ReformIS

[ Contents | Post ]

NIK AZIZ AKUI BARISAN PEMBANGKANG MASIH KECIL BERBANDING BN

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:45:46

Comments

NIK AZIZ AKUI BARISAN PEMBANGKANG MASIH KECIL BERBANDING BN

TUMPAT, 23 Nov (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui pakatan pembangkang yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) masih merupakan gagasan yang kecil berbanding Barisan Nasional (BN).

Disebabkan faktor itulah maka terdapat kalangan dalam barisan pembangkang itu yang dikenali sebagai Barisan Alternatif yang berani melanggar peraturan yang ditetapkan sehingga berlaku pertindihan sesama sendiri ketika penamaan calon pilihan raya, pada Sabtu lepas, kata beliau.

"Saya harap tahun depan (pada masa akan datang) orang makin akil baligh (matang), Insya-Allah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut beliau, keadaaan itu pernah dihadapi oleh BN pada awal sejarah penubuhannya tetapi kini "mereka tidak lagi berani berbuat demikian".

"UMNO dengan MCA apa kurang? Setiap kali pilihan raya (kedua parti itu) berebut sokmo (selalu berebut) kerusi," katanya.

Nik Aziz berkata demikian bagi mengulas kejadian pertindihan calon di kalangan parti dalam Barisan Alternatif bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Undangan Negeri di Perak, Selangor dan Pahang hingga menggambarkan berlaku perpecahan di kalangan mereka.

Beliau juga berkata, peluang PAS untuk menang di Perlis tidak terjejas berikutan kegagalan parti itu meletakkan orang kuatnya Datuk Harun Din sebagai calon di negeri itu pada pilihan raya ini.

PAS bergantung kepada dasar perjuangan dan bukan kepada peribadi seseorang individu untuk menang walaupun mengakui kedua aspek itu mempunyai kaitan erat, katanya.

Nik Aziz berkata beliau juga akan berundur daripada politik Kelantan "suatu masa nanti" dan berharap pengundurannya tidak menjejaskan parti.

Beliau memberi contoh, pada zaman Datuk Asri Muda (bekas Yang Dipertua PAS) dahulu banyak pihak menganggap perjuangan PAS akan berakhir apabila Asri tiada tetapi tanggapan itu ternyata meleset, seperti yang dapat dilihat sekarang. -- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999