ReformIS

[ Contents | Post ]

Politik Kedah: Siapa Sebenarnya Kena Reject?

From:
Date: 05 Dec 1999
Time: 21:00:58

Comments

Politik Kedah: Siapa Sebenarnya Kena Reject?

Gara-gara Sanusi Junit yang tidak terkejut dengan kemerosotan BN di Negeri Kedah rupa-rupanya membawa satu kejutan yang paling besar. Beberapa hari selepas kemenangan tipis BN di Kedah, Sanusi sekali terkejut dengan berita-berita dari akhbar arus perdana yang mengulas serta meletakkan semua kesilapan dan kesalahan atas bahunya. Beberapa tokoh-tokoh Umno yang juga bekas exco negeri memberi ulasan yang begitu tajam, sehingga ada yang meminta Sanusi mengaku kesilapannya serta mengundur diri.

Apakah Sanusi benar-benar silap? Sebelum menjadi Menteri Besar Kedah, Sanusi yang menjawat setiausaha agung Umno pada tahun 1987, telah menjadi sasaran kemarahan segala ahli Umno akibat kecuaiannya dalam menjalankan tugas tersebut. Setelah Umno Lama diharamkan dan Sanusi tidak terpilih lagi menjawat jawatan tinggi dalam Umno apabila Umno Baru ditubuhkan. Ternyata Sanusi mula disisihkan dalam Umno di peringkat nasional.

Oleh kerana MAHAFIRAUN begitu terhutang budi terhadap Sanusi, MAHAFIRAUN telah menjanjikan Sanusi jawatan yang sesuai iaitu jawatan MB yang pada masa itu disandang oleh Osman Aroff. Pada pilihanraya 1990, Osman Aroff tidak bersedia melepaskan jawatan MB. Pada masa itu PAS dianggap boleh memberi saingan kepada BN di Kedah pada pilihanraya 1990. Sanusi masih boleh bersabar. MAHAFIRAUN juga bersabar dan Sanusi hanya bertanding di kerusi parlimen. Selama 5 tahun sehingga 1995, Sanusi masih berdendam dengan MAHAFIRAUN. Pelbagai janji tidak ditunaikan kepadanya oleh MAHAFIRAUN.

Pada pilihanraya tahun 1995, Sanusi tidak dapat menahan sabar lagi. Osman Arof juga berkeras tidak mahu meninggalkan kerusi MB. Walaupun Sanusi menang di kerusi DUN Kuah, dan Osman menang di Jitra, keputusan itu tidak membolehkan Sanusi menjadi MB lagi. Sanusi berasa diperbodohkan oleh MAHAFIRAUN kerana melantik semula Osman menjadi MB, walaupun Osman sedia memberikan jawatan exco kepadanya. Sanusi merasa dihina oleh MAHAFIRAUN lalu membawa diri ke Kuala Lumpur. Sejak dari itu, Sanusi tidak pernah menghadiri sidang dewan negeri sehinggalah pada Jun 1996, beliau dapat juga jawatan MB itu.

Dendam kesumat Sanusi rupa-rupanya tidak berhenti di situ sahaja. Apabila menjadi MB, Sanusi tidak memberikan sebarang jawatan exco kepada Osman. Jadilah Osman seperti kupang tembaga. Mungkin Sanusi seronok melihat Osman yang satu ketika menjadi orang paling berkuasa di dewan, tidak mempunyai apa-apa lagi jawatan dalam kerajaan melainkan sebagai seorang ADUN. Semasa Sanusi mendapat jawatan MB, exco-exco yang dilihat setia kepada Osman telah diberi kata dua. Permainan politik peras ugut Sanusi, menjadikan semua exco yang ada ketika itu terpaksa memberikan taat setia kepadanya.

Di peringkat bahagian dan cawangan, Sanusi dengan diam-diam mencantas seorang demi seorang orang kuat Osman. Akibat dari ini ramailah ahli-ahli Umno yang mula marah dengan percaturan politik Sanusi. Umno mula berpecah dan bercakaran sesama mereka baik di peringkat bahagian mahupun cawangan.

