ReformIS

[ Contents | Post ]

Pastikan Suara Kita Di Parlimen

From:
Date: 25 Nov 1999
Time: 20:04:19

Comments

Pastikan Suara Kita Di Parlimen

"Pendapatan saya sebagai nelayan tidak menentu, dalam seminggu cuma dapat RM40 atau RM50. Inilah pendapatan saya. Kadangkala, dalam seminggu dua atau tiga hari, kami tak makan nasi. Paling banyak pun hanya beberapa keping roti" - Keluhan Kassim Hassan, ayah kepada 11 orang anak yang tinggal di sebuah bekas kilang di Jalan Kuala Kedah.

Kali ini, dengan mengundi calon PAS, Haji Mohamad Sabu, kita akan pastikan nasib dan masalah rakyat Kuala Kedah bergema habis-habisan di dalam dan di luar Parlimen!

Hampir 10 tahun beliau berada dalam Parlimen, suaranya sentiasa bergema memperjuangkan masalah rakyat tanpa mengira bangsa, tanpa mengenal sempadan. Catitan mesyuarat Dewan Rakyat boleh membuktikan kesungguhan beliau memperjuangkan hak mereka.

Perjuangannya tidak mengenal tempat, tidak mengira siapa. Bekalan air setinggan Kuala Lumpur dipotong, beliau menggerudi telaga. Bekalan api mereka dipotong, beliau membawa generator. Beliau sanggup bertegang leher dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana membela nasib orang-orang tertindas itu. Bukan setakat setinggan dan kaum buruh, Orang Asli pun datang kepadanya untuk memperjuangkan nasib mereka. Hasil perjuangan Haji Mohamad Sabu, anak-anak Orang Asli di Cenderiang, Tapah, Perak berjaya mendapat semula bantuan buku, tambang dan pakaian sekolah yang sebelum itu dipotong.

Kerana semangat membaranya untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, beliau tidak ragu-ragu meninggalkan tempat selamat di Kelantan untuk memastikan suara rakyat Kedah yang tertindas dan serba ketinggalan bergema di Parlimen. Keputusan itu memang tidak menghairankan kerana Haji Mohamad Sabu juga adalah Pengerusi Lujnah Buruh dan Setinggan PAS - perjuangannya di seluruh Malaysia, walaupun kadang-kadang terpaksa menempuh fitnah, tuduhan palsu dan perangkap jahat yang begitu jijik dan kotor.

Sebagai anak petani, sebagai anggota keluarga kaum nelayan, hari ini tumpuannya ialah untuk memperjuangkan nasib mereka. Sebab itulah beliau memilih Kuala Kedah, walaupun sebagai Yang Dipertua PAS Kubang Kerian di Kelantan, tempat selamat sudah tersedia baginya di mana beliau menang dengan majoriti lebih 10,000 undi.

Demi kepentingan kita semua, menjadi tanggungjawab kita memastikan suara Haji Mohamad Sabu, calon kita dari PAS, terus bergema di Parlimen!

Last changed: November 25, 1999