ReformIS

[ Contents | Post ]

HADI DISEGANI KERANA ILMU DAN KETEGASANNYA

From:
Date: 01 Dec 1999
Time: 02:10:02

Comments

HADI DISEGANI KERANA ILMU DAN KETEGASANNYA

Persuruhjaya PAS Terengganu, Haji Abdul Hadi Awang yang dilantik sebagai Menteri Besar baru negeri ini hari ini, merupakan seorang yang disegani kerana keilmuan dan ketegasannya dalam memperjuangkan sesuatu perkara.

Hadi, yang dilahirkan di Rusila, Marang pada 20 Okt 1947, merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mendekati rakyat terutamanya nelayan dan petani.

Anak kelima daripada sembilan adik beradik itu, merupakan anak Tuan Guru Haji Awang Mohamad Abdul Rahman, yang terkenal di Rusila dan menjadi rujukan serta tumpuan masyarakat terutama dalam hal-hal berkaitan agama.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Rusila pada 1951, seterusnya ke Sekolah Arab, Marang selama lima tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin dan meneruskan pengajian di Universiti Islam Madinah pada 1969 dengan biasiswa kerajaan Arab Saudi.

Pada 1974, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Siasah Syariah dari Universti Al-Azhar selama tiga tahun.

Hadi melibatkan diri dalam arena politik sejak 1964 dengan menjadi Setiausaha PAS Ranting, Marang dan menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu setelah kembali dari pengajian di luar negara pada 1976 dan setahun kemudian dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau dilantik sebagai Naib Presiden PAS pada 1983, dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Presiden PAS apabila Datuk Fadzil Noor dilantik sebagai Presiden parti.

Hadi, yang pertama kalinya bertanding pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang pada 1978, gagal mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zahid yang memperolehi majoriti sebanyak 64 undi.

Bagaimanapun, percubaan keduanya pada 1982 membolehkan beliau mengalahkan Tengku Zahid dengan majoriti 320 undi dan meneruskan kejayaannya pada pilihan raya 1986 bagi DUN Ru Rendang tetapi kalah Parlimen Marang kepada calon BN, Abdul Rahman Bakar.

Kejayaan Hadi bagaimanapun diteruskan apabila menang di kedua-dua kerusi yang ditandinginya iaitu DUN Ru Rendang dan Parlimen Marang pada pilihan raya 1990, 1995 dan 1999.

Di peringkat antarabangsa pula, Hadi pernah dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam di Istanbul, Turki (1994), AJK penyelaras gabungan parti politik menangani masalah Palestin, menjadi ahli Majmak Takrik Mazhab Islami di Tehran (1990), pernah menyertai rombongan parti-parti Islam ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan krisis perang teluk.

Walaupun sibuk dengan tugasnya memberi ceramah dan mentadbir parti, apabila ada waktu terluang beliau suka memancing, menjala dan menaiki bot.

Setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad merupakan masa beliau menyampaikan ilmunya di markas PAS di Rusila yang sentiasa dipenuhi orang.

Sifatnya yang tegas, berilmu dan merendah diri itu sentiasa disenangi oleh mereka yang berurusan dengannya.

Last changed: December 01, 1999