ReformIS

[ Contents | Post ]

Exco Kerajaan Kelantan

From:
Date: 03 Dec 1999
Time: 00:08:29

Comments

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengumumkan senarai Exco kerajaan negeri pimpinan PAS yang mengandungi dua muka baru.

Mereka ialah Anuar Tan Abdullah, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama dan Takiyuddin Hassan, ADUN Bunut Payong.

Mereka mengambil tempat Hassan Abdullah, ADUN Pengkalan Pasir yang sebelum ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Alam Sekitar dan Kesihatan dan Datuk Halim Mohamed yang tidak bertanding pada pilihan raya ini kerana uzur.

Barisan Exco itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, kata Nik Aziz pada persidangan berita di sini.

Susunan Exco itu menyaksikan Nik Aziz kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli manakala Timbalan Menteri Besar Abdul Halim Abdul Rahman (ADUN Kijang) bertukar portfolio dan kini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia.

Anggota lain ialah Muhammad bin Daud (ADUN Kenali) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Dakwah, Penerangan dan Hal Ehwal Wanita; Omar Muhammad (ADUN Perupuk) -- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa;

Ahmad Yakob (ADUN Pasir Pekan) -- Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Abdullah Yaakob (Air Lanas) -- Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam; manakala Hasan Muhammad (ADUN Kemuning) Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Belia dan Sukan.

Takiyuddin, 38, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran Awam yang sebelum ini disandang oleh (Datuk) Halim manakala Anuar Tan, 50, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum, Pelancongan, Alam Sekitar dan Kesihatan.

Takiyuddin yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan adalah seorang peguam lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya yang berasal dari Kedah manakala Anuar Tan, seorang usahawan, pernah menjadi Naib Ketua Pemuda Gerakan Malaysia.

"Melalui anggota barisan Exco seramai sembilan orang ini, saya berjanji untuk membangunkan Kelantan secara seimbang antara rohani dan jasmani," katanya.

Nik Aziz juga mengumumkan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (ADUN Tanjung Mas) kekal sebagai Speakar DUN.

Nik Aziz berkata beliau mungkin akan menambah keanggotaan Exco sedia ada dengan menggubal undang-undang baru apabila ada keperluan.

Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan negeri ingin melantik mufti untuk duduk bersama pada mesyuarat Exco itu, Nik Aziz berkata ia tidak ada dalam perancangannya.

Menurutnya sebagai pemerintahan bertema "Membangun Bersama Islam", kesemua angota Exco itu mampu menjalankan tugas dengan baik mengikut kehendak agama.

Last changed: December 03, 1999