ReformIS

[ Contents | Post ]

Surat dari Dato Seri Anwar Ibrahim

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 20:34:37

Comments

Surat dari Dato Seri Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim Penjara Sungai Buloh Selangor

Saudara Saudari yang Di hormati

Dan Salam Sejahtera.

Saya mohon izin mengemukakan pandangan dan pertimbangan saudara saudari sempena Pilihanraya Umum pada 29 November 1999. Kuasa dalam sistem Demokrasi adalah di tangan rakyat. Dan, inilah kesempatan sebaiknya kita memutuskan bakal Wakil Rakyat dan Kerajaan kita. Dan ini mampu dilaksanakan sebaiknya dengan fikiran terbuka, membuat penilaian berdasarkan maklumat dan tidak terbelenggu dengan fitnah dan propoganda sempit atau kerana terperangkap dengan sogokan wang dan habuan. Kita mengundi kerana menyempurnakan tanggungjawab sebagai amanah dalam menentukan masa depan kita dan anak-anak bangsa.

MENJAMIN PILIHANRAYA BEBAS DAN ADIL

Rakyat prihatin telah mendesak supaya pilihanraya (PR) dikendalikan secara bebas dan adil. Bukan sekadar pengawasan piliharaya perlu ditingkatkan tetapi perjalanan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri perlu diawasi. Kita menyesali keputusan menafikan hak 650,000 pengundi baru atas alasan paling leceh. Di era teknologi maklumat beserta Koridor Raya Multimedia, SPR memerlukan masa lapan bulan bagi mengesahkan senarai pemilih baru. Ini cukup menimbulkan kecurigaan di kalangan orang ramai, bahawa alasan sebenarnya ialah pengundi-pengundi baru tersebut cenderung menyokong Barisan Alternatif (BA). Saya ingin menyeru kepada adik-adik yang dinafikan hak mengundi kali ini agar jangan terus kecewa. Adik- adik perlu membantah ketidakadilan tersebut dengan memberikan khidmat sukarela membantu memenangkan calon-calon BA.

Usul memansuhkan Undi Pos juga ditolak oleh SPR. Ratusan kenyataan dan bukti dikemukakan menunjukkan bahawa perlaksanaan dahulu tidak telus dan didapati curang. SPR kini perlu memastikan agar Pasukan Tentera, Polis dan keluarga mereka yang berjumlah 250,000 orang mempunyai hak mengundi. Meneruskan kecurangan cara pengundian oleh pegawai lain adalah satu penghinaan kepada mereka. Penyelesaian secara adil dan saksama ialah dengan mematuhi kaedah pengundian biasa iaitu membenarkan pengawasan oleh semua wakil parti yang bertanding.

Kita perlu mendapat kepastian mengenai senarai daftar pemilih yang kemaskini. Parti PBS Sabah telah mengemukakan senarai ribuan "Pengundi Hantu" dalam PR Negeri Sabah yang lalu. Akhbar Harakah menyiarkan contoh-contoh nama pemilih yang bertindih. Dalam amalan Demokrasi, ketelusan pengendalian PR yang bebas dan adil adalah prasyarat. Bahkan tugas SPR seharusnya mencakup lain-lain aspek perjalanan PR termasuk pendedahan semua parti dalam media, pengawasan pasukan keselamatan yang saksama, selain dari menentukan semua pihak mematuhi undang-undang PR.

UGUTAN, FITNAH DAN SOGOKAN

Pengumuman Dato Seri Dr.Mahathir(DSM) mengenai pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diselang-seli berulang kali dengan ugutan akan berlakunya rusuhan. Kenyataan bebal sepertimana yang beliau ungkapkan menzahirkan rasa terdesak dan cemas. Helah beliau dan BN mengekalkan kuasa ialah dengan menimbulkan rasa takut di kalangan rakyat dan menggambarkan PAS dan DAP terutamanya sebagai puak ekstremis dan pelampau. Ugutan ini akan berterusan menjelang PR. Kita menggesa agar jentera kerajaan tidak terlibat. Segelintir kecil Pegawai Polis terutamnya dari Cawangan Khas yang bergerak sebelum ini perlu diawasi dan wajar menghentikan operasi mereka. Tugas mereka adalah menjaga keselamatan dan bukannya hulubalang bagi pihak Barisan Nasional. Kita mendoakan agar keamanan terus dikekalkan dan keselamatan terpelihara.

