ReformIS

[ Contents | Post ]

Lagi bukti SPR tipu rakyat

From:
Date: 06 Dec 1999
Time: 03:46:41

Comments

PR warta keputusan secepat mungkin

KUALA LUMPUR, Ahad - Semua pihak mempunyai hak untuk membuat aduan jika tidak berpuas hati dengan pilihan raya kali ini dengan mengemukakan bantahan melalui petisyen pilihan raya bagi membolehkan ia dibawa ke Mahkamah Pilihan Raya, selepas diwartakan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mewartakan keputusan pilihan raya umum ke-10 secepat mungkin iaitu antara dua hingga tiga minggu mulai sekarang.

"Terpulang kepada mana-mana pihak yang mahu mengemukakan petisyen ke mahkamah. SPR cuma boleh menjadi saksi di mahkamah nanti dan mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan jika ia menerima sebarang petisyen.

"Misalnya, petisyen boleh dikemukakan jika ada mana-mana pihak tidak puas hati dengan urusan undi pos, daftar pemilih atau terbabit dalam sebarang sogokan," katanya kepada Berita Harian.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamed Ezam Mohd Nor yang tewas bagi kerusi Parlimen Shah Alam di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata beliau akan mengemukakan petisyen bantahan kepada SPR dengan mendakwa penyelewengan berlaku pada hari pengundian 29 November lalu.

Mohamed Ezam mendakwa beberapa pemilih berdaftar di Shah Alam mendapati nama mereka dipindahkan ke kawasan lain menyumbangkan kepada kekalahan tipis beliau ditangan Mohd Zin dengan majoriti 1,440 undi.

Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP), Wee Choo Keong, juga sebelum ini menyatakan beliau akan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap penolakan kertas pencalonannya untuk kerusi Parlimen Bukit Bintang pada hari penamaan calon 20 November lalu, sejurus selepas keputusan pilihan raya diwartakan.

Mengikut peraturan, sesuatu petisyen pilihan raya boleh dikemukakan ke Mahkamah Tinggi dalam negeri di mana pilihan raya itu diadakan dalam tempoh 21 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya itu disiarkan dalam warta. Keputusan mungkin disiarkan dalam warta dalam tempoh sebulan selepas hari pembuangan undi.

Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata, secara keseluruhannya SPR berpuas hati dengan petugas pilihan raya di semua peringkat kerana menjalankan tugas dengan berdedikasi dan amanah.

Katanya, SPR juga membuktikan segala tohmahan dan kesangsian yang dilemparkan sebelum ini tidak berasas apabila ia berjaya mengendalikan pilihan raya itu dengan lancar.

"SPR membuktikan betapa telus dan bebasnya pilihan raya ini. Malah pengiraan undi diadakan secara adil. Jika betul ada penyelewengan terhadap pengundian, Terengganu mungkin tidak terlepas kepada pembangkang," katanya.

+ Rakyat melihat langkah SPR untuk mewartakan keputusan pilihanraya ini dengan segera adalah semata-mata untuk menutup penipuan mereka terhadap rakyat. Kerana kalau telah diwartawakan, sukar bagi calon untuk petisyen di mahkamah.

Last changed: December 06, 1999