ReformIS

[ Contents | Post ]

ALIRAN SAMAN MURAD RM70 JUTA KERANA FITNAH

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 22:54:00

Comments

ALIRAN SAMAN MURAD RM70 JUTA KERANA FITNAH

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Aliran mengemukakan saman fitnah RM70 juta terhadap bekas penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid terhadap dakwaannya yang Aliran dan bekas presidennya Dr Chandra Muzaffar telah menerima RM5 juta daripada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan itu yang terkandung dalam perisytiharan berkanun Murad bertarikh 26 Okt lepas menamakan beberapa orang dan pertubuhan sebagai mendapat peruntukan daripada akaun-akaun milik Anwar.

Saman itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini, menurut Aliran dalam satu kenyataan.

Pertubuhan bukan kerajaan itu berkata, Aliran secara sebulat suara telah memutuskan dalam mesyuarat agung tahunannya pada 21 Nov untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan itu.

"Anggota-anggota menggangap pembohongan Murad sebagai perbuatan sengaja dan diatur untuk mencemarkan kewibawaan dan reputasi Aliran. Bagi kita kewibawaan kita sangat penting dan kita tidak akan membiarkan Murad melepaskan diri begitu sahaja," kata kenyataan itu lagi.

Murad, 46, mendakwa wujudnya lebih 20 akaun induk bernilai RM3 bilion yang dikendalikan oleh orang-orang tertentu bagi Anwar untuk mencapai cita-cita politiknya.

Murad berkata, sekurang-kurangnya sembilan pihak termasuk Aliran dan Dr Chandra, telah menerima sejumlah RM121 juta antara 1992 dan 1997.

Aliran menafikan ia pernah menerima sebarang jumlah wang daripada Anwar dan berkata dalam tempoh yang dinyatakan oleh Murad, Aliran ataupun mana-mana anggota jawatankuasa ekskutifnya tidak mempunyai apa-apa urusan atau hubungan dengan Anwar, yang juga bekas Menteri Kewangan.

Dr Chandra telahpun mengemukakan saman fitnah peribadi terhadap Murad pada 3 Nov lepas meminta pampasan berjumlah RM70 juta. Beliau juga meminta perintah menghalang Murad daripada menerbitkan dakwaan itu. -- BERNAMA

Last changed: November 24, 1999