ReformIS

[ Contents | Post ]

IDRIS OMAR KETUA PEMBANGKANG DI DUN PAHANG

From:
Date: 02 Dec 1999
Time: 23:57:38

Comments

IDRIS OMAR KETUA PEMBANGKANG DI DUN PAHANG

Timbalan Mursyidul Am PAS Idris Omar, 64, dilantik mengetuai barisan pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pahang berikutan kejayaan PAS memenangi enam kerusi pada pilihan raya Isnin lepas.

Keputusan sebulat suara itu dicapai pada mesyuarat PAS Negeri di Cenur, Maran semalam.

Idris, yang dihubungi dari sini, hari ini berkata, beliau menerima perlantikan itu sebagai menghormati keputusan mesyuarat yang meminta beliau memimpin barisan pembangkang di DUN Pahang.

Idris, yang menyertai PAS pusat sejak tahun 1966 bertanding buat pertama kali pada pilihan raya Isnin lepas dan berjaya menewaskan calon BN Datuk Abdul Malik Ismail bagi kerusi DUN Semantan dengan majoriti 1,314 undi.

Dilahirkan pada tahun 1935 di Kampung Tebal, Seberang Temerloh, beliau memperolehi pendidikan tinggi iaitu Ijazah Sarjana dalam bidang Undang-undang Keluarga dan Usul Fiqh di Universiti al-Azhar, Mesir.

Beliau merupakan Pendakwa pertama di Mahkamah Syariah Pahang dan pernah menganggotai Jawatankuasa Fatwa Pahang.

Jawatan lain yang pernah disandangnya ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Ketua Jabatan Syariah UKM, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, pensyarah Kuliyyah Undang-undang UIA, pengasas dan penasihat Rumah Anak Yatim Darul Izzah dan Pertubuhan Kebajikan Islam Uswatun Hasanah.

Pada pilihan raya ini, PAS meletakkan 24 calon bagi kerusi DUN dan enam calon bagi kerusi Parlimen di Pahang.

Selain Semantan, PAS turut menang di DUN Tahan, Penur, Kuala Pahang, Guai dan Jengka manakala DAP dan Keadilan masing-masing memenangi satu kerusi di Triang serta Cini.

Idris, yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS berkata beliau akan menggunakan peluang sebagai ketua pembangkang itu untuk menegakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat, terutama berkaitan agama dan pembahagian hasil mahsul negeri ini.

Sebagai contoh, beliau berkata pembahagian balak sebaik-baiknya dijalankan melalui tender terbuka supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati hasil kekayaan negeri.

Last changed: December 02, 1999