ReformIS

[ Contents | Post ]

Jengka di tawan PAS.

From:
Date: 01 Dec 1999
Time: 02:50:24

Comments

Antara keputusan yang memeranjatkan pada pilihan raya umum ke-10 di negeri Pahang ialah tumbangnya bekas peneroka, Datuk Zainal Hassan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka kepada calon PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Zainal, 54, mencatatkan sejarah negara apabila muncul sebagai peneroka Felda pertama di negara ini yang dilantik menganggotai barisan Exco kerajaan negeri.

Sebelum pelantikan itu, beliau terkenal sebagai penyokong kerajaan yang banyak membuat "kerja rumah" dan lantang membangkitkan isu-isu berkaitan peneroka Felda, terutama di kawasan Jengka yang diwakilinya itu.

Walaupun berdasarkan rekod cemerlang Zainal pada dua kali pilihan raya sebelum ini yang dijangka gagal digugat, Tuan Ibrahim, bekas pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, telah berjaya mencuri hati pengundi untuk memilihnya kali ini.

Mungkin popularitinya sebagai penceramah bebas yang sering dijemput berceramah dan memberi pendapat di corong-corong radio sebelum ini sedikit sebanyak membantunya untuk menempa kejayaan pertama pembangkang di kawasan itu khususnya.

Tuan Ibrahim yang memperolehi undi sebanyak 5,338 menewaskan Zainal dengan majoriti 319 undi dalam pertarungan satu lawan satu dengan peratus keluar mengundi sebanyak 83.24 daripada jumlah 12,706 pemilih.

Hakikatnya jangkaan sebelum ini bahawa kawasan Felda merupakan antara `kerusi panas' yang boleh dimiliki sesiapapun jika calon yang ditampilkan memuaskan hati pengundi menjadi kenyataan.

Daripada satu segi lain pula, calon yang bekerja keras sahaja belum tentu dilihat dapat menambat hati pengundi menentukan kejayaan sesebuah parti.

Misalnya, Zainal sedang merencanakan beberapa projek pembangunan di Jengka, seperti Sekolah Menengah Teknik, Klinik Kesihatan yang baru, Stadium Jengka dan juga Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) sebanyak 300 unit yang akan melibatkan kos kira-kira 63 juta kesemuanya.

Faktor ini turut disokong oleh Pengerusi BN Negeri Tan Sri Khalil Yaakob yang mengatakan faktor kerja kuat sahaja belum memadai untuk memastikan kemenangan calon.

Beliau juga ada menyebut sentimen politik Kelantan yang dikuasai PAS juga telah mempengaruhi pengundi, tetapi pada masa pilihan raya sahaja dan bukannya pada masa yang lain kerana kerajaan negeri tidak ada masalah dengan mereka sebelum ini.

Pendapat mengatakan pola pengundi di Pahang kali ini menolak calon yang terlalu lama bertanding di satu-satu tempat juga mungkin ada betulnya seperti kekalahan di Cini, Kuala Pahang dan Penor yang calonnya sudah melebihi satu penggal.

Pendekatan PAS yang agak agresif seperti memberi penerangan dari rumah ke rumah selain ceramah-ceramah untuk mendekati orang ramai dikatakan antara faktor kejayaan mereka memikat pengundi di Jengka.

Keputusan ini menunjukkan bahawa suara penduduk di kawasan Felda khususnya di Jengka tidak lagi boleh dikesampingkan, dan ada yang masih tidak berpuas hati walaupun sebelum ini mereka sudah menerima berbagai bantuan daripada kerajaan.

Apapun keputusannya dan siapa juga yang memenanginya nasib penduduk di Felda harus terus dibela sebagai satu daripada penyumbang ekonomi negara melalui pengeluaran minyak kelapa sawit dan getahnya.

Bandar Pusat Jengka, pusat pentadbiran di situ yang kebanyakannya didiami kakitangan awam kerajaan mempunyai pemilih yang paling padat di tanah rancangan itu sebanyak 1,869 orang dengan 99.5 peratus merupakan pengundi Melayu iaitu sebanyak 1,550 orang.

Menurut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya, DUN Jengka yang terdiri daripada Jengka 11 sebanyak 1,550 orang pemilih, Jengka 14 (1,237), Jengka 21 (1,091), Jengka 15 (1,149), Jengka 16 (1,117), Jengka 20 (1,052), Jengka 17 (1,035), Jengka 18 (1,408) dan Jengka 19 (1,280) dan jumlah keseluruhannya 12,788.

Last changed: December 01, 1999