ReformIS

[ Contents | Post ]

Salam Pilihanraya dari Sheffield, United Kingdom

From:
Date: 26 Nov 1999
Time: 04:05:55

Comments

Salam Pilihanraya dari Sheffield, United Kingdom

Pilihanraya akan diadakan beberapa hari lagi. Semua pihak tidak kira tua muda, miskin kaya, lelaki perempuan, Melayu, Cina, India, Sikh malahan kanak-kanak turut merasakan bahangnya. Kami yang berada beribu-ribu batu dari tanahair tidak terlepas dari terkena tempias habanya. Bahkan terdapat juga poster-poster Barisan Alternatif ditampal di beberapa tempat di sini! Mungkin kerana ingin melepaskan perasaan di dalam hati.

Jarak yang jauh bukan penghalang untuk warga Malaysia di sini mengikuti perkembangan politik tanahair. Kemajuan teknologi telah membuka ruang maklumat seluas-luasnya.Dengan hanya menekan kekunci komputer, segala macam maklumat dapat diketahui. Sumber maklumat di dalam internet ini pelbagai, ada yang benar dan ada yang bohong dan kita perlulah bijak membuat penilaian. Dan daripada sumber inilah yang menyebabkan kebanyakkan para pelajar dan warga Malaysia di sini sudah tidak lagi percaya atau menyokong Barisan Nasional.

Di Sheffield, daripada tinjauan dan culakan yang saya dan sahabat-sahabat buat, sudah tidak ramai warga Malaysia yang mengaku menyokong BN kecuali seorang dua. Banyak kawan-kawan yang dahulunya penyokong kuat BN kini sudah bertukar kepada BA. Kalaupun tidak mengaku menyokong BA, mereka sudah tidak mahu dan malu untuk dikaitkan dengan BN. Senario ini dapat dilihat dengan lebih jelas apabila kita meninjau situasi yang berlaku pada Kelab Umno. Kelab UMNO Sheffield tahun ini nyaris-nyaris dikuburkan kerana tidak ada ahli yang mahu menggerakkanya. Namun, atas dasar ‘mudah mendapat bantuan kewangan’, kelab ini dihidupkan juga walaupun dengan hanya memiliki seorang AJK yang memegang kesemua jawatan!. keadaan ini berlaku kerana para pelajar di sini telah mendapat maklumat sebenar akan apa yang terjadi di Malaysia.

Jika dibandingkan dengan masyarakat di sini, ternyata segala bentuk maklumat yang dipaparkan oleh ‘mainstream media’ di Malaysia dikawal oleh parti pemerintah. Kawalan ini menyebabkan kelemahan dan kezaliman yang dibuat oleh pemimpin Barisan Nasional tidak diketahui rakyat. Minda orang ramai dibentuk mengikut haluan yang mereka ingini. Hanya rakyat yang berkemampuan dan berkehendak sahaja dapat maklumat sebenar melalui internet ataupun Harakah.

Pengaruh media dalam menentukan kemenangan tidak boleh dipandang rendah. Peranan yang dimainkan oleh media sangat besar sehingga ada yang meyatakan media adalah kerajaan kedua yang berkuasa di dalam sesebuah negera. Bekas Bendahari Agung Parti Konservatif pernah berkata selepas kemenangan mereka dalam pilihanraya tahun 1992 “The heroes of this campaign were...the editors of the Tory Press ( Sunday Telegraph, 12 April 1992) Terjemahannya “ hero kepada kempen ini ialah...pengarang akhbar (yang menyokong) parti Konservatif”. Manakala di dalam sebuah akhbar tabloid, the Sun dengan nada yang jelas, tepat dan bangga menyatakan di dalam headlinenya “It’s The Sun who won it” terjemahan “Pemenang (pilihanraya) ini adalah The Sun”. Pada tahun 1997 akhbar itu (The Sun) mengalih sokongannya kepada Parti Buruh pula dan ternyata pengaruh media begitu kuat apabila Parti buruh menang besar dalam pilihanraya umum tahun tersebut!

Lebih kurang dua bulan yang lalu seorang sahabat telah dikunjungi ibu dan bapanya dari Malaysia untuk menghadiri majlis konvokesyen. Mereka berasal dari negeri Perak. Apabila ditanya tentang keadaan di tanahair, dengan selamba ayahnya menceritakan bahawa tidak ada apa pun yang menarik berlaku. Lalu sahabat ini pun bertanya pula tentang demontrasi reformasi. Ibunya pula menjawab, bahawa hanya sedikit sahaja yang menyertai demo ini. Mereka ini banyak melakukan kekacauan dan menganggu ketenteraman dan ada yang merosakkan harta serta mencederakan polis. Sahabat ini kemudiannya memasang video Laungan Reformasi. Apabila melihat lautan manusia membanjiri menyertai demontrasi itu, ibunya antara percaya tidak percaya berkata ‘itulah bang, percaya sangat dengan televisyen’.

Cerita di atas adalah cerita tipikal namun sudah cukup untuk menggambarkan minda masyarakat Malaysia yang telah berjaya dikorupkan oleh media. Laporan dan berita berat sebelah ternyata berjaya mengkaburi masyarakat. Masyarakat desa terutamanya mudah terpedaya dengan hasutan media kerana mereka tidak ada sumber maklumat yang lain berbanding masyarakat bandar yang lebih mudah mendapat maklumat dari internet. Ceramah yang diadakan sebulan dua kali ataupun melalui Harakah masih tidak berupaya menangkis propaganda media yang dikuasai Barisan Nasional.

Jika dibandingkan dengan kerajaan British, kita akan segera sedar di mana letaknya keadilan. Ketelusan kerajaan dan media massa di sini sangat teserlah. Setiap parti politik mendapat layanan yang serupa oleh media. Mereka boleh berkempen dan muncul di dalam rancangan tv dan radio. Internet apatah lagi. Sidang Parlimen pula ditayang secara langsung. Setiap penyelewengan akan dibongkar tidak kira daripada parti pemerintah ataupun lawan. Saya teringat satu dokumentari di dalam satu rangkaian TV utama di sini (Channel 4) yang ditayang dua bulan yang lalu berkenaan dengan kehidupan rakyat di kawasan Parlimen Tony Blair. Dokumentari sebanyak enam siri itu menceritakan kesusahan hidup penduduk di situ walaupun mereka diwakili oleh perdana menteri negaranya sendiri. Alangkah ironisnya jikalau kesusahan hidup orang kampung di Parlimen Kubang Pasu dapat dipaparkan di TV3 untuk tatapan umum.

Saya percaya, sekiranya semua orang mendapat maklumat secara adil melalui media utama tersebut (tv, radio, surat khabar) seperti yang diamalkan di sini (UK), nescaya tidak akan ada lagi orang yang memberi undi pada Barisan Nasional. Sudah terlalu banyak penyelewengan dan salah laku pemimpin BN sehinggakan sampai ke tahap yang sudah tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras. Namun dengan media yang berat sebelah ini penyelewengan kekal sebagai penyelewengan dan tidak menjadi isu. Sensitiviti masyarakat bukan tidak ada tetapi telah ditutup dengan rapat oleh pengarang, pemberita, jurugambar dan pembaca berita yang lebih takut pada pemimpin jahat dan lebih mementingkan periuk nasi mereka daripada tuhan yang Maha Berkuasa.

Ibnu Rahman

Sheffield, 23 November 1999.

Last changed: November 26, 1999