ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS YAKIN MENANG DI TERENGGANU TAPI BN

From:
Date: 26 Nov 1999
Time: 01:44:06

Comments

PAS YAKIN MENANG DI TERENGGANU TAPI BN ANGGAP IA HANYA KHAYALAN

Oleh Ali Mamat

KUALA TERENGGANU, 26 Nov (Bernama) -- Dengan hanya tinggal tiga hari sebelum hari mengundi, PAS dan Barisan Nasional kini masing-masing menyuarakan keyakinan akan dapat mengalahkan antara satu sama lain di Terengganu pada pilihan raya umum Isnin ini.

Bagi PAS pilihan raya itu dianggapnya sebagai peluang yang terbaik untuk menumbangkan BN setelah kerajaan yang diterajuinya (PAS) tumbang pada tahun 1961, kira-kira dua tahun selepas memenangi pilihan raya umum pertama di negara ini pada tahun 1959.

BN sebaliknya menganggap hasrat PAS itu sekadar satu khayalan. Ia yakin bukan sahaja mampu bertahan, bahkan akan memperolehi kemenangan yang lebih besar pada kali ini jika dibandingkan dengan pilihan raya 1995.

Pada ketika itu BN Terengganu memenangi 25 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh daripada lapan kerusi Parlimen, manakala yang selebihnya dimenangi PAS.

Naib Presiden PAS Haji Mustaffa Ali berkata, setelah menunggu selama kira-kira 38 tahun, pilihan raya umum kali ke-10 inilah satu-satunya peluang yang paling cerah bagi PAS untuk kembali berkuasa di negeri ini.

Kali terakhir PAS melahirkan keyakinan serupa ialah pada pilihan raya umum 1986 tetapi ia terbukti meleset.

Menurut Mustaffa, keyakinan PAS kali ini diasaskan kepada sokongan padu majoriti pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk guru, penonjolan semakin ramai golongan ulama, profesional dan tokoh korporat sebagai calon serta sokongan kaum pelajar sama ada sebagai pengundi atau pendorong kaum keluarga mereka untuk menyokong PAS.

Mustaffa yang juga pengarah pilihan raya PAS pusat mendakwa, kali ini parti itu hanya memerlukan kira-kira tujuh peratus undi tambahan berbanding undi yang diperolehinya pada 1995 untuk menumbangkan BN di Terengganu.

"Berasaskan perkiraan terbaru, setakat ini kita telah memperolehi lebih daripada 10 peratus undi tambahan itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Timbalan Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang yang hadir pada pertemuan itu mendakwa bahawa "PAS sedang mendahului BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di Terengganu".

"Selain adanya tujuh kerusi negeri yang telah kita menangi pada 1995, ada lagi 12 kerusi yang pada pilihan raya itu dimenangi oleh BN dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi," kata Hadi.

Walaupun Mustaffa dan Hadi enggan menyatakan secara spesifik jumlah kerusi yang kononnya dijangka dimenangi oleh PAS, sumber-sumber dalaman parti itu mendakwa ia boleh menawan kira-kira 18 kerusi negeri serta antara empat dan enam kerusi Parlimen.

Menurut mereka, kerusi-kerusi negeri itu termasuk Jabi, Batu Rakit, Tepuh, Teluk Pasu, Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Bukit Payung, Alor Limbat, Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Manir, Rantau Abang, Sura, Paka dan Kijal manakala kerusi Parlimen termasuk Dungun, Marang dan Kuala Terengganu.

Mustaffa berhujah, pilihan raya kali ini lebih mudah buat PAS jika dibandingkan dengan pilihan raya 1990 dan 1995 ketika ia bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (yang telah dibubarkan pada 1996) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah kerana ketika itu "Tengku Razaleigh hanya berjaya membawa bersama-samanya beberapa pemimpin Umno, sedangkan bilangan anggota bawahan parti itu yang mengikuti beliau menyertai S46 amat kecil".

"Kali ini senarionya berbeza dengan puluhan ribu penyokong Umno peringkat bawahan serta golongan yang selama ini tidak menganggotai mana-mana parti politik tampil memberi sokongan terbuka kepada kita.

