ReformIS

[ Contents | Post ]

BN MENGHADAPI JALAN BERLIKU MEMPERTAHANKAN BALING

From:
Date: 25 Nov 1999
Time: 03:58:30

Comments

BN MENGHADAPI JALAN BERLIKU MEMPERTAHANKAN BALING

Oleh Mohd Zahari Morad

BALING, 25 Nov (Bernama) -- Baling telah menempah nama dalam sejarah negara kerana beberapa peristiwa, baik peristiwa manis mahupun peristiwa pahit.

Pada 1955 Tunku Abdul Rahman menemui pemimpin komunis Chin Peng di Baling untuk rundingan damai yang akhirnya gagal. Pada 1974 Baling menjadi tumpuan apabila demonstrasi pelajar diketuai Anwar Ibrahim diadakan kerana membantah kononnya ada rakyat mati kelaparan.

Pada 1985, Baling gempar lagi apabila tercetusnya Peristiwa Berdarah Memali yang melihat beberapa orang pelampau agama mati setelah menyerang polis.

Pada pilihan raya kali ini, Baling menjadi tumpuan kerana di kawasan ini diramalkan akan berlaku pertandingan sengit bagi kerusi Parlimen Baling (P016) dan dua kerusi Dewan Undangan Negerinya Bayu (N30) dan Kupang (N31) antara Barisan Nasional (UMNO) dan Pas.

Rata-rata orang yang ditemui, termasuk orang UMNO sendiri, memberi reaksi yang hampir senada, iaitu pertandingan hebat dijangka dan keputusannya boleh menyebelahi mana-mana pihak.

Barisan Nasional (UMNO) menurunkan dua muka baru dan mengekalkan seorang, tetapi beliau dipindahkan ke kawasan lain.

Bagi kerusi Parlimen, BN menurunkan Datuk Bahadur Shah Mat Isa sementara untuk kawasan DUN Bayu, BN menyandarkan harapan kepada Datuk Zainol Mat Isa, Exco Kerajaan Negeri yang pada pilihan raya lepas bertanding di Kupang.

Di Kupang, BN menurunkan muka baru iaitu Abdul Wahab Din, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling yang juga anggota Exco Pemuda Umno Malaysia.

Lawan mereka dari PAS adalah bekas Iman Besar Masjid Negara, Taib Azamuddin Mohd Taib bagi kerusi parlimen, Abdul Raof Che Mes di Bayu dan Suhaimi Ahmad di Kupang.

Jumlah pengundi adalah seramai 53,586 orang, 95 peratus Melayu.

Pada pilihan raya lepas, BN memenangi kesemua kerusi itu. Bagi parlimen majoritinya adalah 5,368, Bayu 4,869 dan Kupang 393 undi.

Bagaimanapun kali ini BN tidak boleh berpeluk tubuh kerana dikatakan menghadapi banyak masalah dalaman yang perlu diatasi sementara pihak lawan pula elah meletakkan calon yang dikatakan bukan calang-calang orang.

PAS yakin memenangi ketiga-tiga kawasan itu kerana ia pernah merupakan kubu mereka. Mereka juga menaruh harapan tinggi kepada ketokohan calon Parlimen mereka, iaitu Taib Azamuddin, bekas imam besar Masjid Negara.

PAS memenangi kerusi Parlimen Baling pada pilihan raya 1978 dan memegangnya untuk satu penggal dan sementara seorang calon bebas juga pernah merebut kerusi DUN Bayu (pada 1974).

Taib Azamuddin enggan mengakui PAS sedang mengambil kesempatan daripada pergolakan dalaman UMNO.

"InsyaAllah ditakdirkan kita menang, kita akan berusaha membangunkan Baling," katanya semasa ditemui di Markas Pilihan Raya PAS Baling.

Dua lagi calon PAS juga dikatakan tidak kurang hebat. Suhaimi, bekas guru, adik kepada Nakhaie Ahmad, bekas pemimpin PAS yang memasuki UMNO, adalah Ketua Penerangan PAS Kedah sementara Abd Raof adalah cikgu pondok yang dikenali ramai dan mempunyai ramai anak murid di Baling.

PAS mempunyai pengaruh terutama di kalangan para penduduk kampung. Kubu mereka adalah pondok-pondok tradisional.

Bagi penduduk Baling, memilih pemimpin merupakan soal besar kerana ia membabitkan soal menentukan nasib mereka sama ada akan terus dicengkam kemiskinan atau pun menikmati lebih banyak pembangunan.

Tetapi seorang penduduk yang mengikuti politik tempatan, menyatakan politik di Baling mungkin juga berlainan sedikit kerana sejarahnya menunjukkan personaliti calon boleh merupakan faktor penentuan.

UMNO dikatakan bermasalah kerana Bahadur, bekas setiausaha Politik Menteri Pertanian ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid, dari 1982 hingga 1985, tidak mempunyai jawatan dalam UMNO bahagian dan tidak begitu dikenali di sini.

Pada peringkat DUN pula, ada pendapat menyatakan Zainol dipindahkan ke Bayu demi menyelamatkan beliau kerana BN menang dengan majoriti yang besar di situ.

Kawasan yang dimenangi Mohd Sibi Ahmad pada pilihan raya 1995 itu, dirumuskan sebagai kawasan selamat.

Sementara itu laluan Wahab pula dijangka lebih sukar kerana Kupang dimenangi Zainol pada pilihan raya lepas dengan majoriti yang kecil.

Dilaporkan bahawa seorang pegawai kanan kerajaan negeri Kedah telah ditawarkan bertanding di kawasan DUN dalam Baling, tetapi beliau menolak.

"Jikalau kita kalah, kekalahan itu adalah kerana masalah dalaman parti, bukannya kerana PAS semakin kuat," kata seorang ketua cawangan UMNO yang merupakan penyokong kuat Bahadur.

Tetapi beliau yakin UMNO akan dapat mengatasi semua masalah dalaman itu menjelang pengundian pada Isnin dan mengekalkan ketiga-tiga kerusi di Baling.

Bekas anggota Parlimen Baling Raja Datuk Ariffin Raja Sulaiman, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kini membantu menyelesaikan segala masalah itu bagi mempastikan jentera BN berjalan lancar untuk mempastikan kemenangan.

-- BERNAMA

Last changed: November 25, 1999