ReformIS

[ Contents | Post ]

Kenyataan Media Wakil Pelajar-Pelajar Di Kota Sheffield, Leeds Dan Bradford

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 23:23:17

Comments

Kenyataan Media Wakil Pelajar-Pelajar Di Kota Sheffield, Leeds Dan Bradford

Dengan Nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang

Saudara-saudara kami warga Malaysia sekalian

Kami, Masyarakat Malaysia Sheffield, menyeru dengan ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab agar menolak pimpinan Barisan Nasional (BN) sebaliknya memberikan undi dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Barisan Alternatif (BA) di dalam Pilihanraya Umum ke-10 yang akan berlangsung pada 29 November 1999 akan datang.

Sebagai warga Malaysia, kita sentiasa mengharapkan segala yang terbaik untuk negara. Kita mengimpikan sebuah negara yang kuat, stabil dan mampu memberikan keadilan, kesejahteraan dan kesenangan pada semua, tidak kira agama mahupun bangsa. Senario yang berlaku di negara kita jelas sekali menunjukkan yang sebaliknya.

Keadilan yang kita perjuangkan nampaknya dibunuh oleh sesetengah dari kita sendiri. Dari jauh kami warga Malaysia di Sheffield hanya mampu melihat, mendengar, membaca dan menggeleng kepala di atas pelbagai penyelewengan yang tidak pernah terlintas di benak fikiran akan berlaku. Kami berasa sungguh sebak dan hina melihat pelbagai penindasan dilakukan oleh golongan yang kita amanahkan kepada mereka tanggungjawab untuk membela dan memimpin tetapi sebaliknya mereka menikam dari belakang. Dan mereka itu bukanlah orang lain, bukan penjajah British ataupun Portugis, tetapi mereka adalah anak bangsa kita sendiri. Sudah terlalu banyak kisah penyelewengan yang boleh kita jadikan contoh dan kami sedar kalian pun tahu akan perkara ini dan tidak perlu kita lakarkan di sini. Kita tahu kita manusia yang mempunyai hati perut dan tahu menilai. Kita ada akal dan kita bukanlah terlalu bodoh untuk mudah melupakanya lantas alpa.

Namun di antara kita ini ada yang masih belum sedar dari mimpi. Masih lagi enak dibuai mimpi. Masih menaruh harapan pada mereka yang buruk dan jahat itu walaupun sudah penuh di dada akan kejahatan yang orang-orang itu perbuatkan. Masih mahu mampu menipu diri sendiri. Kami hanya mampu berharap dan berdoa agar mereka itu insaf sedar dan segera bertaubat bertindak.

Pada yang telah sedar, pilihanraya ini adalah medannya. Pilihanraya ini sebahagian daripada segalanya. Medan bagi yang telah dizalimi dan akan dizalimi menuntut hak mereka. Medan menegakkan kebenaran walaupun acapkali kebenaran itu dinafikan. Ini adalah satu daripada banyak jalan yang kita guna. Dan biarlah dengan hanya satu jalan ini kita boleh terus menidakkan kezaliman orang yang menzalimi itu.

Kita sebenarnya berhak pada yang jauh lebih baik dari apa yang kita miliki dan hadapi sekarang. Namun sayang seribu kali sayang, negara yang kaya dan sestrategik ini ditadbir oleh golongan yang busuk hati dan tidak amanah. Kami yang berada beribu batu di negara bekas penjajah ini berharap kalian tahu membezakan antara intan dengan kaca, apatah lagi kaca yang sudah menjadi serpihan yang melukakan itu. Masanya sudah tiba. Janganlah kerana duit sekupang dua kita sanggup menggadaikan maruah dan harga diri dengan memilih mereka lagi. Kita bukanlah haruan yang sanggup makan anak sendiri.

Warga Malaysia Di Sheffield 18 November 1999

Last changed: November 23, 1999