Media yang dikuasai oleh pemimpin negara, parti kerajaan dan saudagar kroni menyerang ganas bagaikan menggila. Rakyat seharusnya insaf dan sedar kelompok yang menguasai media tanahair, persekongkolan penguasa, saudagar kroni dan media menjadikan negara ini milik kumpulan kecil mirip sistem Oligarki. Saya telah dedahkan bagaimana DSM dan Tun Daim menguasai Kumpulan New Straits Times termasuk akhbar-akhbar dan TV 3 melalui pegangan 70% ekuiti dalam Real Mild. Selaku Presiden UMNO, beliau menguasai Kumpulan Utusan Melayu. Akhbar The Star dikuasai oleh MCA dan The Sun adalah milik Tan Sri Vincent Tan, peniaga rapat dengan DSM. RTM pula adalah organ Kerajaan Barisan Nasional. Soal fakta, kebenaran atau kesahihan berita tidak timbul. Sasaran mereka ialah memusnahkan pemimpin dan parti-parti alternatif dengan apa cara sekali pun- fitnah, cercaan, penipuan atau memutar belitkan fakta. Peluang atau ruang bagi menjawab atau memberikan penjelasan dinafikan. Disebaliknya, berita rasuah, penyelewengan pimpinan Barisan Nasional dipadamkan. Perasuah dan penjenayah seolah-olah mendapat perlindungan. Hanya dengan kesedaran dan kematangan rakyat maka berita yang cuba mereka hebahkan akan dianggap memual dan meloyakan.

Menjelang PR Jentera Kerajaan akan dikerah menggempur ke kawasan tumpuan dengan pelbagai acara perasmian dan taburan projek. Saya yakin hanya sebahagian kecil pegawai kerajaan yang rela diperalatkan. Walhal mereka juga arif tentang kedudukan terdesak kerajaan sementara (caretaker) sahaja. Saya ingin menyeru agar pegawai-pegawai kerajaan serta rakan-rakan guru, tenaga pekerja Telekom, TNB dan lain-lain akan terus dengan komitment mereka menuntut perubahan dan meyokong calon-calon dari BA. Sudah sekian lama mereka menerima amaran dan ugutan secara angkuh oleh pimpinan Barisan Nasional. Tidak mudah mereka menyerah semata-mata dengan pengumuman bonus oleh manusia dalam kecemasan. Walhasil, belanjawan terbatal sudah dan belanjawan baru BA, insyaAllah lebih adil dan menyakinkan.

Kerja menyogok dan memberi rasuah akan berlanjutan sebagai langkah terakhir memancing undi. Kekayaan melimpah pemimpin BN dan parti-parti BN tidak dipertikai lagi. Pendedahan melalui laporan polis yang merupakan sebahagian kecil dari Modus Operandi atau cara dana dikumpulkan oleh mereka memaparkan kenyataan merunsingkan. Bahawa wang rasuah dan dari syarikat perjudian menjadi punca kekayaan menimbun dan sebahagiannya akan dicurahkan kepada pekerja BN dan pengundi. Sekali lagi andaikata kita terperangkap dengan pendekatan demikian; sistem pengumpulan harta, memunggah khazanah negara untuk keluarga dan kroni akan berterusan. Kita bertangungjawab membina benteng iman dan ruh perjuangan. Menangkis percubaan merasuah pengundi dengan menumpaskan pelakunya. Berilah sokongan padu kepada BA kerana agenda perjuangan serta prinsip yang dipertahankannya.

