ReformIS

[ Contents | Post ]

TG Hj A Hadi jaguh pilihanraya '99

From:
Date: 01 Dec 1999
Time: 02:32:23

Comments

Satu-satu calon yang disifatkan sebagai "jaguh" atau "giant killer" dalam pilihan raya umum ke-10 semalam ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu, Haji Abdul Hadi Awang.

Ini kerana beliau bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Ru Rendang dan parlimen Marang, malah Abdul Hadi yang lebih dikenali sebagai "tok guru" mencatatkan sejarah bagi Pas kerana berjaya menawan Terengganu yang sekian lama diidam-idamkan.

Walaupun tidak menyapu bersih semua 32 kerusi Dun, namun kemenangan yang dicatatkan itu dianggap "luar biasa" disebabkan pencapaian yang "tidak disangka-sangka" Ternyata kemenangan Pas di Terengganu adalah bukti rakyat mahukan perubahan hingga sanggup mempertaruhkan masa depan mereka kepada Pas negeri di bawah pimpinan Abdul Hadi.

Pas memenangi 28 kerusi Dun berbanding dengan tujuh kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 1995. Kemenangan Pas pada pilihan raya umum kali ini adalah melebihi tiga kali ganda dan ini adalah satu catatan terbaik.

Kemenangan yang ditentukan oleh tangan pengundi itu seolah-olah mengambarkan kepercayaan dan kelebihan terhadap Abdul Hadi dalam menerajui Pas Terengganu.

Kemenangan yang dicapai oleh Pas itu juga membuktikan kesabaran pemimpin parti terutamanya Abdul Hadi yang tidak jemu dan tidak henti-henti menjelajah ke seluruh negeri untuk berceramah bagi menyampaikan "yang disirat" dalam hatinya.

Atas kegigihan beliau itu maka segala dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau kononnya berkepentingan diri ditolak sama sekali oleh penyokong dan "peminat" beliau.

Kuliah setiap pagi Jumaat oleh Abdul Hadi di Masjid Rusila, Marang adalah satu faktor yang menarik umat Islam kepada keyakinan perjuangan beliau dalam menegakkan syiar Islam.

Kuliah yang sama sekali tidak menyentuh politik itu bukan sahaja menambat hati dikalangan penyokong Pas tetapi juga segala lapisan masyarakat termasuk kakitangan dan pegawai tinggi kerajaan.

Kebijaksanaan beliau dalam menyampaikan kutbah yang menfokuskan isu semasa dan tidak menyentuh soal politik juga turut menarik perhatian umat Islam daripada pelbagai lapisan.

Panggilan "ayah chik" dikalangan masyarakat daerah Marang mencerminkan hubungan rapat antara mereka dengan beliau, lebih-lebih lagi dengan personaliti beliau daripada segi hidup yang sederhana dan tidak menampakkan keangkuhan walaupun berjawatan ahli parlimen dan wakil rakyat.

Last changed: December 01, 1999