta ikhlas jua. Di tahap ini, sesuatu projek itu memerlukan sumber manusia yang terlatih, cekap dan amanah. Kejayaan yang menyusul pasti memberikan sinar yang menarik minat orang luar. Dari situ barulah terserlah kilauan kesucian ajaran Islam kerana apabila ia dipraktikkan dengan betul, hasilnya akan berupa segar sentiasa.

Cukuplah dulu dengan pendapat yang ikhlas ini. Terengganu dan Kelantan merupakan dua negeri Islam yang akan menjejakkan kakinya ke alaf baru dalam masa tiga minggu dari sekarang. Eloklah kita biarkan hari-hari yang mendatang ini berlalu secara tenang tanpa banyak kontroversi. Mentelahan pula kita akan berpuasa ketika itu. Biarlah negara ini mengharungi cabaran Y2K yang akan muncul sedikit hari lagi. Janganlah dibebankan diri kita dengan idea yang akan mencetuskan ruang bagi musuh terus menyerang.

Kita boleh menjangkakan beberapa tekanan kerajaan pusat ke atas Kelantan dan Terengganu sebagai mendera rakyatnya mengenepikan Barisan Nasional. Modal utama kerajaan pusat ialah melecehkan penghantaran dana untuk pembangunan. Mentelahan pula kerajaan pusat sendiri pun ketandusan sumber wang setelah merampok khazanah negara bagi tujuan memenangi pilihanraya. Kerana itu, kedua-dua kerajaan Islam ini perlu bantuan daripada semua para ilmuan dan cerdik pandai untuk menyediakan dana yang secukupnya untuk menegakkan dua buah kerajaan Islam yang kukuh dan berwibawa. Insya Allah kita akan berjaya kerana bantuan pasti datang dari semua sudut yang mahu turut serta, tidak kira apa kaumnya dan apa pula pegangan agamanya.

Setiap langkah yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz dan juga Tuanguru Haji Abdul Hadi Awang memang diteropong secara terperinci oleh pemimpin Barisan Nasional. Terutama sekali para pemimpin celup dan celupar dan para pemimpin yang sudah tersingkir dan tersungkur. Mereka yang sudah kehilangan jawatan tentunya sudah gian untuk mendapat perhatian media yang berterusan termasuklah pablisiti yang murahan. Usah beri mereka ruang untuk bersuara sumbang dulu sambil kita berusaha memperkuatkan kubu dan azam kita bersama.

-Jihad 155-

Last changed: December 07, 1999