PIMPINAN BARISAN ALTERNATIF

BA menampilkan tokoh-tokoh dari PAS, KeADILan, DAP dan PRM yang lebih berkelayakkan dan komitted bagi melaksanakan agenda perjuangan. Namun yang lebih menarik ialah keprihatinan mereka dalam isu keadilan, keluhuran undang-undang, pembangunan ekonomi dan pembahagian yang adil serta tekad bersama membenteras rasuah, nepotisme dan kronisme. Gabungan kekuatan ini jauh lebih mantap dan berakar kepada dukungan rakyat terbanyak. Bahkan kelayakkan calon-calon yang terdiri dari tokoh politik veteran, sarjana, sasterawan, profesional, peniaga, ulamak, pimpinan badan bukan kerajaan jelas menunjukkan keupayaan dan kewibawaan sebagai satu pasukan padu.

Strategi BN selama ini ialah membunuh kemungkinan munculnya tokoh saingan yang berwibawa. Maka media milik mereka akan memuatkan gambaran negatif dan memesongkan kelayakkan mereka, fikiran bernas, dasar parti tidak dimuatkan kerana ini jelas bercanggah dengan propaganda BN selama ini. Umpamanya ucapan Dato=92 fadzhil Noor dalam Muktamar PAS yang lalu mengenai keadilan menurut perspektif Islam yang mencakup soal kebebasan badan kehakiman, pengagihan ekonomi, toleransi antara kaum dan agama tidak disiarkan. Ucapan tersebut bernas, matang dan mewakili sentimen umat islam serta cita rasa masyarakat Malaysia. Pentadbiran Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz membuktikan keupayaan pengurusan ekonomi dan pembangunan dengan dukungan pentadbir dan tenaga profesional. Bahkan aspek yang lebih menarik buat saya ialah kebersihan dari rasuah, gelojoh dan tamak pimpinan yang nyata sekali berbeda dengan pentadbiran negeri-negeri di bawah BN, di mana pengagihan balak, kawasan tanah, peluang perniagaan diperlaku sebagai harta keluarga sendiri. Propoganda bahawa PAS mengancam kedudukan rakyat bukan Islam tidak benar sama sekali di Kelantan.

Lantaran keterlanjuran polemik isu hak dan kaum termasuk isu bahasa dan hak keistemewaan orang-orang Melayu, Parti DAP digambarkan oleh BN sebagai mewakili kepentingan Cauvinis Cina. MCA dan Gerakan juga mengakui memperjuangkan masyarakat Cina sepertimana juga MIC bagi masyarakat India. Berdasarkan pengalaman saya dalam UMNO dan BN; pemimpin-pemimpin mereka umumnya cuba memelihara kepentingan kaum secara bermusim. Yang lebih jelas ialah kesibukan dan keghairahan menjaga kelompok kecil keluarga dan kepentingan peniaga dan koprat terdekat. Di mana usaha memperhebatkan pengenalan Bahasa Cina di kalangan rakyat ? Apa pula usaha mereka menanam kefahaman budaya Cina atau fahaman Kung Fu Tze kepada umum? Mengapa langkah merangsang perniagaan dan industri kecil dan sederhana, peniaga kecil dan penjaja tidak terancang? Sepanjang ingatan saya dalam kabinet jarang sekali perkara-perkara tersebut diutarakan selain mejelang PR atau manakala timbul keresahan, bantahan, keriuhan bilamana tanah dirampas.

