ReformIS

[ Contents | Post ]

Persoalan-persoalan rakyat kepada pimpinan parti-parti dalam BA.

From:
Date: 07 Dec 1999
Time: 02:56:21

Comments

Persoalan-persoalan rakyat kepada pimpinan parti-parti dalam BA

Esok Rabu, 8 Disember 1999 para pemimpin parti-parti dalam BA akan mengadakan perjumpaan di kalangan mereka untuk membincangkan pencapaian BA dalam pilihanraya '99 serta menetapkan halatuju BA pada masa akan datang.

Selaras dengan konsep "syura rakyat" maka rakyat ingin mendapatkan komitmen yang jitu dari parti-parti dalam BA agar rakyat tidak keliru dengan halatuju BA. Ini penting kerana perjuangan untuk melepaskan rakyat dari belenggu pemerintahan kuku besi si mahazalim dan konco-konco masih diperlukan rakyat dan negara.

Antara isu-isu yang harus diberi pertimbangan oleh pucuk pimpinan BA adalah seperti berikut:

1. BA MESTI diteruskan demi rakyat kerana rakyat mengharapkan pilihan yang lebih bermoral, telus dan berwibawa.

2. BA harus menguat kesepakatan dengan menyelesaikan perkara-perkara pokok yang menjadi forbia dalam kotak minda rakyat. Kekeliruan terdapat di kalangan rakyat tentang kesepakatan ini. Ini ditambah dengan propaganda negatif oleh media BN yang boleh mengabui mata rakyat untuk terus yakin memberikan sokongan.

Isu-isu yang dimaksudkan adalah isu yang berkaitan dengan hak asasi, demokrasi, ketuanan orang melayu dan penerimaan ugama Islam dalam pemerintahan negara. Ini membabitkan PAS dan DAP. Para pimpinan mesti mengutamakan isu-isu realiti semasa yang menghantui jiwa rakyat berbanding idealisme parti masing-masing.

3. BA harus mempunyai logo sendiri untuk pilihanraya akan datang. Bila PAS mendapat kemenangan yang besar dalam pilihanraya '99, rakyat yang terkeliru menganggap bahawa ini adalah kejayaan PAS dan bukan kejayaan BA sedangkan kejayaan PAS adalah hasil usaha kesepakatan di kalangan parti-parti dalam BA. Ini tidak boleh dinafikan oleh PAS.

4. Seperti juga BN, BA harus menangani isu ahli lompat dengan sebaik mungkin. Kita tidak dapat menolak tentang realiti politik ini. Jangan ada sifat irihati dan berdendam kepada seseorang hanya kerana dia lebih sesuai dalam pergerakan parti yang baru berbanding parti yang lama.

5. BA harus meneruskan agenda "Ke Arah Malaysia Yang Adil" dan menggilap lagi manisfesto pilihanraya '99 sebagai satu wadah perjuangan yang bersepadu yang perlu diteruskan. Ini penting sebagai persiapan untuk pilihanraya akan datang. Setiap pendukung dan penyokong gerakan reformasi mesti tahu perkara ini secara terperinci dan disebarkan kepada rakyat. Kita tidak mahu melihat BA sebagai parti-parti yang bertujuan untuk pilihanraya sahaja.

6. BA harus mengambil langkah yang pragmatik untuk menarik perhatian pengundi baru dan bakal pengundi menjelang pilihanraya umum 4 atau 5 tahun lagi. Ini penting. Kejayaan tidak datang menggolek. Ia mesti diusahakan secara berterusan.

Kita minta BA memberi perhatian kepada kumpulan sasaran: - golongan jenerasi berumur 17 tahun dan keatas (4 tahun dari sekarang mereka layak mengundi)

- kelompok yang dinafikan hak mereka untuk mengundi (kira-kira 680 ribu orang)

- maklumat/penerangan sejelasnya secara berterusan

- pendedahan yang dibuat oleh BA terhadap UMNO/pemimpin UMNO perlu di"compile" untuk diedarkan kepada jenerasi muda khususnya, dan kepada kelompok UMNO yang tidak mendapat maklumat ini sebelum ini.

- artikel-artikel yang baik dan berfakta yang boleh dijadikan bahan rujukan/tatapan oleh jenerasi muda yang disiarkan samada di laman-laman internet/HARAKAH perlu didokumentasikan

- mengadakan intellectual discourse di Institusi Pengajian Tinggi/Media berkaitan dengan pelbagai isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini dari semasa ke semasa, atau mengadakan program berkaitan di kawasan di mana para pemimpin BA menang.

7. Semua jentera BA perlu digerakkan dan dimantapkan. Segala pengalaman dalam pilihanraya umum '99 perlulah dijadikan pengajaran di mana banyak perkara yang relevan kepada rakyat tidak dapat dilakukan lebih-lebih lagi tempoh kempen pilihanraya begitu singkat dan parti-parti BA tidak dapat menggunakan media-media nasional.

- adakan program-program ilmu dan kemasyarakatan secara berkala.

- pemimpin BA yang menang/kalah harus berganding tangan "turun ke padang" menemui masyarakat.

- BA harus menjadikan jenerasi muda sebagai pelapis pendukung jentera BA pada masa akan datang.

8. Cawangan-cawangan baru mesti ditubuhkan dan keahlian ditambah. Ini penting untuk pergerakan reformasi. Penyatuan para reformis adalah sangat penting.

9. Setiap ahli mesti dilatih baik dari segi kefahaman tentang perjuangan BA dan juga aspek pentadbiran dan karenah pilihanraya. Ini adalah untuk menyaingi kemantapan jentera BN yang diakui mantap. Kursus-kursus untuk melahirkan kepimpinan diperingkat bawahan adalah sangat mustahak.

10. Kedudukan kewangan BA mesti dikukuhkan. Banyak cara untuk mendapatkan wang boleh diadakan baik dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang. Walaupun pergerakan BA berdasarkan sukarela namun sebagai parti yang bertanggungjawab yang minimum perlu disediakan untuk mengurangkan bebanan.

11. Gerakan untuk mengenalpasti calon-calon yang berwibawa mestilah diteruskan. Rakyat memerlukan pemimpin yang berjiwa rakyat. Rakyat memerlukan kepimpinan yang ikhlas, jujur, cekap dan efisien.

12. BA mesti mengeksploitasi penggunaan Internet yang mampu menyaingi propaganda media-media keparat. Internet juga diperlukan untuk mewujudkan jaringan perhubungan yang berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada massa serta mengeratkan lagi perhubungan antara para reformis.

Fikirkanlah relevannya perjuangan BA adalah apabila ia mendapat sokongan, dokongan dan kepercayaan majoriti rakyat di Malaysia.

Teruskan perjuangan.

Reformasi.......Reformasi........Reformasi

+ sila edarkan kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam BA.

Terima kaseh

Webmaster ReformIS.

Last changed: December 07, 1999