Sanusi mula mencanangkan idea-idea peliknya untuk mempopularkan diri sendiri. Oleh kerana mulutnya yang besar dan celupar, dia merasakan dirinya sudah popular. Ditambah pula Sanusi diperalatkan oleh Aziz Desa yang menjadi jurucakap setianya, dengan kelab Mat Jenin.

Sememangnya Sanusi tidak popular di Kedah. Rata-rata ahli umno yang sudah berpecah dua, sebahagiannya tidak lagi menyokong Sanusi. Banyak majlis yang Sanusi buat di Kedah dipulaukan oleh ahli-ahli Umno. Gelagat Sanusi dengan mulut celuparnya menjadi-jadi apabila beliau begitu marah kepada Datuk Ishak Baharom, bekas mufti Selangor. Antara keceluparan Sanusi ialah apabila beliau berkata "sanggup bermandi darah" dengan Ishak Baharom, sekiranya beliau berani datang berceramah di Kedah. Perbuatan menghina seperti ini sememangnya ditolak oleh orang-orang Melayu Islam yang menjadi majoriti di Kedah.

Penghinaan Sanusi tidak hanya di situ sahaja. Beliau sanggup pula memaki dan mencarut-carut pemimpin PAS yang lain seperti Datuk Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang. Dalam banyak ceramah-ceramahnya menjelang pilihanraya, mulut Sanusi begitu celupar dan suka cakap besar. Antara hajatnya ialah untuk menyapu bersih PAS dalam pilihanraya umum ke-10 yang lalu. "Kalau Bukit Raya kita boleh ambil balik, inikan pula Sala yang PAS menang dengan 196 undi itu. Siang-siang lagi dah boleh kita ambik" kata Sanusi penuh semangat.

Semasa kempen pilihanraya, Sanusi telah membuat kecaman-kecaman yang hebat ke atas pemimpin-pemimpin PAS. Di samping menjadikan video palsu Anwar dan Mat Sabu sebagai modal besar pilihanraya untuk menyapu bersih negeri Kedah, Sanusi juga mengecam PAS kerana membawa ramai tokoh-tokoh luar untuk bertanding di Kedah. Antaranya yang menjada sasaran Sanusi ialah Subki Latif dan Mat Sabu.

Siapakah yang kena REJECT?

"Orang Kedah dah tahu sapa calon-calon PAS, depa tu semua kena REJECT. Mat Sabu yang orang Kelantan REJECT mai Kedah, memang tak boleh menang. Rakyat Kedah akan tolak dia (Mat Sabu)." Penghinaan Sanusi ini disambut dengan baik oleh Mat Sabu.

Sebenarnya Sanusi adalah orang yang kena REJECT. Pertamanya apabila beliau diREJECT oleh pimpinan Umno diperingkat nasional pada tahun 1987-1988 dengan tidak diberikan sebarang jawatan tinggi. Kali keduanya apabila Osman Aroff meREJECT Sanusi daripada menjadi MB Kedah. Kali ketiganya apabila Sanusi kalah perebutan jawatan Ketua Bahagian Langkawi. Ketika itu ahli-ahli Umno secara terang-terang REJECT Sanusi daripada menjadi ketua mereka. Tetapi atas ihsan MAHAFIRAUN, Sanusi dilantik secara paksa memegang jawatan Ketua Bahagian.

REJECT kali keempatnya berlaku apabila khabar angin bertiup kencang di Kuala Lumpur bahawa Sanusi akan dilantik sebagai MB Kedah. Dua puluh dua (22) orang ADUN yang masih setia kepada Osman Aroff telah berjumpa secara rahsia di kediaman Menteri Besar di Mentalon, menyatakan sokonngan yang tidak berbelah bagi kepada Osman dan meREJECT Sanusi dari menjadi MB. Tetapi akhirnya dengan mainan politik yang kotor Sanusi dapat juga menjadi MB Kedah, selepas setahun menang di DUN Kuah.