Yang sering dikemukan ialah saham, kontrak pilihan dan kepentingan saudagar kaya. Samalah karenahnya dengan masalah Indai di estet dan yang miskin. Kalau terdapat pun pengagihan saham seperti MAIKA dan saham TELLEKOM, entah ke mana akhirnya. Masyarakat Melayu perlu insaf kegelisahan masyarakat Cina yang disuarakan oleh DAP. Kita tidak dapat menolak kebenaran kenyataan bahawa terdapat kelompok masyarakat cina terutamanya dikelas pertengahan dan rendah yang dipingggirkan. Saudara Lim Kit Siang dan rakan-rakannya akan gagal menyempurnakan tanggungjawab mereka sekiranya permasalahan kelompok majoriti cina tidak disuarakan. Kenyataan juga menunjukkan bahawa ucapan dan kenyataan saudara Kit Siang dan rakan-rakannya tidak terbatas kepada masalah di atas tetapi secara tegas dan berani mereka membahaskan isu rasuah, keadilan, ekonomi yang menyentuh kedudukan semua rakyat. Masyarakat Melayu juga tetap mengenangkan jasa dan menghargai pengorbanan Sdr Lim Guan Eng.

Diantara tokoh politik semasa yang paling konsisten memperjuangkan nasib rakyat miskin termasuk masalah setinggan ialah Dr. syed Husin Ali. Kehadiran beliau dan PRM dalam rangkaian BA akan membantu mengimbangi penekanan pertumbuhan ekonomi yang rancak dengan perkiraan nasionalistik serta menjuarai ehwal rakyat bawahan.

Dr Wan Azizah Ismail memperlihatkan ketabahan dan kecekalan dalam menghadapi suasana gawat. Isu keadilan, kesaksamaan dan kedudukan wanita terus menjadi agenda perjuangannya. Pemimpin KeADILan lainnya seperti Dr. Chandra Muzaffar tidak dapat disangkal sebagai di antara pejuang dan penghujjah utama dalam isu keadilan dan hak asasi.

Saya dapat menyenaraikan puluhan nama tokoh nasional lainnya yang menyertai BA tanpa ganjaran upah dan kedudukan, tetapi memilih untuk berkhidmat dan berjuang. Di antara mereka ialah Ustaz Abdul Hadi Awang, Dr.Chen Man Hin, Dato Dr Harun Din, Prof. Dr Shahnon Ahmad, Karpal Singh, Prof. Dr Jomo Sundram, Marina Yusoff, Mustaffa Ali, Tian Chua, Dr Sanusi Osman, Sivarasa, Sheikh Azmi Ahmad, Rustam A.Sani, Tan Seng Giau, Irene Fernandez dan Ezam Mohd Nor.

Bersyukur saya kehadrat Allah SWT lebih-lebih lagi kerana kepercayaan dan harapan BA terhadap saya. Percubaan DSM dan beberapa tokoh BN untuk melenyapkan karier politik saya melalui pelbagai fitnah jahat, dakwaan mengaibkan, bahkan penderaan fizikal tidak menggugat keyakinan saya dan kepercayaan rakan-rakan. Keputusan BA membuktikan bahawa muafakat adalah satu kenyataan. Pimpinan PAS yang mempunyai kaliber, kelayakkan dan pengalaman masih berlapang dada tidak sepertimana yang cuba digambarkan oleh BN.

Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa corak kepimpinan baru kami adalah secara berpasukan, dengan penuh semangat musyawwarah atau perundingan. Ini berbeza dengan stail kepimpinan kuku besi ala ditaktor sekarang. Apa sahaja yang dilaukan oleh ketua- baik rasuah besar, membazir dengan projek mega, megah atau bertindak zalim, tidak ada siapa yang berani menegur atau melarang! Bagi kami, kepimpinan adalah amanah, tanggungjawab yang perlu disempurnakan sebaiknya dengan mengambil kira kenyataan hidup masyarakat di Malaysia. Ini bermakna pandangan dan teguran dilihat secara positif membantu usaha memandu perjalanan dasar sterusnya.

AGENDA BARISAN ALTERNATIF

Barisan Alternatif telah merumuskan agenda perjuangan dalam manifesto bersama. Ini jelas membuktikan bahawa permuafakatan adalah berkesan melangkaui persefahaman pilihanraya dan menjurus kepada agenda bertindak jelas. Bahkan cadangan Belanjawan BA adalah lebih realistik dan jujur berbanding dengan belanjawan BN yang dibentangkan semata-mata sebagai janji manis pilihanraya. Setelah pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat dibelai sebentar, cadangan tersebut terbatal dengan pembubaran Parlimen!

