ReformIS

[ Contents | Post ]

KERAJAAN PAS TERENGGANU AKAN BERI KERJASAMA KEPADA PUSAT

From:
Date: 03 Dec 1999
Time: 00:01:09

Comments

KERAJAAN PAS TERENGGANU AKAN BERI KERJASAMA KEPADA PUSAT

Kerajaan PAS Terengganu akan memberikan kerjasama kepada kerajaan pusat dalam segala urusan berkaitan pentadbiran antara kerajaan negeri dan persekutuan, kata Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang.

"Kami terus bekerjasama dengan kerajaan pusat di atas sifat kita dalam satu keluarga... dalam negara persekutuan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco pertamanya di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mesyuarat itu diadakan kira-kira sejam selepas Abdul Hadi dan 10 anggota exco mengangkat sumpah pada istiadat perisytiharan pelantikan menteri besar dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri di Istana Maziah pagi ini.

PAS mengambil alih kepimpinan kerajaan Terengganu apabila memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh daripada lapan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Isnin lepas. Satu lagi kerusi Parlimen dimenangi Keadilan.

Ditanya mengenai isu royalti petroleum, Abdul Hadi berkata kerajaan negeri bercadang mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat untuk meminta royalti hasil petroleum ditambah. Pada masa ini Terengganu memperolehi royalti lima peratus hasil petroleum di negeri ini.

"Kami berusaha sedaya upaya supaya rakyat Terengganu diberi hak sewajarnya.

Kami tidak mahu apa yang berlaku hari ini...negeri yang menjadi tempat sumber petroleum merupakan negeri yang termasuk dalam senarai rakyat termiskin yang banyak," katanya.

Ketika ditanya adakah kerajaan baru PAS itu akan cuba membongkar sebarang penyelewengan dalam kerajaan sebelum ini, beliau berkata ia tidak akan menjadi sebuah kerajaan yang balas dendam.

"Kami akan jadi kerajaan yang baik, yang membetulkan kesilapan yang lalu...tindakan yang diambil berdasarkan keadilan dan tidak menjejaskan kebaikan seluruh rakyat," katanya.

Abdul Hadi berkata kerajaan PAS Terengganu juga akan membuat beberapa perubahan mengenai dasar-dasar kerajaan di negeri ini berasaskan manifesto PAS semasa pilihan raya lepas.

Kerajaan bertanggungjawab untuk menunaikan kewajipan menegakkan Islam sebagai agama yang memerintah dan bukan agama yang diperintah, katanya.

Ketika ditanya mengenai wawasan kerajaan negeri, Abdul Hadi berkata: "Kerajaan kita adalah untuk dunia dan akhirat".

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengamalkan sikap terbuka terhadap pelabur-pelabur yang ingin menanam modal di negeri ini.

"Sekiranya mereka memahami konsep keadilan, kebaikan yang ada dalam Islam, banyak perkara-perkara yang menggalakkan mereka datang ke Terengganu...InsyaAllah," katanya.

Mengenai cadangan kerajaan negeri mengharamkan arak dan judi, beliau berkata: "Kami melihat dari segala aspek...mengikut ajaran Islam, orang yang bukan Islam diberi kebebasan individu yang diizinkan oleh agama mereka dengan tidak mengganggu anggota masyarakat yang lain."

Abdul Hadi juga berkata langkah menghapuskan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud yang bermula semalam akan menyebabkan kerajaan negeri kekurangan hasil sebanyak RM4.5 juta setahun.

Penghapusan kutipan tol itu dibuat berikutan janji PAS dalam manifestonya semasa pilihan raya umum lepas untuk menghapuskan bayaran tol sekiranya mereka menang pada pilihan raya.

Last changed: December 03, 1999