"Walaupun tidak ada pemimpin besar Umno bersama-sama mereka, sokongan golongan bawahan ini akan diterjemahkan ke dalam bentuk undi untuk parti-parti yang menganggotai barisan alternatif, termasuk PAS," kata Mustaffa.

Menurutnya, tidak seperti dulu, PAS Terengganu berhadapan dengan pilihan raya kali ini dalam suasana yang begitu selesa, tanpa perlu mengadakan ceramah besar-besaran selepas hari penamaan calon sehingga "menimbulkan kebimbangan di kalangan orang-orang Umno".

Daripada segi keseluruhan pula, Mustaffa berkata, barisan alternatif yang turut dianggotai Keadilan, DAP dan PRM yakin akan dapat menafikan BN daripada memenangi dua-pertiga kerusi Parlimen pada kali ini.

"Bahkan, jika kita berjaya memperolehi 30 peratus undi tambahan tidak mustahil kita dapat menumbangkan kerajaan BN pada kali ini," katanya.

Mengulas dakwaan PAS itu, Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad secara tegas berkata; "Karut...ia sekadar satu khayalan".

Menurutnya, PAS akan mengalami kejutan besar Isnin ini kerana "kita yakin akan menang lebih besar daripada tahun 1995".

"PAS di Terengganu ibarat orang yang baru hendak memohon lesen memandu kereta... kalau dia mahu memandu juga maka jadilah ia seperti PAS Kelantan. Dalam keadaan sudah ada lesen memandupun ia masih asyik terbabas. Itulah sebabnya kerajaan PAS Kelantan tidak pandai menyelesaikan masalah rakyat.... termasuk soal menyediakan bekalan air kepada mereka.

"Sebaliknya BN kali ini sekadar untuk memperbaharui lesen yang telah dimiliki sejak 42 tahun lalu," katanya.

Menurut Wan Mokhtar, pengundi di Terengganu bukan bodoh sehingga tidak tahu bahawa di sebalik logo bulan mengambang PAS terselindung sebuah logo `roket` (DAP). Ia menunjukkan PAS begitu tamak untuk merebut kuasa sehingga sanggup mengorbankan dasar perjuangannya untuk menegakkan sebuah negara Islam.

Dalam konteks itu, katanya, jika umat Islam mengundi PAS Isnin ini, samalah seperti mereka mengundi DAP "yang telah secara terbuka menyatakan bahawa PAS mestilah melangkah mayat pemimpinnya (Karpal Singh) terlebih dahulu jika ia mahu menegakkan sebuah negara Islam di Malaysia".

Pengundi, kata Wan Mokhtar, juga sedar bahawa pemimpin-pemimpin PAS bertanding pada pilihan raya bukan untuk berbakti tetapi sekadar untuk mendapat elaun wakil rakyat.

"Lihat saja Mustaffa (Ali) sendiri. Kerana hendakkan elaun lebih dia kali ini memilih untuk bertanding di dua kawasan, satu kawasan negeri dan satu kawasan Parlimen, sedangkan dia tahu dia tidak mampu memberi khidmat kepada lima kawasan pilihan raya secara berkesan," katanya.

Selain kerusi negeri Pengkalan Berangan, Mustaffa turut bertanding di kerusi Parlimen Dungun yang mempunyai empat kawasan negeri iaitu Sura, Bukit Besi, Paka dan Rantau Abang.

Seperti Mustaffa, Wan Mokhtar juga enggan menyebut secara spesifik kawasan-kawasan yang boleh dimenangi BN pada kali ini tetapi berasaskan faktor-faktor yang disebut beliau itu, sumber-sumber dalaman Umno negeri yakin BN mampu menang mudah di 24 kawasan negeri dan enam kawasan Parlimen, termasuk kawasan-kawasan yang kononnya boleh dimenangi PAS.

Kerusi-kerusi negeri itu termasuk Kampung Raja, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Telok Pasu, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Bandar, Bukit Payong, Telemong, Kuala Berang, Ajil, Bukit Besi, Paka, Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih sementara kawasan Parlimen ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Walau apapun ramalan kedua-dua pihak itu, hanya pengundi yang berhak memberi kata putus Isnin ini. -- BERNAMA

Last changed: November 26, 1999