Dengan mengandaikan saudara saudari dapat menelaah manifesto dan BA saya ingin menggariskan beberapa isu pokok sebagai bahan renungan bersama:

Pertama:

Mendaulat Negara Hukum

Kita menganjurkan gagasan pemerintahan demokratik, telus dan bertanggungjawab. Manakala kuasa berpusat kepada seseorang atau kelompok kecil. Maka instrument atau jentera pemerintahan biasanya di bawah telunjuk penguasa. Dan, dengan media mengongkong, maka rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan kecurangan pimpinan tersorok. Dengan merasa kebal dari undang-undang, mereka akan lebih terdorong bertindak ganas lagi. Hanya apabila bangkai menjadi lebih busuk dan tidak terdaya dibendung, barulah terbuka pekung dan terhidu baunya. Demikianlah iktibar sejarah zaman silam serta pengajaran dari beberapa negara jiran tentang berakhirnya pemerintahan zalim dan tamak. Dengan kuasa, jentera, media, dana rakyat, terpesona dengan pemimpin ulung, jagoh dunia. Tetapi setelah terbongkar kisah sebenar terbukti harta menimbun dan kekejaman merata-rata.

Justeru itu, bagi menghindar dari sebarang kecenderungan menindas atau merompak, beberapa hukum yang lemah dan tidak bermaya perlu diperkukuh. Badan penyiasat dan penguatkuasa harus lebih profesional. Lembaga Pendakwaan semestinya menggunakan wewenang bertindak tanpa memilih apatah lagi berniat buruk. Tidak harus ada kesangsian sehingga kedengaran rungutan sinis bahawa simiskin yang mencuri RM50 di penjara, si menteri mengaut RM500 juta ringgit terpelihara. Atau keadaan dimana setiap pengkritik pemimpin bahkan kalangan yang kurang selesa dengan mana-mana dasar sentiasa diekori cawangan khas menunggu tindakan. Maknanya kita harus kembali menghayati semangat Perlembagaan Negara; menjamin kebebasan dan keadilan serta memertabatkan hukum dengan pembahagian kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman. Demikianlah raisondetre asas terbentuknya sabuah negara merdeka dan berdaulat, yang juga kita pusakai dari tradisi agama dan budaya bangsa.

Sabagai langkah segera, beberapa Akta dan undang-undang yang didapati bercanggah dengan prinsip kebebasan dan mudah di salah guna oleh penguasa harus dimansuh atau dipinda. Umpamanya Akta Keselamatan Dalam Negeri releven ketika menghadapi ancaman musuh kini di anggap usang melainkan dengan maksud menindas pengkritik atau pembangkang. Begitu jualah halnya dengan sekatan dan halangan terhadap media dan kegiatan mahasiswa.

Kedua: Merangsang Pertumbuhan Ekonomi

Tumpuan utama Agenda Barisan Alternatif ialah merangsang pertumbuhan ekonomi. Ekonomi perlu di pacu laju dan rancak bagi memungkinkan penambahan peluang, keselesaan ramai dan pengagihan adil. Iklim pelaburan dalam dan luar negeri termasuk sistem percukaian dan dasar fiskal mestilah serasi degan dasar yang dapat menarik penyertaan aktif sektor swasta tetapi perlu terus menjamin pertumbuhan mampan. Insentif dan galakkan penyelidikkan, pengenalan teknologi, pembangunan sumber manusia akan diberikan penekanan sewajarnya. Projek mega, mercu tanda kemegahan peribadi, cara berbelanja mewah dan membazir akan dihentikan. Ini akan digantikan melalui skim tambahan bagi industri kecil dan sederhana, peniaga kecil dan prasarana asas rakyat di bandar, desa dan kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Sistem kelulusan penswastaan, kontrak dan pembahagian saham akan lebih telus tanpa percanggahan keputusan. Maka amalan pembolotan peluang sehingga melimpah kekayaan bagi kelompok kecil keluarga dan kroni akan dihentikan.

