ReformIS

[ Contents | Post ]

AZIZAH `MENCURI' UNDI SIMPATI

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:35:58

Comments

AZIZAH `MENCURI' UNDI SIMPATI

Oleh Azeman Ariffin

PERMATANG PAUH, 23 Nov (Bernama) -- Calon pembangkang bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menggunakan isu-isu besar dalam kempennya mendekati pengundi menjelang 29 Nov, tetapi cuba mencuri undi simpati.

Beliau tidak memberikan ceramah terbuka sebaliknya mencari pengundi dengan mengunjungi rumah ke rumah, ke tempat-tempat awam seperti pasar.

Topik yang dibangkitkan isteri bekas timbalan perdana menteri ini setiap kali bertemu orang ramai ialah mengenai nasib suaminya, perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu diteruskan.

Beliau meminta mereka memilihnya atas alasan untuk membela nasib Anwar, wakil rakyat kawasan ini yang kini menjalani hukuman enam tahun penjara kerana kesalahan rasuah.

"Lawan tetap lawan, lawan sampai menang", itulah slogan yang disebut Azizah pada setiap kali menutup ucapan ringkasnya di hadapan sekumpulan orang ramai dan Azizah yang dikenali pendiam, cuba menarik perhatian mereka berucap menggunakan loghat utara.

Presiden Parti Keadilan Nasional ini, turut tidak lupa mengedarkan salinan surat `Pesanan dari Anwar untuk penduduk Permatang Pauh' yang antara lain meminta penduduk Permatang Pauh mengundi Azizah bagi menyambung perjuangan politiknya yang berakar umbi di kawasan Parlimen ini.

Dalam surat itu, Anwar juga cuba `mencuri' hati penduduk Permatang Pauh dengan menyebut bahawa kuih kegemarannya ialah tepung talam di Permatang Pasir, sebuah kawasan dewan undangan negeri di sini, dan beliau suka makan tengah hari di sebuah restoran di Permatang Rawa dan menikmati buah rambutan di sebuah kampung dekat sini.

Di pasar-pasar, Azizah mendekati kaum ibu, kerana menyedari sebahagian besar 50,502 pengundi di kawasan ini ialah wanita dan beliau cuba memainkan sentimen perjuangan seorang isteri dan ibu kepada enam orang anak.

Seorang wanita yang ditemui berkata beliau kasihankan Azizah dan bersimpati dengannya tetapi isu yang dimainkan Azizah sebenarnya adalah hal peribadi.

"Azizah meminta undi sebagai bersimpati dengan keluarga beliau, tetapi ini hal memilih kerajaan, bukan soal kasihankan orang," katanya.

Seorang lagi penduduk berkata perjuangan Anwar di Permatang Pauh memang boleh diteruskan tetapi perjuangan itu juga boleh disambung melalui rakan karibnya, calon BN Datuk Dr Ibrahim Saad.

Dr Ibrahim yang juga bekas setiausaha politik Anwar, turut aktif mengadakan perjumpaan di kampung-kampung di sini.

Katanya penduduk Permatang Pauh harus sedar bahawa sentimen peribadi sebenarnya tidak membela nasib dan masa depan mereka kerana pembangunan kawasan itu hanya dapat dilaksanakan jika rakyat terus menyokong BN.

"Pilihan raya adalah hal masa depan rakyat, soal simpati dan sentimen perlu diketepikan.

"Saya yakin, demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya, pada hujung-hujungnya, rakyat tetap memilih BN walaupun mereka meluahkan simpati kepada Anwar dan keluarganya," katanya. -- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999