ReformIS

[ Contents | Post ]

Mood Rakyat Terengganu Menjelang Kemenangan

From:
Date: 04 Dec 1999
Time: 22:01:30

Comments

Mood Rakyat Terengganu Menjelang Kemenangan

Rakyat dan pengundi Terengganu memang awal-awal lagi menghidu kemenangan Barisan Alternatif (khususnya PAS) di Terengganu. Mereka mula bercakap tentang "ada peluang tahun ini" dan bersembang panjang tentang orang itu, orang ini sudah keluar dan tinggalkan Umno. Jentera Umno berada dalam keadaan yang daif sekali, walaupun suasana kempen yang panas dan tegang tidak wujud di Terengganu.

Anak-anak muda, tanpa mengira latar belakang pendidikan dan tanpa mengira gaya hidup, bercakap soal perubahan, soal menggulingkan Wan Mokhtar (bekas MB Terengganu) dan kezaliman MAHAFIRAUN. Malah, mereka cukup tertarik dengan manifesto PAS untuk mendapatkan hasil minyak petroleum 20 peratus dari Petronas. "Daripada dihabiskan oleh MAHAFIRAUN dan anak-anak dia, baik kita ambil!" begitulah nada anak-anak muda Terengganu terhadap wang Petronas, kini hanya 5 peratus royalti diperolehi oleh kerajaan negeri.

Gaya anak-anak muda ini samalah anak-anak muda di Kuala Lumpur. Macam-macam jenis anak muda, yang melepak, yang berpeleseran dan jenis hu-ha hu-ha gembira jika (dan apabila) BN tumbang dan digantikan dengan kepimpinan Melayu di bawah PAS. Mereka bangga. Cita-cita mereka itu jelas tergambar apabila keesokan harinya (hari ini, 30 November) mereka bercakap, bersembang, bercerita tentang kemenangan PAS 28 kerusi DUN, dan hanya 4 kerusi BN. Kemenangan ini bukannya kemenangan PAS tetapi kemenangan rakyat Terengganu.

Saya sempat menikmati saat-saat kejatuhan BN itu. Beberapa hari sebelum hari membuang undi, saya pulang untuk mendapatkan cerita sebenar. Pakcik, makcik bercerita tentang perubahan, bercerita tentang propaganda TV yang meloyakan, bersembang pasal kezaliman MAHAFIRAUN terhadap Anwar, simpati mereka pada Kak Wan, sikap meluat mereka pada Ku Li dan Umno.

Oh, rupa-rupanya anak-anak Terengganu juga bercakap macam orang berpendidikan tinggi di Lembah Klang. Tak pernah saya berkesempatan menikmati mood perbincangan yang luar biasa seperti ini, sedangkan ini tempat kelahiran saya dan saya sendiri sudah minat politik sejak 15 tahun lalu, sejak di sekolah menengah lagi.

"Saya agak, kita boleh menang kali ini," jelas seorang Pakcik kepada beberapa orang, termasuk saya. Setiap kali pembeli mengunjung kedai runcitnya, mereka suami isteri akan bertanya, "bulan terang kali ini?" membayangkan apakah pembeli itu sokong PAS yang berlambangkan bulan purnama. Tetapi saya sebagai seorang penulis yang kritis dan skeptis, jarang sekali ambil sikap optimis melulu, lalu saya berhujah tentang penyelewengan demi penyelewengan dalam pilihan raya umum ke-10 ini. Semua mereka marah, geram dan kecewa.

"Tengok tu," tunjuk Pakcik itu kepada saya, "bersepah poster BN yang jatuh tidak dinaikkan semula. Itu tanda-tanda BN akan jatuh. Saya sudah pergi banyak tempat, mana ada poster PAS yang jatuh macam itu?" Saya juga perasan hal yang sama walaupun BN masih lagi megah mengibarkan bendera-bendera Umno dan BN yang besar-besar dan tinggi-tinggi. Kawasan saya memanglah lubuk BN dan mood di kampung saya dikuasai kemegahan kumpulan pro-Umno tetapi kali ini berbeza. Sungguh berbeza.

Pada hari mengundi, seperti tabiat biasa orang Terengganu pergi ke bandar atau kenduri-kendara, orang Terengganu keluar membuang undi. Sedikit meriah, sedikit berpesta dan semacam nak ke majlis kenduri. Suasana lembab, becak dan sudah berhari-hari begini di musim tengkujuh di Terengganu tetapi masing-masing pengundi tersenyum. Rupa-rupanya....

Selepas Maghrib, sekitar jam 7:15 malam, saya meninjau pusat-pusat pembuangan undi di sekitar kampung saya yang dulunya memang sukar sekali ditembusi pembangkang. Saluran demi saluran dimenangi oleh PAS, bukan sedikit tetapi beratus-ratus undi. Petugas-petugas BN (polling/counting agent) keluar keseorangan, muka tunduk, diam, sedikit berang, tergambar kekecewaan.

Di luar kawasan sekolah-sekolah pusat pembuangan undi, kumpulan-kumpulan penyokong PAS (khususnya anak muda 20-an dan 30-an) tidak sabar menunggu keputusan, masing-masing berharap dengan debar. Tidak ada apa yang disembangkan, kutuk kezaliman MAHAFIRAUN, muak dengan ahli-ahli politik BN Terengganu yang "tua-tua" (macam MAHAFIRAUN juga!). Anak-anak muda ini inginkan perubahan. Jelas, mereka inginkan perubahan.

Sebaik sahaja pusat-pusat pengundian itu sudah dipastikan dimenangi calon-calon PAS, mereka bertakbir beramai-ramai. Kemudian berarak pula ke pusat penjumlah undi Stadium Negeri di depan Hospital Kuala Terengganu. Hujan lebat, cukup lebat, dengan angin yang kuat juga (maklumlah tepi pantai, musim tengkujuh pula) tetapi anak-anak muda ini tidak berganjak, malah sanggup kuyup.

Rupa-rupanya kemenangan ada seninya juga....

Laporan: Fathi Aris Omar [e-mel: wanparis@yahoo.com]

Last changed: December 04, 1999