ReformIS

[ Contents | Post ]

POLIS MINTA SEMUA PIHAK JAGA KEHARMONIAN

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 22:57:58

Comments

POLIS MINTA SEMUA PIHAK JAGA KEHARMONIAN

PULAU PINANG, 24 Nov (Bernama) -- Polis hari ini menasihati orang ramai terutamanya para petugas parti-parti politik agar jangan melakukan perkara yang boleh menjejaskan suasana harmoni dalam musim pilihan raya sekarang.

Ketua Polis Negeri Datuk Arthur Edmonds berkata di sini, hari ini, polis setakat ini telah menerima tujuh aduan mengenai kegiatan merosakkan poster termasuk menyimbahkan cat pada poster yang mempamerkan muka Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon di merata tempat.

Katanya, walaupun polis setakat ini berpuas hati dengan keadaan musim pilihan raya ini yang disifatkan terkawal, namun pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan kesalahan vandalisme.

Beliau memberitahu sidang berita di sini, polis yang memantau keadaan dari masa kesemasa akan bertindak tegas terhadap mereka yang mengancam ketenteraman awam.

"Dalam menghadapi suasana berkempen sekarang, polis akan memastikan keamanan dan ketenteraman terus dipelihara dan polis menasihati calon atau agen pilihan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang," kata beliau.

Arthur berkata, pada hari pengundian kelak, polis akan mengerahkan sebanyak 4,240 anggotanya di seluruh negeri bagi mengawal dan memastikan pilihan raya umum ke-10 ini berjalan lancar.

Katanya, polis akan mengawal di tempat-tempat pengundian untuk memastikan para pengundi berhak dan dapat memasuki tempat pengundian tanpa sebarang gangguan.

"Tugas polis pada hari itu ialah bagi memastikan ketenteraman awam terkawal di tempat mengundi dan pusat penjumlahan undi," kata beliau.

-- Bernama

Last changed: November 24, 1999