ReformIS

[ Contents | Post ]

DAP DAKWA DATUK BANDAR BANTU CALON BN BERKEMPEN

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:27:21

Comments

DAP DAKWA DATUK BANDAR BANTU CALON BN BERKEMPEN

IPOH, 23 Nov (Bernama) -- DAP Perak hari ini membantah tindakan Datuk Bandar Datuk Talaat Husain yang turut berada bersama seorang calon Barian Nasional pada satu perjumpaan dengan orang ramai di pasar Taman Canning di sini dua hari lepas.

Pengerusi DAP negeri Ngeh Koo Ham berkata sebagai pegawai kerajaan, Talaat sepatutnya tidak membiarkan dirinya digunakan oleh mana-mana calon sama ada parti kerajaan atau pembangkang dalam kempen pilihan raya umum ke-10 ini.

Katanya beliau terperanjat melihat gambar dalam sebuah akhbar harian semalam yang menunjukkan Talaat bersama-sama calon BN untuk kerusi Parlimen Ipoh Timur Thong Fah Chong berjumpa dengan orang ramai di pasar Taman Canning di sini.

"Sebagai pegawai kerajaan, beliau mesti bersikap neutral. Tidak sepatutnya beliau menggunakan jawatan dan jentera Majlis Bandaraya Ipoh untuk tolong mana-mana calon sama ada BN atau pembangkang," kata Ngeh yang menghubungi Bernama hari ini.

Ngeh merupakan calon yang akan turut merebut kerusi Parlimen Ipoh Timur selain Thong dan Mohamed Yusoff Omar dari MDP.

Menurut beliau, jika Thong yang meminta Talaat menghadiri majlis itu, pengundi harus menolak Thong kerana secara tidak langsung calon BN itu akan terhutang budi kepada Datuk Bandar.

"Kalau seorang anggota Parlimen terhutang budi kepada seorang pegawai kerajaan, tentu beliau tidak berani meluluskan dasar yang bertentangan dengan kehendak pegawai berkenaan," katanya.

Ketika ditanya sama ada DAP akan mengambil tindakan, Ngeh berkata parti itu masih menyiasat dan tindakan yang akan diambil bergantung kepada hasil siasatan itu.

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999