Kebimbangan MAHAFIRAUN kepada pengaruh PAS Kedah yang semakin kuat memaksa MAHAFIRAUN melantik Sanusi dan Sanusi pernah berjanji dan bersumpah kepada MAHAFIRAUN bahawa beliau akan memastikan BN Kedah menang besar dalam pilihanraya berikutnya (ke-10 lalu).

Rupa-rupanya Sanusi termakan sumpah sendiri. Akibat keceluparan mulutnya yang besar itu, BN tewas di 12 kawasan DUN dan 8 Parlimen di negeri Kedah. Apabila meriam-meriam besar Umno mula menuding jari kepadanya akibat kekalahan tersebut, Sanusi mengambil sikap bertahan. MAHAFIRAUN sangat marah kepada Sanusi dengan keputusan pilihanraya yang lalu. BN mendapat malu yang sangat besar. Mana boleh negeri yang ada Perdana Menteri, hampir dikalahkan? Ini menjadikan MAHAFIRAUN malu, dan sasarannya ialah Sanusi. Pemimpin bahagian Umno dan bekas-bekas ADUN yang tidak dicalonkan mula memberi reaksi dan menghentam Sanusi. MAHAFIRAUN terselamat dalam senario ini.

Apakah Sanusi mengaku kalah?

ADUN-ADUN BN daripada Umno yang menang adalah muka-muka baru. Tidak ada seorang pun yang berwibawa untuk menjawat jawatan MB. Sanusi nampak keadaan ini boleh memberikan keuntungan kepadanya. Mulalah Sanusi membuat kenyataan akhbar tidak mahu lagi menjadi Menteri Besar kerana sering dipersalahkan akibat kemenangan tipis BN di Kedah. Tujuan Sanusi berbuat demikian adalah untuk menyedarkan Umno bahawa ADUN Umno yang menang itu semuanya tidak berwibawa. Apabila orang melihat senario ini, mereka tidak akan nampak siapa yang layak memimpin negeri Kedah. Tambahan pula kemenangan besar PAS menawan 12 DUN itu memang tidak berupaya ditepis oleh MB yang baru.

Kenapa perlu Sanusi membuat kenyataan akbar jika tidak mahu menjadi MB lagi. Paling memalukan ialah apabila Sanusi hanya diiringi oleh 2 orang anaknya dan anak saudaranya. Ke mana pergi ADUN Umno yang lain? Ketiadaan mereka ketika Sanusi membuat kenyataan akhbar itu menjawab segala persoalan. Sememangnya Sanusi sudah mula diREJECT oleh ADUN-ADUN Umno. Mereka tidak sanggup lagi mengangkat seorang MB yang celupar mulutnya dengan idea-idea yang tidak masuk akal seperti tanam padi atas bumbung, mengurat isteri sendiri dan mencabut uban suami.

Sanusi harap ahli-ahli Umno akan berasa simpati dan mula memujuknya kembali menjadi MB. MCA dan Gerakan sudah mula usaha ini. Apakah muslihat Sanusi akan berjaya? Pernah Sanusi mengatakan dia mempunyai seribu satu idea lagi untuk memajukan Kedah. Pernah Sanusi mendakwa beliau adalah keturunan pahlawan Acheh yang tidak pernah mengaku kalah. Sememangnya Sanusi tidak percaya beliau tidak boleh lagi menjadi MB. Dan Sanusi juga tidak percaya ada orang lain dari Umno yang menang DUN itu lebih layak daripadanya untuk jawatan MB.

Presiden PAS dalam satu ulasannya kepada desas-desus jawatan MB Kedah ini secara berseloroh berkata, "Kita dari PAS masih mengharapkan Sanusi menjadi Menteri Besar Kedah lagi. Kerana dengan cara itu akan memudahkan PAS untuk menawan Kedah dalam pilihanraya 2004 nanti."

CyberCops

Last changed: December 05, 1999