ReformIS

[ Contents | Post ]

KEADILAN YAKIN MENANG SEMUA 15 KERUSI NEGERI DI PERAK

From:
Date: 25 Nov 1999
Time: 03:53:54

Comments

KEADILAN YAKIN MENANG SEMUA 15 KERUSI NEGERI DI PERAK

TAPAH, 25 Nov (Bernama) -- Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yakin menyapu bersih kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya di Perak sekaligus membentuk kerajaan negeri dengan kerjasama PAS dan DAP.

Pengerusi Perhubungan Keadilan Perak, Khalil Shah berkata, tiga faktor menyumbang kepada keyakinan itu, iaitu sambutan menggalakkan pada hari penamaan calon dan semasa ceramah serta bilik gerakan yang sentiasa sibuk.

"Hanya tahapnya yang berbeza. Ada yang dah sampai 70 peratus, ada 50 peratus tetapi kami yakin menang 100 peratus," katanya di sini hari ini.

Sekiranya Keadilan menang kesemua kerusi yang ditandinginya, beliau berkata ia hanya memerlukan 12 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan dan yakin rakannya dalam Barisan Alternatif akan dapat menyumbangkan baki kerusi.

Terdapat 23 kerusi parlimen dan 52 kerusi negeri di Perak.

Khalil, yang bertanding kerusi negeri Ayer Kuning dalam parlimen Tapah berkata Barisan Nasional (BN) hanya menang perang poster tetapi poster dan iklan yang disiarkan tidak dapat mengubah sokongan rakyat kepada pembangkang.

Kerusi negeri yang ditandingi Keadilan ialah di Temengor, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Kuala Sapetang, Aulong, Manjoi, Bukit Chandan, Bota, Rapat Setia, Tualang Sekah, Chenderiang, Pangkor, Hutan Melintang, Ayer Kuning dan Changkat Jong.

Mengenai kerusi parlimen, Khalil berkata mereka masih membuat kajian berdasarkan maklumat balas yang diterima. Keadilan bertanding tujuh kerusi Parlimen.

Beliau berkata Keadilan dengan kerjasama rakannya dalam barisan pembangkang mengadakan hampir 10 ceramah kelompok setiap hari di setiap kawasan yang ditandingi.

Katanya, pembangkang yakin dapat menarik sokongan 80 peratus pengundi Melayu di negeri ini manakala sokongan pengundi Cina dan India bergantung kepada kawasan yang ditandingi dan calon yang diletakkan.

-- BERNAMA

Last changed: November 25, 1999