ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS SEDIA TARIK DIRI UNTUK BERI LALUAN KEPADA KEADILAN

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:30:31

Comments

PAS SEDIA TARIK DIRI UNTUK BERI LALUAN KEPADA KEADILAN

IPOH, 23 Nov (Bernama) -- Pesuruhjaya PAS Perak Sabran Asmawi berkata parti itu bersedia menarik calonnya daripada bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong yang turut ditandingi Keadilan, satu lagi parti dalam pakatan pembangkang, pada pilihan raya ini.

Ketika ditemui di Bagan Serai hari ini, Sabran berkata beliau bersedia menarik calon parti itu Asman Ismail bagi membolehkan calon Keadilan Zainuddin Abdul Rashid bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Sharifuddin Aziz.

Dua kerusi DUN di Perak melibatkan pertandingan antara dua calon pakatan pembangkang dengan calon BN iaitu Titi Serong di Parit Buntar yang melibatkan Pas dan Keadilan, dan Aulong di Taiping melibatkan DAP dan Keadilan.

Sabran berkata PAS meletakkan calonnya kerana pada mulanya ia beranggapan calon Keadilan akan diisytihar tidak layak bertanding atas alasan "teknikal" tetapi apabila beliau dibenarkan bertanding, PAS sanggup menarik diri.

Bagi kerusi Aulong, pengerusi DAP negeri Ngeh Koo Ham ketika dihubungi berkata keputusan mengenai calon yang akan menraik diri akan ditentukan pemimpin DAP dan Keadilan yang berbincang di peringkat pusat.

DAP meletakkan Abdul Hamid Salleh untuk bertanding di Aulong yang turut ditandingi calon Keadilan Kapt (B) Subki Ahmad. Calon BN ialah Yeong Sing Chee.

Sementara itu, ketua perhubungan Keadilan negeri Khalil Shah menafikan bahawa salah seorang calon untuk kerusi DUN Teja, A. Narayanan, adalah calon yang diletakkan parti itu seperti yang tertera dalam senarai calon dalam akhbar.

"Kita akan siasat kes ini. Setahu saya, saya tidak pernah serahkan watikah pencalonan kepada individu tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimnapun, pengerusi MDP Perak Mohamad Asri Othman ketika dihubungi berkata Narayanan bukan mewakili Keadilan tetapi MDP dan berkata apa yang tertera dalam senarai penamaan calon sebenarnya disebabkan kesilapan teknikal.

Jurucakap pejabat pilihan raya negeri ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Bagi kerusi DUN Teja, calon BN, Dr Ho Wai Cheong akan ditentang oleh Wong Yoon Cheong dari DAP selain Narayanan.

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999