ReformIS

[ Contents | Post ]

Exco lama kerajaan Pas Kelantan kekal.

From:
Date: 01 Dec 1999
Time: 01:19:08

Comments

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang mengekalkan barisan anggota exco negeri ekoran kejayaan PAS terus menguasai Kelantan pada pilihan raya umum ke-10 semalam.

Katanya keputusan itu dibuat kerana kemenangan besar PAS di Kelantan adalah hasil daripada sumbangan dan kerjasama yang diberikan semua anggota exco di bawah kepimpinannya.

Kecuali Datuk Abdul Halim Mohamed yang tidak bertanding kali ini, anggota exco PAS berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar Abdul Halim Abdul Rahman (DUN Kijang) yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Sains dan Teknologi, Muhammad Daud (DUN Kenali) -- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dakwah dan Penerangan, Omar Muhammad (DUN Perupok) -- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, Ahmad Yakub (DUN Pasir Pekan) -- Pengerusi Perdagangan Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia.

Hassan Abdullah (DUN Pengkalan Pasir) -- Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Alam Sekitar dan Kesihatan dan Abdullah Yakub (DUN Air Lanas) -- Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan.

Nik Aziz dijangkakan hanya akan membuat sedikit rombakan terhadap portfolio barisan exco itu termasuk mengisi kekosongan jawatan Abdul Halim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran Awam.

Semasa brecakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, Mursyidul Am PAS itu berkata kemenangan PAS, bagi membolehkan parti itu kekal tiga penggal berturut-turut sebagai kerajaan negeri, telah dimaklumkan kepada pihak istana.

PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 41 daripada 43 kerusi Dewan Undangan Negeri. Dua lagi kerusi dimenangi oleh calon BN iaitu di kawasan Galas dan Paloh.

Nik Aziz sendiri mempertahankan kerusi negeri Chempaka.

Katanya beliau dan barisan pemimpin PAS sedang menunggu perkenan Sultan Kelantan dan majlis angkat sumpah "akan dibuat pada bila-bila masa".

Nik Aziz juga berkata beliau telah menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pagi ini melalui seorang pegawai persekutuan berikutan kemenangan BN pada pilihan raya ini yang menyaksikan BN memperolehi dua pertiga kerusi Parlimen.

Beliau secara berjenaka berkata Dr Mahathir juga patut memberikan ucapan tahniah kepadanya kerana berjaya mengekalkan kerajaan Kelantan.

Ditanya mengenai kekalahan kesemua menteri pusat dari Kelantan pada pilihan raya ini, Nik Aziz berkata ia tidak akan menjejaskan usaha pembangunan di negeri ini kerana PAS boleh melaksanakannya.

"Kita mempunyai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang menjadi wakil kepada kerajaan pusat dan sekiranya peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri, semua pembangunan dapat dibuat," katanya.

Nik Aziz berharap kerajaan pusat dapat bekerjasama dengan kerajaan Kelantan PAS bagi manfaat rakyat negeri ini.

Katanya kerajaan Kelantan pimpinannya sentiasa bersikap terbuka dan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan program pembangunan termasuk pembinaan beberapa projek yang sedang berlangsung kini.

Antara projek-projek itu ialah pembinaan Jambatan Wakaf Che Yeh-Tendong, di Pasir Mas iaitu jambatan ketiga merentasi Sungai Kelantan bernilai RM166 juta dan projek pembesaran landasan lapangan terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Mengulas kejayaan PAS membentuk kerajaan di Terengganu, Nik Aziz berkata kerajaan PAS Kelantan gembira dengan keputusan rakyat negeri itu dan berharap kedua-dua kerajaan negeri boleh bekerjasama.

"Mungkin lepas ini saya akan tulis surat (kepada) pimpinan PAS di Terengganu," katanya.

Last changed: December 01, 1999