Kepentingan Bumiputra tetap terjamin tetapi diperluaskan penyertaan dan peluang kepada yang berkelayakkan dan tidak berlegar kepada beberapa kerat yang terpilih. Oleh kerana monopoli segelintir korporat dimansuhkan, maka jaringan peluang peniaga termasuk bukan bumiputra terutama diperingkat menegah dan kecil lebih meluas dan melebar. Program pembasmian kemiskinan, penyediaan program asas, pembangunan rumah rakyat serta usaha mengurangkan kos perkhidmatan awam akan lebih terjamin. Pembangunan kawasan dan wilayah juga dianjak dari tumpuan berlebihan ke projek mega terpilih di kota besar kepada pendekatan yang lebih seimbang. Dan, ini berkaitan dengan dasar BA yang berhasrat menyalurkan belanjawan yang lebih saksama serta menurunkan kuasa-kuasa tertentu kepada negeri dan daerah/jajahan/bahagian bagi menjamin perlaksanaan projek dan program secara cekap dan berkesan. Pertimbangan khas diperlukan bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

Ketiga: Kerukunan Hidup Beragama dan Berbudaya

Masyarakat kita umumnya masih terikat dengan kehidupan beragama, sistem kekeluargaan yang kental dan nilai hidup yang luhur. Maka berbeda dengan mencanang Islam sebagai lambang melalui pembinaan institusi atau masjid yang tersergam indah semata, kita lebih menjurus kepada penghayatan dalam kehidupan. Ia seharusnya mencakup urusan ibadah, peraturan dan sistem nilai akhlak. Kedudukan agama dan sistem nilai penduduk Bukan Islam terpelihara. Dan, sebarang kaedah perlaksanaan mengambil kira hak masing-masing dengan semangat tasamuh atau toleransi. Ini dibedakan dengan kebiadapan pihak yang sengaja menghina agama dan ulama atau mempersendakan hukum.

Pendekatan sedemikian juga yang harus mendasari semua langkah menangani masalah sosial yang kian serius di negara kita. Dengan menggunakan pendekatan sederhana dan bijaksana, jentera kerajaan dan badan bukan kerajaan didorong bekerja sama membantu menyelesaikan masalah berbangkit. Tumpuan ialah melalui pendekatan pendidikan, memupuk rasa kasih sayang dan memperteguhkan institusi kekeluargaan.

Kita perjelaskan bahawa penekanan isu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu diteruskan, dipertingkat sebagai bahasa resmi yang berkesan dan bahasa ilmu yang dikagumi. Di samping itu, penguasaan lain-lain bahasa termasuk Inggeris, Cina ,Arab, Tamil dan lain-lain perlu ditingkatkan. Kita akui kedudukan penting Bahasa Cina di negara dan di rantau. Sebab itu isu pengembangannya tidak harus menjadi masalah sepertimana juga pengajaran bahasa suku kaum lainya seperti Bahasa Iban dan Kadazan.

Masalah Agama, Bahasa dan juga budaya hanya menjadi masalah bilamana dijadikan isu politik buat menakutkan rakyat. Saya masih ingat kontrovesi galakkan penggunaan Bahasa Inggeris dahulu. Ianya dipertikaikan bukan kerana masyarakat Melayu menentang keperluan penguasaan Bahasa Inggeris tetapi kerana pendukung kempen tersebut di kalangan pemimpin tidak jelas komitment bahkan lemah dalam penguasaan Bahasa Kebangsaan . Saya lebih yakin dengan pendekatan dan kefahaman budaya yang lebih mendalam sepanjang Pentadbiran Barisan Nasional, usaha memahami dan mengenali lain-lain bahasa dan faham budaya tidak mendapatkan perhatian. BA merancang untuk memupuk kesedaran dan kefahaman yang lebih mendalam antara agama, budaya dan peradaban. SERUAN DAN HARAPAN

