ReformIS

[ Contents | Post ]

Prestasi BN merosot di Kedah

From:
Date: 29 Nov 1999
Time: 20:35:17

Comments

Walaupun berjaya mengekalkan pemerintahan secara keseluruhannya, prestasi BN negeri menurun apabila ia kehilangan 12 kerusi DUN kepada PAS berbanding dua kerusi pada pilihan raya 1995.

Prestasi di peringkat Parlimen juga menurun apabila BN yang menyapu bersih kesemua 15 kerusi pada 1995 hanya mampu mempertahankan tujuh kerusi pada kali ini.

Pada pilihan raya umum lepas, BN negeri tewas di kubu Pas di DUN Bukit Raya dan DUN Sala sahaja.

Pada kali ini bukan sahaja Pas berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut, malah ia menawan 10 kerusi DUN baru iaitu Ayer Hitam, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Langgar, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Belantek, Jeneri dan Kupang.

Di Parlimen pula, Pas menawan kerusi Jerlun, Padang Terap, Pokok Sena, Kuala Kedah, Pendang, Yan, Sik dan Baling.

Pada pilihan raya kali ini juga BN negeri kehilangan empat Exco, seorang menteri dan seorang setiausaha parlimen. Exco-exco itu ialah Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin yang tewas kepada Presiden Pas Datuk Fadzil Noor di DUN Anak Bukit, Datuk Ghazali Ibrahim yang dikalahkan calon Pas Wan Jaafar Wan Ahmad di Pedu, Abdul Rahman Ariffin yang kalah kepada Abdul Ghani Ahmad dari Pas di Ayer Hitam dan Ahmad Lebai Sudin yang ditumpaskan oleh Sheikh Ismail Kamis dari Pas di Bukit Lada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sik apabila tewas kepada novelis kontroversi Datuk Shahnon Ahmad.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Abdul pula kecundang kepada Fadzil Noor yang turut bertanding di Pendang. Pemerhati politik berpendapat walaupun BN berjaya menubuhkan kerajaan, namun kemenangan itu pada akikatnya bukanlah satu kemenangan yang boleh dibanggakan.

Ini kerana jumlah kerusi dan majoriti yang diperolehi pada keseluruhannya menurun. Malah, di Kubang Pasu sendiri menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kehilangan kira-kira 7,000 undi berbanding dengan apa yang beliau perolehi pada pilihan raya 1995 yang berjumlah 17,226 undi.

Pada kali ini, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi BN, hanya mendapat 22,399 undi untuk mengalahkan calon PAS Subky Latiff yang mendapat 12,261 undi. Keputusan yang memeranjatkan ialah kekalahan Abdul Hamid di Sik.

Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid, yang mempertahankan kerusi DUN Kuah, ketika mengulas prestasi BN, berkata Kedah mampu mempertahankan pemerintahan BN walaupun ia antara empat negeri yang menjadi sasaran utama Pas pada pilihan raya ini.

Last changed: November 29, 1999