ReformIS

[ Contents | Post ]

Nik Aziz setuju Pusat tutup JPP Kelantan

From:
Date: 06 Dec 1999
Time: 03:33:34

Comments

Nik Aziz setuju Pusat tutup JPP Kelantan

PASIR PUTEH 5 Dis. - Kerajaan Pas Kelantan bersetuju supaya Kerajaan Pusat menutup Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri itu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sejak dulu lagi kerajaan negeri beranggapan tidak perlu diwujudkan JPP kerana membazir.

JPP diwujudkan di Kelantan selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pas pada 1990 bagi membantu dan menyelaraskan projek pembangunan kerajaan pusat di negeri itu.

Menurut Nik Aziz, ini kerana JPP melibatkan banyak perbelanjaan seperti kos sewa bangunan dan menggajikan pegawai yang sepatutnya boleh digunakan di tempat lain.

''Kita (kerajaan negeri) sudah lama bersungut bahawa JPP tidak perlu ada di negeri ini kerana ia pembaziran. Kerajaan Pusat boleh menyalurkan kewangan melalui kerajaan negeri seperti yang dilakukan semasa pemerintahan kerajaan BN dulu.

''Kerajaan Pusat tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri mempunyai segala-galanya seperti audit, akauntan, penasihat undang-undang, peguam, ada mahkamah dan sebagai,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis kesyukuran di Kampung Gaal di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai ada di kalangan anggota UMNO mencadangkan JPP ditutup dan segala urusan berkaitan dengan pembangunan di negeri itu diserahkan kepada kerajaan Pas.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paduka Ibrahim Ali yang mencadangkan demikian berkata, ini kerana kewujudan JPP di Kelantan dalam konteks sekarang sudah tidak relevan lagi kerana rakyat sendiri menolak pembangunan.

''Sudah sampai masanya rakyat dan kerajaan negeri menguruskan sendiri projek pembangunan tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan,'' kata Ibrahim yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Menurutnya, sejak dulu lagi beliau pernah menyebut tidak perlu mengadakan penghulu kerajaan pusat sedangkan penghulu kerajaan negeri sudah ada bagi mengelakkan pembaziran.

Last changed: December 06, 1999