Sepanjang zaman aktif saya dalam kegiatan mahasiswa, belia dan akhirnya sebagai Timbalan Perdana Menteri bersama UMNO dan Barisan Nasional, saya telah menemui dan mengenali ratusan ribu teman, layanan, budi baik dan sokongan rakyat menjadi kenangan abadi. Saya telah menimba banyak pengalaman pahi tmanis, banyak mempelajari sepak terajang politik, banyak menguasai urusan keewangan, ekonomi dan pentadbiran . Tetapi setelah bercanggah pendapat mengenai beberapa isu pokok dan dasar dengan DSM, saya tidak menjangka saya diperlaku sebegini rupa. Setelah di pecat, segera diusir dari rumah resmi, ditangkap dalam serbuan, dipukul dalam lokap, dihina, dicerca saban hari sepanjang lebih setahun saya dalam penjara. Tidak ada yang harus saya sesalkan. Saya bertindak atas keyakinan . Saya menjadi mangsa fitnah jahat dan konspirasi keji. Maka saya dengan rendah hati memohon pertimbangan saudara-saudari merenung sejenak, menilai kandungan warkah dan seruan dan harapan saya. Saya mohon pegertian dan sokongan saudara-saudari.

Memang benar, sebelum ini saya berbeda pendekatan dengan rakan-rakan dari PAS, DAP dan PRM, kerana saya meyakini keupayaan merubah dari dalam UMNO dan Kerajaan BN. Saya masih mempercayai sabahagian besar ahli-ahli biasa UMNO dan lain-lain komponen BN ikhlas menyokong pimpinan kerana meyakini bahawa pemimpin mereka akan mematuhi janji mendirikan kerajaan bersih, tradisi membela rakyat dan adil.

Beberapa percubaan pembaharuan telah diperkenalkan tetapi manakala perubahan-perubahan menghala kepada perkara dasar seperti Akta Pencegah Rasuah yang baru, ketegasan menentang amalan kronisme dan nepotisme, membatalkan projek mega, megah dan membazir, berusaha memupuk akhlak dan kehidupan beragama yakni perubahan yang saya yakini didukungi oleh rakyat terbanyak. Saya tetap bersabar dan menjadi penyokong yang setia, bekerja keras, mempertahankan dasar yang sedia ada dengan harapan melakukan perubahan bila tiba ketikanya nanti. Ramai rakan yang mempertikaikan pendekatan saya kerana tetap bersabar dan betahan. Cuma saya enggan berpakat dan bersekongkol dengan cara mereka menimbun kekayaan peribadi, mempersendakan hukum agama dan ulama, menindas pengkritik dan menahan pembangkang. DSM merasa dirinya tercabar atas nasihat para konspirator dan mulai mencemburui kejayaan saya. Mereka sedar mereka akan gagal menyingkir saya mengikut jalan demokratik.

Sengaja saya imbas semula bukanlah sekadar meraih simpati meskipun saya akui beban berat yang turut ditanggung oleh Azizah, anak-anak dan sahabat handai. Saya telah menafi keras fitnah dan segala tuduhan keji.

Nampaknya saya sekali lagi dinafikan hak untuk bertanding sesuai dengan perancangan konspirator. Namun saya yakin, penentu akhirnya ialah rakyat sebagai pengundi dari semua parti, pegawai kerajaan, pekerja, petani dan nelayan untuk memberi kesempatan kepada calon-calon BA- PAS, DAP, PRM dan KeADILan bersama dengan sekutu kita di Sabah dan Sarawak.

Inilah kesempatan sebaiknya. Tegakkan Keadilan Dan Bela Nasib Rakyat,

Undilah Calon Barisan Alternatif.

Salam Hormat dan Terima Kasih.

(Anwar Ibrahim)

Last changed: November 23, 1999