ReformIS

[ Contents | Post ]

HADI MENGEJAR MASA YANG SINGKAT DENGAN BERDIALOG

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 22:59:12

Comments

HADI MENGEJAR MASA YANG SINGKAT DENGAN BERDIALOG

Oleh Abdul Rahman Ahmad

KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) -- Pesuruhjaya PAS Terengganu Haji Abdul Hadi Awang menggunakan sepenuhnya tempoh kempen singkat pilihan raya umum ke-10 ini dengan bergerak setiap malam mengikut kawasan Parlimen.

Keadaan hujan yang tidak menentu membuat beliau menukar strategi dengan menumpu perhatian kepada majlis dialog yang jumlah hadirin terhad dan tidak lagi berceramah di kawasan terbuka yang lazimnya dianjurkan PAS.

Majlis dialog itu biasanya diadakan di rumah dan kawasan wakaf yang turut disediakan khemah bagi melindungi pendengar yang berjumlah antara 50 dan 60 orang, daripada hujan. Bagi mereka yang berkenderaan mereka duduk di dalam kereta atau van.

Seorang pembantu khas Abdul Hadi yang tidak mahu namanya disebut berkata majlis dialog ini dianggap lebih berkesan kerana cara ini akan membolehkan Abdul Hadi menyelam kehendak dan pandangan pendengar.

Soalan-soalan yang diajukan kepadanya diberi secara lisan dan bertulis.

Dan kebanyakannya ada persamaan, antaranya mengenai kerjasama PAS dan DAP, sejauh mana kerjasama PAS dengan parti-parti pembangkang lain di bawah apa yang digelar Barisan Alternatif dan cara pentadbiran PAS jika memerintah Terengganu.

Ada juga yang mengajukan persoalan seperti adakah Islam menggalakkan umatnya memaki hamun sesama sendiri, mengenai dakwaan kekejaman polis terhadap bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembentukan negara Islam dan strategi ekonomi jika PAS memerintah Terengganu dan negara.

Waktu yang suntuk tidak mengizinkan lebih banyak soalan diajukan lebih-lebih lagi Abdul Hadi mengambil masa yang panjang untuk memberi jawapan kepada setiap soalan yang dikemukakan.

Walaupun jawapan-jawapan Abdul Hadi adalah yang lazim didengar, namun caranya begitu meyakinkan dengan memberikan alasan-alasan tentang dakwaan kezaliman dan penyelewengan yang kononnya dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional termasuk tindakan undang-undang yang dilakukan terhadap Anwar.

Beliau juga menerangkan mengenai cara mana Anwar masih boleh dilantik sebagai perdana menteri walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya umum ini jika parti-parti pembangkang di bawah Barisan Alternatif memerintah negara.

Mengenai kerjasama dengan parti bukan Islam seperti DAP, beliau berkata ia digalakkan dalam Islam sekiranya kedua-dua pihak itu mempunyai matlamat yang sama iaitu mengalahkan satu pihak lain yang didakwa mengamalkan kezaliman.

Timbalan Presiden PAS ini bagaimanapun lebih banyak menyentuh perkara-perkara tempatan yang dianggap dapat meraih undi di negeri ini.

Oleh itu dalam setiap dialognya Abdul Hadi turut membangkitkan mengenai kepincangan-kepincangan yang didakwa dilakukan oleh kerajaan BN Terengganu khususnya dalam pengagihan kekayaan di kalangan rakyatnya yang dianggap masih belum tercapai sedangkan Terengganu menerima royalti lima peratus yang katanya mencecah kira-kira RM500 juta setahun.

Beliau juga mempertikaikan bagaimana kerajaan BN Terengganu setiap tahun mengemukakan belanjawan defisit sedangkan ia memperoleh royalti yang banyak setiap tahun.

Selain itu, beliau tetap mempertahankan janji-janji PAS seperti yang terkandung dalam manifesto PAS Terengganu untuk menghapuskan cukai pintu dan mengagih kekayaan di kalangan rakyat negeri ini.

Sudah tentu, dalam ceramah dan jawapan-jawapan yang disampaikan oleh Abdul Hadi itu menyentuh isi kandungan Al-Quran dan nas bagi mengukuhkan jawapan dan meyakinkan lagi pendengar.

Antara nas dan kandungan Al-Quran yang digunakan oleh Abdul Hadi itu termasuklah yang berkaitan dengan memaki hamun sesama Islam yang katanya digalakkan dalam agama.

-- BERNAMA

Last changed: November 24, 1999