ReformIS

[ Contents | Post ]

POLIS YAKIN PILIHAN RAYA AMAN

From:
Date: 28 Nov 1999
Time: 07:34:53

Comments

POLIS YAKIN PILIHAN RAYA AMAN

Oleh Khuzaimah Idris

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin pilihan raya ke-10 akan berakhir secara aman kerana persiapan rapi telah dibuat bagi menentukan pengundian berjalan lancar esok.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mohamad Jamil Johari berkata keselamatan awam adalah terjamin dan mereka boleh keluar menunaikan tanggungjawab untuk mengundi tanpa rasa bimbang.

Hari penamaan calon 20 Nov lepas berjalan lancar tanpa kejadian yang tidak diingini dan PDRM cukup bersedia menghadapi segala kemungkinan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga Malaysia terutama parti-parti politik kerana berjaya mengekalkan keamanan dan polis berharap suasana aman itu dapat diteruskan sehingga hari pengundian esok," kata Mohamad Jamil kepada Bernama hari ini.

Berdasarkan laporan dan aduan yang diterima polis sejak hari penamaan calon, parti-parti politik dan penyokong mereka berusaha mengekalkan keamanan dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Mohamad Jamil berkata memang terdapat beberapa kejadian seperti mengoyak poster parti lawan atau pergaduhan kecil yang kadangkala mengakibatkan kecederaan tetapi kesemua masalah itu telah dapat ditangani oleh polis.

"Setakat ini tiada kejadian yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan awam," katanya.

Beliau berkata memandangkan senario sebegitu, polis percaya keadaan keselamatan terjamin sepenuhnya kerana rata-rata aduan yang diterima hanya melibatkan kesalahan kecil mengikut Akta Pilihan Raya.

Sehingga tengah malam tadi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Bukti Aman melaporkan sejumlah 6,126 permohonan untuk perhimpunan politik seluruh negara diluluskan sejak hari penamaan calon.

Negeri yang mempunyai paling banyak kempen berdasarkan jumlah permohonan permit perhimpunan dan ceramah ialah Johor dengan 895 permohonan, Pahang (817) dan Kedah (706).

Aduan dan laporan polis yang diterima sepanjang tempoh yang sama di seluruh negara ialah ceramah tanpa permit (246), koyak poster parti lawan (103), perbuatan khianat (66), pergaduhan kecil (37), ugutan (10), khabar angin (4) DAN kesalahan lain (200).

Laporan terbanyak diterima di Melaka dengan 111 kes diikuti Selangor (69), Perlis (67), Johor (66), Perak (62) dan Kuala Lumpur (39).

Mohamad Jamil juga berkata sebanyak 52,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelicinan proses pengundian.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Abdul Hamid Mustafa memberitahu sidangberita di sini bahawa bantuan penambahan anggota terbanyak dihantar ke Selangor dengan 658 anggota diikuti Kelantan (580), Kuala Lumpur (576) dan Kedah (553).

"Penambahan anggota itu dibuat kerana memberi jaminan keselamatan untuk rakyat keluar mengundi," katanya

Last changed: November 28, 1999