ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS SAH UNDUR CALON DARIPADA DUN KUALA KURAU

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 23:04:49

Comments

PAS SAH UNDUR CALON DARIPADA DUN KUALA KURAU

PARIT BUNTAR, 24 Nov (Bernama) -- PAS hari ini mengesahkan calonnya yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini mengundur diri daripada bertanding di kawasan itu.

Pengunduran secara rasmi Asman Ismail dibuat bagi membolehkan calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Zainuddin Abdul Rashid bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Sharifuddin A. Aziz.

"Asman dicalonkan pada 20 Nov lepas atas kebimbangan PAS kemungkinan berlakunya pembatalan pencalonan calon Keadilan atas sebab-sebab teknikal," kata Pesuruhjaya PAS Parit Buntar Abdul Kadir Idris yang membaca kenyataan akhbar lima perenggan di Markas Besar PAS Parit Buntar di sini.

Mengulas lanjut perkara itu, anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Dr Hassan Mohd Ali, yang turut hadir, berkata PAS meletakkan calonnya sebagai persediaan jika calon Keadilan itu, yang bertugas sebagai pengurus cawangan Bank Islam di sini, diisytiharkan tidak layak bertanding.

"Ini strategi yang kita ambil untuk mengelakkan calon BN menang tanpa bertanding," katanya.

Dr Hassan, yang akan bertanding kerusi Parlimen Parit Buntar menentang calon BN Abdul Rahman Suliman, berkata tidak ada masalah yang timbul mengenai penarikan diri calon PAS kerana persetujuan mengenai tempat bertanding untuk parti itu telah dicapai sebelum hari penamaan calon.

Ditanya mengapa Asman tidak hadir pada sidang akhbar itu, Dr Hassan berkata Asman yang merupakan seorang kontraktor terpaksa menguruskan tender beliau di Kedah.

Pada pilihan raya umum 1995, calon BN Ahmad Sharifuddin menewaskan calon PAS Kadir Idris dan calon DAP Abdul Hamid Salleh dengan majoriti 3,991 di DUN Kuala Kurau. -- BERNAMA

Last changed: November 24, 1999