ReformIS

[ Contents | Post ]

PERPADUAN WUJUD DALAM BARISAN ALTERNATIF, KATA WAN AZIZAH

From:
Date: 27 Nov 1999
Time: 01:20:17

Comments

PERPADUAN WUJUD DALAM BARISAN ALTERNATIF, KATA WAN AZIZAH

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail hari ini berkata barisan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) masih bersatu walaupun ada percanggahan di kalangan parti-parti komponen.

"Perpaduan masih wujud. kami menyedari percanggahan ini. Kami menjalin kerjasama ini dengan mengetahui percanggahan antara kami," kata beliau ketika mengulas andaian bahawa barisan pembangkang dilanda perbalahan.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk membuat tanggapan bahawa ada dua kumpulan ekstrimis dalam pakatan itu kerana kedua-dua kumpulan mempunyai matlamat bersama.

Belum pernah parti-parti dalam pakatan pembangkang, DAP, PAS dan Keadilan, bekerjasama dengan begitu rapat seperti sekarang, kata beliau pada persidangan media di sini.

Ketika ditanya mengenai media utama yang menyiarkan iklan anti pembangkang termasuk satu iklan yang beliau menjawab: "Don't trust anybody absolutely" ketika ditanya sama ada beliau mempercayai suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata ia cuma satu taktik Barisan Nasional (BN) dan beliau menjangka lebih banyak iklan yang menampilkan wajahnya akan muncul.

Iklan dengan tajuk "Even she doesn't trust her husband," menunjukkan beliau semasa temuramah dengan Stesen televisyen Australian pada Dis 1998 ditanya sama ada beliau mempercayai Anwar dan Shamsidar Taharin, isteri kepada bekas setiausaha politiknya Mohamed Azmin Ali.

Ketika ditanya sama ada iklan itu keluar daripada konteks, Wan Azizah berkata: "saya tidak ingat mengenainya. ia cuma kenyataan umum dan saya mendapati konotasi iklan itu mempunyai niat tertentu. Jika saya tidak mempercayainya, mengapa perlu saya berada dalam situasi sekarang dan pengalaman yang telah dilalui. Saya berpendapat ia sungguh tidak adil."

Ketika ditanya sama ada beliau mempercayai sepenuhnya suami beliau, Wan Azizah berkata: "Sudah tentu."

Mengenai peletakan jawatan para pemimpin Keadilan Johor dan dakwaan mereka bahawa beliau boneka, Wan Azizah berkata mereka boleh membuat apa-apa komen dan peletakan jawatan itu menunjukkan belang mereka.

Wan Azizah, seorang pakar optalmologi, akan bertanding di Permatang Pauh berentap dengan bekas setiausaha politik dan kawan Anwar, Datuk Dr Ibrahim Saad pada pilihan raya 29 Nov ini.

Mengenai peluangnya untuk menang pada pilihan raya ini, beliau berkata: "Saya menyerahkannya kepada pengundi. saya berpendapat terlalu awal untuk berkata apa-apa terutama dengan serangan media yang menurut beliau berat sebelah." -- BERNAMA

Last changed: November 27, 1999